Selasa, 2 Januari 2018 | 11:45am
- Foto hiasan

Selesaikan bebanan kos sara hidup

PADA permulaan tahun baru ini, setiap rakyat perlu berazam untuk menjadikan Malaysia lebih selamat, bukan sahaja daripada aktiviti pengganas dan jenayah, tetapi juga tragedi yang kita sendiri menjadi penyebabnya sama ada di jalan raya, kediaman, kawasan awam atau di tempat kerja.

 

Setiap hari yang mendatang, penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil ikhtibar bahawa sesuatu tamadun itu boleh musnah jika ia tidak 'berdamai' dengan alam sekitar.

 

Hakikat bahawa masih ada kejadian tanah dan jalan runtuh menunjukkan kegagalan kita untuk menjadikan budaya penyelenggaraan dan keselamatan sebagai sebahagian cara hidup.

 

Kita sebenarnya yang harus memikul tanggungjawab apabila berlakunya kejadian bangunan atau struktur runtuh, kemusnahan alam sekitar atau kemalangan dan kematian di tempat kerja.

 

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahkan alam semula jadi atau peralatan kerja apabila kemalangan berlaku.

 

Kita perlu sedar bahawa sebarang tindakan yang mengakibatkan kemerosotan dan kemusnahan alam sekitar pasti akan membawa kesan buruk.

 

Begitu juga jika kita tidak menguruskan aspek keselamatan dengan baik, kemalangan boleh berlaku di tempat kerja.

 

Kemalangan maut membabitkan pengangkutan awam dan kenderaan lain yang terus berlaku di jalan raya dan lebuh raya jelas menunjukkan keperluan untuk memperbaiki aspek kejuruteraan dan keselamatan jalan raya serta sikap pemandu.

 

Kerajaan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk pembangunan tetapi apa yang amat dikesali ialah aspek penyelenggaraan kurang diberi perhatian.

 

Sikap sebegini perlu diperbetulkan dan usaha perlu dilakukan untuk menyemai budaya penyelenggaraan dan keselamatan dalam kalangan rakyat.

 

Mereka yang diberikan tanggungjawab untuk menyelenggara kemudahan pula perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

 

Kerajaan juga perlu menyediakan lebih banyak peruntukan untuk kerja penyelenggaraan oleh jabatan, agensi dan pihak berkuasa tempatan melalui perkhidmatan kakitangan mereka yang berdedikasi.

 

Dalam soal politik pula, penting bagi Malaysia untuk terus wujud sebagai sebuah negara yang demokratik, bersatu padu dan harmoni walaupun terdapat ideologi dan pandangan politik yang berbeza.

 

Rakyat Malaysia daripada semua kaum juga ingin melihat kerajaan mengambil langkah berterusan untuk menangani kesan kemerosotan ekonomi global.

 

Kerajaan juga perlu mengekalkan perpaduan, keamanan dan keharmonian, keadilan sosial dan menegakkan hak semua rakyat Malaysia seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan. Ia juga harus mencapai keseimbangan antara ekonomi dan pembangunan teknologi maklumat dengan pembangunan sosial, moral dan akhlak.

 

Pasa masa yang sama, kita perlu menjadi lebih agresif dalam memperjuangkan isu integrasi kaum, perpaduan dan pembinaan negara selain harus berusaha menangani masalah jenayah, penagihan dadah dan pelbagai gejala sosial yang dihadapi negara kita.

 

Rancangan untuk menubuhkan semula Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERI) di bawah Pejabat Perdana Menteri dan meningkatkan Institut Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM), tepat pada masanya kerana mereka akan turut menyumbang kepada peningkatan hubungan etnik dan mencari penyelesaian yang baik untuk menangani pelbagai isu sosioekonomi.

 

Kerajaan yang bertanggungjawab perlu sentiasa mengambil tahu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat, terutamanya bebanan kos sara hidup.

 

Isu yang memberi kesan kepada rakyat, terutamanya kenaikan harga makanan, mesti ditangani.

 

Tetapi, ia tidak akan berjaya jika pihak berkuasa hanya memberi tumpuan terhadap peniaga. Proses ini sebenarnya membabitkan semua pihak dalam rantaian bekalan - dari pengeluar dan pembekal kepada pemborong dan peruncit.

 

Kerajaan juga harus memberi lebih banyak manfaat kesihatan dan kemudahan lain untuk warga emas kerana lebih ramai dijangka akan hidup bersendirian, apabila negara kita semakin hampir menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

 

Pelbagai masalah sosial sedang melanda negara seperti jenayah juvana dan siber, perjudian haram, perbuatan ganas serta masalah dadah dan mental yang turut membabitkan remaja dan belia.

 

Jenayah dan dadah masih menjadi masalah utama dan kita perlu menanam keazaman sempena tahun baru ini untuk meningkatkan usaha berterusan memerangi jenayah, terutamanya yang berkaitan dengan dadah, melalui pembabitan seluruh masyarakat Malaysia.

 

Daripada Aktivis sosial yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

270 dibaca
Berita Harian X