Khamis, 4 Januari 2018 | 7:24am
GAMBAR fail/hiasan, Guru Sains Sekolah Kebangsaan Raja Muda (SKRM) Seksyen 4 Shah Alam, bergambar bersama murid selepas menerima hadiah ketika memakai pakaian seragam yang mengikuti tema "Kalau Aku Bukan Seorang Guru" sempena sambutan Hari Guru 2017 di SKRM tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Keharmonian utuh pendidikan negara

2017 sudah berlalu dan kedatangan 2018 masih diraikan kebanyakan orang kita. Pada masa sama, ada yang sedang menghitung azam baharu pada tahun baharu dan ada pula yang berkira-kira melangsaikan azam lama pada tahun baharu. Sesetengahnya pula tidak mahu mengambil tahu apa-apa, sama ada tahun baharu atau tahun lama. Semua ini adalah senario yang sinonim dengan masyarakat kita.

Realitinya, tidak ramai mengambil sikap sebagai perakam atau penganalisis peristiwa yang ditinggalkan dalam lipatan sejarah sebagai pengajaran untuk membentuk peristiwa baharu yang lebih indah.

Dalam bidang pendidikan misalnya, 2017 meninggalkan peristiwa suka duka yang menarik perhatian umum. Tahun lalu dilihat antara tahun mencatatkan beberapa 'peristiwa gempar' yang memerlukan penelitian dan penilaian oleh banyak pihak bagi memastikan sistem pendidikan digubal mampu melahirkan Generasi TN50 seperti diimpikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kejadian murid dikenakan tindakan selepas menyorok pada waktu solat di sebuah sekolah di Kajang, Selangor misalnya menarik perhatian umum sehingga menjadi polemik yang mengheret banyak pihak untuk memperkatakannya. Wajarkah tindakan guru terhadap pelajar yang 'culas' solat dikatakan keterlaluan?

Heret guru ke mahkamah

Seseorang yang realistik akan melihat perkara itu dari sudut positif kerana itu bukan sahaja pendidikan, malah perintah Yang Maha Esa. Tindakan meletakkan dosa di bahu guru yang mahu melihat muridnya menjadi anak syurga di luar kebiasaan. Begitu juga dengan kisah seorang murid yang berkejaran sesama sendiri lalu terjatuh di hadapan seorang guru di sebuah sekolah di Pulau Pinang, turut menarik perhatian umum. Kedua-dua kisah itu akhirnya mengheret kedua-dua guru berkenaan ke mahkamah. Sehingga kini, nasib guru terbabit belum diputuskan.

Nama Azizan Manap atau Cikgu Azizan bukan satu nama besar, tetapi tiba-tiba meletup selepas dituduh mengasari seorang muridnya yang dipercayai mempunyai masalah disiplin. Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April 2017 lalu.

Beliau bagaimanapun dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban daripada tuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Demikian antara beberapa peristiwa mencuri perhatian umum sepanjang 2017. Apakah pengajaran di sebalik peristiwa itu? Wajarkah guru yang bertindak demikian dipersalahkan sepenuhnya, walaupun ada kalanya tindakan diambil ke atas murid bermasalah mungkin melebihi batas SOP ditetapkan?

Apakah ibu bapa zaman ini terlalu memanjakan anak sehingga mereka tidak boleh diambil tindakan oleh pihak sekolah, walaupun anak mereka mempunyai masalah disiplin? Apakah yang akan berlaku sekiranya guru tidak mahu mengambil tahu mengenai murid di sekolah memandangkan selama ini begitu banyak 'perkara baik' dilakukan guru, walaupun tidak termaktub dalam SOP seorang guru?

Kenapakah perkara baik dilakukan guru tidak dilihat oleh orang ramai, khususnya ibu bapa? Inilah antara isu yang perlu diteliti dan diambil kira oleh kedua-dua pihak demi kepentingan dan masa depan generasi muda yang akan mengisi Gagasan TN50.

Tindakan membawa guru ke mahkamah bukan penyelesaian terbaik. Dalam hal ini, ibu bapa perlu bersikap terbuka dan dalam menangani isu tindakan guru di sekolah terhadap anak mereka, apatah lagi terhadap pelajar bermasalah. Kebijaksanaan ibu bapa sangat dituntut memandangkan tanggungjawab guru adalah mendidik, bukan sekadar mengajar.

Kesabaran tinggi

Walaupun begitu, pada masa sama, guru pula perlu memiliki kesabaran tinggi dan tidak terlalu menurut emosi ketika mengambil tindakan terhadap murid bermasalah di sekolah. Perkara ini jika diolah dengan baik dan matang akan mewujudkan keadaan yang bukan sahaja harmoni antara guru dengan ibu bapa, malah akan memberikan sumbangan besar dalam melancarkan tugas dan tanggungjawab guru di sekolah.

Jika kita benar-benar ingin melihat lahirnya Generasi TN50 yang sarat dengan gagasan dan membentuk sahsiah generasi muda pada masa depan, toleransi antara ibu bapa dengan pendidik dalam institusi pendidikan mesti diberi perhatian dan keutamaan.

Sehubungan itu, 2018 harus diisi dengan peristiwa lebih baik, sekali gus menjadikan 2017 sebagai pengajaran paling berguna. Realitinya, 2018 mesti dijadikan tahun 'harmoni pendidikan' dengan menggabungkan peranan guru dan ibu bapa agar kedua-dua pihak bergerak seiring arus perubahan dan cabaran semasa.

Harapan Menteri Pendidikan agar ibu bapa dapat mendokong hasrat guru untuk memberikan pengajaran kepada anak masing-masing supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna, berdisiplin dan memiliki akhlak mulia wajar difahami dan disokong ibu bapa.

Penulis juga mengharapkan agar Kementerian Pendidikan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyemak undang-undang yang mungkin sudah lapuk dan tidak relevan dengan semangat TN50 seperti Pekeliling Bil 8/1983 mengenai bentuk hukuman yang dilarang ke atas pelajar di samping mengkaji secara serius cadangan kod etika untuk ibu bapa agar guru dapat melaksanakan tugasnya tanpa bimbang risiko yang menanti seperti kes Cikgu Azizan.

Bersama-samalah kita membina azam baharu pada tahun baharu ini dengan mengisi ruang yang tersedia dengan sesuatu yang benar-benar baharu. Semoga tahun baharu memberikan ilham untuk kita berfikir cara yang baharu.

Penulis adalah Presiden Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan

231 dibaca
Berita Harian X