Rabu, 31 Januari 2018 | 6:40am
- Gambar hiasan

Abai Rukun Negara jejas keharmonian

Setahun selepas usaha menjadikan Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan berlalu, pelbagai perkara kini mungkin boleh kita muhasabahkan bersama. Pelancaran kempen ini pada 23 Januari 2017 oleh sekumpulan aktivis yang komited dalam memperjuangkan perpaduan kaum, ternyata meninggalkan impak cukup besar.

Sehingga hari ini, usaha itu yang mendapat sokongan dan tentangan pelbagai pihak masih relevan untuk diperkatakan. Tentangan diberikan terhadap usaha ini turut difahami dan kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan dan mewujudkan masyarakat yang berpecah-belah, maka pendekatan lain diambil, iaitu daripada niat awal menjadikan Rukun Negara sebagai mukadimah Perlembagaan kepada memperkasakan Rukun Negara melalui kewujudan akta khas kepada falsafah kebangsaan ini.

Sehingga hari ini, usaha ini masih giat dijalankan. Kenapakah perlu kita bersungguh-sungguh menjadikan Rukun Negara sebagai simbolik perpaduan? Untuk memahaminya, pertama sekali kita perlu menghayati apa yang dicita-citakan oleh Rukun Negara dalam matlamat dan juga prinsipnya. Malangnya, kebanyakan kita hanya mengenal Rukun Negara sekadar prinsip semata-mata.

Kita sudah mengabaikan falsafah kebangsaan ini terlalu lama. Hasilnya, kita sendiri tidak tahu teks penuh Rukun Negara apatah lagi mahu menghayatinya. Pengabaian terhadap Rukun Negara menzahirkan implikasi negatif, khasnya dalam tatacara kehidupan masyarakat. Pelbagai tingkah laku negatif dan kebejatan moral berlaku kerana kita tidak berpegang teguh kepada ideologi yang dicipta khas untuk rakyat Malaysia ini.

Lihat sahaja pada awal pembukaan 2018 beberapa ketidakharmonian berlaku dalam masyarakat. Dari isu sekecil membuang sampah hingga tidak menghormati institusi beraja. Kita sedang mengalami krisis akibat pengabaian Rukun Negara dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Kes membuang kerusi dari tingkat atas pangsapuri yang menyebabkan maut, kejadian yang membuka mata kita terhadap perangai jelek rakyat Malaysia. Kisah kerusi terbang ini, membuka pekong masyarakat kota yang menjadikan perkara membuang sampah dari tingkat atas rumah sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan.

Bukan lagi jadi pegangan

Kedua, lihat pula bagaimana institusi beraja kita dijadikan bahan lawak oleh masyarakat Malaysia. Penyebaran video pemimpin yang patut rakyat hormati sedang tidur dan kemudian dijadikan bahan jenaka dalam suatu pengucapan awam, jelas menunjukkan prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara sudah tidak dihormati.

Kemurkaan Raja ternyata langsung tidak mengundang rasa kesetiaan dalam kalangan masyarakat yang lain. Kita sudah tidak lagi menghayati betapa penting Raja sebagai simbol kemegahan negara ini yang menyanjung tinggi semangat Raja Berpelembagaan. Inilah kesannya akibat mengabaikan Rukun Negara.

Ketika usaha Rukun Negara Mukadimah Perlembagaan dijalankan, ada segelintir pihak yang takut sekiranya, Rukun Negara wujud dalam Perlembagaan maka wujud masyarakat yang liberal dan progresif yang akan menuntut hak mereka. Sedangkan, liberal yang dimaksudkan ialah tradisi liberal dan masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dalam kehidupan.

Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tidak menjadi pegangan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Maka mereka bertindak menghukum dengan cara sendiri. Mereka lupa bahawa negara berdaulat ini, didirikan dengan Perlembagaan yang cukup matang dan undang-undang kita bertujuan mengawal dengan sopan tingkah laku manusia. Kenapa Perlembagaan dan undang-undang diabaikan? Jawapannya, mudah kerana mereka tidak menghayati Rukun Negara dalam kehidupan mereka sebagai rakyat Malaysia.

Dakyah perkauman

Selagi kita masih bersifat menolak dan mengabaikan Rukun Negara, kita tidak akan mampu mencapai matlamat yang pertama, iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kita masih terperangkap dengan dakyah perkauman yang menghalang untuk terus bersatu dan maju.

Selagi kita tidak menjadikan matlamat Rukun Negara yang pertama ini sebagai jalan hidup ke arah mewujudkan sebuah bangsa Malaysia bersatu, selagi itulah kita tidak akan berjaya mencapai perpaduan yang membawa kepada kesejahteraan.

Oleh itu, janganlah kita lupakan falsafah kebangsaan ini. Mungkin Rukun Negara tidak sesuai dijadikan mukadimah dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi Rukun Negara perlu diberi satu akta khas supaya ia tidak lagi diabaikan baik oleh golongan pemerintah mahupun masyarakat. Percayalah, jika Rukun Negara diamalkan dengan baik, diamalkan dengan cara mengikuti prinsipnya untuk mencapai segala matlamat Rukun Negara, Malaysia pasti akan menjadi lebih baik.

Penulis adalah Eksekutif Yayasan 1Malaysia

217 dibaca
Berita Harian X