Selasa, 30 Januari 2018 | 6:23am
- Gambar hiasan

Semak semula cukai pendapatan

Ramai rakyat Malaysia yang bekerja siang dan malam mengeluh, pendapatan diperoleh tidak mencukupi. Rata-rata mereka adalah golongan bawah umur 40 tahun ke bawah. Walaupun ekonomi negara semakin berkembang dan ringgit mulai kukuh, nikmat kemakmuran negara kurang dirasai oleh mereka.

Ini disebabkan harga barang meningkat empat kali setahun, berbanding kenaikan gaji sekali setahun. Kenaikan harga barang selalu dikaitkan dengan peningkatan kos pengoperasian. Sedangkan, gaji pekerja di Malaysia hanya sedikit kenaikan.

Situasi ini menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah sebenarnya yang menjadi punca kenaikan harga barang. Adakah disebabkan permainan manipulasi harga atau sebab lain? Jika disabitkan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak munasabah kerana peratusan GST tetap sama, iaitu enam peratus sejak dilaksanakan pada 2015. Jika diamati, harga makanan dan keperluan harian sentiasa meningkat tanpa ada penurunan walaupun kerajaan memberikan subsidi ke atas sesuatu barang. Situasi ini menyumbang kepada jurang ketakseimbangan pendapatan di negara ini.

Pertama, mengikut pekali Gini menunjukkan, penurunan ketakseimbangan dari segi etnik, pada 1970 Bumiputera adalah 46.6 peratus, Cina (46%), India (47.2%) dan lain-lain (66.7%). Pada 1999 pula pekali Gini menunjukkan,

Bumiputera adalah 43.3%, Cina (43.4%), India (41.3%) dan lain-lain (39.3%) selepas berlaku krisis kewangan 1997. Tetapi pada 2016, pekali Gini menunjukkan, Bumiputera adalah (38.5%), Cina (41.1%), India (38.2%) dan lain-lain (39.1%). Jelas, jurang ketakseimbangan pendapatan isi rumah bagi negara ini semakin menurun dan mengecil. Bagaimanapun, jurang ketakseimbangan pendapatan dalam etnik, khususnya Cina semakin membesar disebabkan perbezaan besar antara pendapatan tertinggi dan terendah.

Permasalahan kini adalah jurang ketakseimbangan pendapatan dalam kumpulan etnik sama. Ini boleh difahami dalam rekod data 2012 hingga 2014, kumpulan B40 menikmati peningkatan pendapatan 15.9 peratus, berbanding kumpulan M40 yang mendapat peningkatan pendapatan 10.7 peratus dan kumpulan T20 pula 8.1 peratus seperti tercatat dalam rekod perangkaan 2014.

Kemiskinan bandar

Kerajaan berusaha meningkatkan pendapatan kumpulan B40, tetapi pada masa sama, kumpulan kelas menengah di negara ini iaitu M40 semakin membesar sehingga merangkumi 45 peratus penduduk Malaysia diabaikan. Ini disebabkan usaha untuk membasmi kemiskinan hanya tertumpu pada B40 dan bukan kumpulan kelas menengah yang tinggal di bandar. Situasi ini menyebabkan berlaku kemiskinan bandar.

Kedua, kelemahan pekali Gini kurang sesuai dalam mengukur jurang ketakseimbangan pendapatan pada hari ini. Pekali Gini hanya menumpukan pendapatan per kapita bagi keseluruhan etnik dan bukan penambahbaikkan kehidupan sosial dalam hukum Pareto dianjurkan oleh Rawls. Situasi ini menjurus kepada kegagalan kerajaan dalam mengesan dan menangani permasalahan kos sara hidup serta gaya hidup.

Berlainan dengan kos sara hidup di mana pekali Gini hanya berfokus kepada soal pendapatan dan makanan. Kelemahan pekali Gini tidak mengambil kira beberapa item digariskan dalam kos gaya hidup.

Perbezaan ini terjadi kerana di negara membangun, kelas menengah akan semakin berkembang pesat dan mendorong perkembangan beberapa item asas menjadi kos gaya hidup.

Mungkin pakar ekonomi perlu memikirkan apa yang dimaksudkan asas kehidupan kelas berpendapatan menengah dan asas kehidupan kelas berpendapatan rendah. Kekeliruan disebabkan ramai tidak memahami antara konsep digunakan dalam hukum pekali Gini dan hukum Pareto.

Pekali Gini tidak mengambil kira aspek penambahbaikan dalam kehidupan. Pareto mengambil kira aspek itu dengan syarat berlaku perkembangan sesebuah negara dari segi pembangunan ekonomi, khususnya perkembangan kelas menengah iaitu M40.

Ketiga, jurang ketakseimbangan pendapatan turut disumbangkan oleh kos sara hidup yang seiring dengan kadar inflasi dan tekanan percukaian. Kos sara hidup juga terkesan apabila berlaku kelompangan dalam politik pentadbiran kerajaan seperti rasuah dan ketirisan perbelanjaan. Mahu tidak mahu, situasi ini menjurus kepada kemiskinan pendapatan dalam kelas menengah. Golongan ini bergaji beribu-ribu ringgit, tetapi akhirnya tiada yang tinggal untuk disimpan dan hanya sedikit untuk dibelanjakan. Duit gaji diperoleh bukan milik mereka tetapi milik orang lain. Inilah dinamakan kemiskinan pendapatan.

Kesan cukai pendapatan

Keempat, majoriti pekerja kelas menengah Malaysia yang bergaji RM5,000 ke atas turut merasai pengenaan cukai pendapatan 10 peratus setiap bulan bagi mereka yang membuat potongan gaji. Keluhan golongan M40 ini ialah semua kemudahan disediakan kerajaan terpaksa dibayar berbanding golongan B40.

Di negara Barat, beberapa bayaran kemudahan dikecualikan kepada golongan yang membayar sejumlah cukai pendapatan. Bagi negara itu, penggunaan hukum Pareto untuk memastikan keadilan hak sosial antara mereka yang membayar cukai dan tidak membayar cukai. Ternyata, pengenaan cukai sepatutnya disemak semula bagi memastikan imbangan pendapatan negara dan rakyat.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan

4139 dibaca
Berita Harian X