Jumaat, 2 Februari 2018 | 6:50am
ANGGOTA Agensi Dadah Kebangsaan (AADK) membuat pemeriksaan ke atas penagih dadah yang ditahan dalam operasi di Padang Terap, kedah, baru-baru ini. - Foto ihsan AADK

Keluarga utuh mampu tangani pelbagai isu sosial

LAPORAN New Straits Times (NST) sebelum ini memetik statistik Agensi AntiDadah Kebangsaan yang menunjukkan bahawa ada 23,642 orang penagih dadah yang direkodkan pada 2010 dengan 17,238 orang penagih baharu. Jumlah ini meningkat kepada 30,844 orang tahun lalu dengan 22,923 orang penagih baharu dan 7,921 orang kembali menagih selepas menjalani pemulihan.

Lebih membimbangkan ialah apabila melihat kepada usia mereka yang terbabit, kebanyakannya sekitar usia 17 hingga 40 tahun, usia yang sepatutnya memberikan sumbangan produktif dalam ekonomi negara.

Jumlah yang disebutkan ialah angka rasmi yang diketahui, tetapi berapa banyak lagi yang berada sekitar kita yang tidak diketahui jumlah sebenarnya, yang menjadi bom jangka yang boleh menghancurkan negara dan agama.

Usaha bersepadu

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta agar usaha bersepadu dilakukan untuk mencari formula terbaik menangani isu ini.

Hal ini sudah bertahun-tahun ada dalam masyarakat kita. Kesannya boleh kita baca saban hari di akhbar, misalnya laporan terkini mengenai kejadian dua beradik perempuan yang berusia 15 dan 19 tahun dipengaruhi abang yang berusia 23 tahun untuk menagih dadah di sebuah kampung di Padang Terap, Kedah. Keluarga takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa, bimbang dicederakan oleh anak lelakinya itu.

Ada juga ugutan dan lebih serius lagi jenayah mencederakan atau membawa kematian yang disebabkan oleh ancaman penagih dadah, dalam kalangan jiran atau keluarga.

Tidak peduli

Dalam kesibukan mencari rezeki dan sikap jiran tetangga yang enggan mengambil kisah, keadaan ini lebih membimbangkan kita.

Ibu bapa juga berasa sukar untuk mengawal anak, sikap ambil mudah dan tidak peduli dan komunikasi dalam kalangan keluarga yang semakin renggang di sebalik kecanggihan peranti, memburukkan lagi keadaan.

Kita tidak ada banyak pilihan selain daripada kembali kepada asas, iaitu memperkukuh kembali institusi keluarga dan kejiranan serta memanfaatkan pelbagai institusi lain di sekitar kita. Usaha perlu dibuat dan dilihat dengan serius oleh ibu bapa dan keluarga untuk memastikan anak dan keluarga sentiasa dalam pemerhatian untuk berkomunikasi, mengambil tahu, menyokong, mempunyai empati dan saling membantu.

Institusi kejiranan juga perlu diperkasakan dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya di sebalik kesibukan, tembok tinggi perumahan dan kepelbagaian sikap dan budaya yang ada. Kita perlu kembali fitrah untuk saling mengambil tahu dan membantu dalam menangani pelbagai isu sosial.

Begitu juga institusi agama perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk menjadi pusat sehenti yang membantu mengambil tahu, mengenal pasti, memantau sekali gus menjadi rujukan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat, malah menjadi penghubung dengan pihak berkuasa. Ini termasuklah masjid, gereja serta rumah ibadah lain.

Masjid misalnya perlu benar-benar dimajukan sebagai pusat pembangunan setempat dengan menyediakan data mengenai ahli kariah, kepakaran dalam kalangan anak kariah serta perlindungan sementara dalam isu berkaitan kebajikan dan pendidikan. Rumah ibadat boleh berkongsi maklumat dan kemudahan untuk meningkatkan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Gembleng tenaga

Dengan adanya pelbagai kecanggihan perhubungan, internet dan sistem yang boleh dibangunkan, wajar usaha dibuat untuk menzahirkan aplikasi yang dapat membantu mereka yang berada dalam ketagihan, pemantauan pergerakan dan aktiviti serta pembangunan kendiri secara berterusan melalui gabungan tenaga pakar akademik, perubahan, khidmat sokongan sosial, kaunseling dan mentor secara bersepadu untuk bersama-sama membantu menangani isu penagihan dadah.

Penggemblengan tenaga dan kepakaran pelbagai kumpulan masyarakat ini juga dapat membantu dalam proses pendidikan untuk mengubah sikap dan pandangan kita terhadap penagih dadah, yang bukan lagi menuding jari tetapi bersedia untuk membantu mengatasinya dengan kerjasama pihak berwajib.

Semua ini akan menzahirkan usaha bersepadu yang boleh dilakukan, jika ada kesungguhan dan pihak yang memimpin secara berhemah. Usaha seperti ini menunjukkan kematangan kita sebagai masyarakat berilmu yang bersedia untuk menggembleng tenaga dan usaha, tanpa hanya menyerahkan kepada pihak berwajib.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Kanan, Pusat Transformasi Insan, Universiti Sains Malaysia (USM)

384 dibaca
Berita Harian X