Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:32am
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci rumah kepada mangsa kebakaran, M.Illamah 90, (dua kiri), turut sama Adun Rungkup merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya (kanan) di Majlis Penyerahan Rumah Baru Mangsa Kebakaran Kampung Batu 9 di Kampung Kamatchy, Bagan Datuk, Ahad lalu. - Foto NSTP/L. Manimaran

Bangunan selamat bukan isu bermusim

Ahad lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kunci rumah kepada 11 mangsa kebakaran Kampung Batu 9, Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Ketika kejadian kebakaran pada 17 November 2016, beliau bergegas dari Kuala Lumpur ke Bagan Datuk untuk melawat 11 keluarga mangsa. Sebanyak 10 daripada 12 rumah musnah terbakar.

Kawasan itu kini bertukar wajah baharu dan menjadi sebuah kejiranan indah dalam masa singkat. Sebelas rumah disiapkan pada 2 Julai lalu yang dibina atas tapak 2.4455 hektar.

Keluasan setiap rumah adalah 16.6 meter x 3.3 meter. Kos keseluruhan berjumlah RM527,600. Inilah komitmen Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan Perak.

Majlis penyerahan kunci itu membuktikan komitmen kerajaan bagi meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat. Dalam konteks ini, kerajaan meletakkan fokus sama rata dalam soal memenuhi keperluan perumahan rakyat, tidak kira di bandar, pinggir bandar, pekan, desa atau kawasan pedalaman. Sasarannya adalah menyediakan perumahan untuk rakyat yang ditimpa bencana dan kejadian malang.

Penyediaan kemudahan perumahan kepada setiap lapisan masyarakat adalah sebahagian daripada agenda sosial kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat. Antaranya, Projek Rumah Bina Negara (Rumah BN) iaitu satu program perumahan bagi generasi belia luar bandar. Ia satu transformasi di bawah fokus kedua dalam Transformasi Luar Bandar, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Kerajaan melalui KKLW memberi keutamaan kepada penyediaan kemudahan dan perkhidmatan kepada belia luar bandar dengan menyediakan perumahan kepada generasi kedua yang mencukupi dan meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera.

Projek ini sekali gus memberi peluang kepada generasi muda luar bandar di negara ini untuk memiliki rumah sendiri. Bagi 2017, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi projek Rumah Bina Negara dengan sasaran 7,000 unit akan dibina.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sangat prihatin terhadap keperluan asas rakyat. Ia bukan dizahirkan melalui ucapan, tetapi diterjemahkan menerusi komitmen dan bantuan seperti penyediaan pelbagai kemudahan asas, termasuk bekalan air bersih, bekalan elektrik, kemudahan jalan raya dan rumah kediaman selamat serta selesa.

Dalam pada itu, Dr Zahid berkata, sejak kebelakangan ini kejadian kebakaran sering berlaku dan ada yang meragut nyawa. Kebakaran berlaku di hospital, kilang, pusat tahfiz dan di kawasan perumahan.

Kebakaran ini kebanyakannya mengorbankan harta benda, aset dan nyawa. Antara punca kepada nahas ini kerana kebakaran lewat dipadamkan.

Masyarakat kena main peranan penting

Masyarakat, katanya, memainkan peranan penting sebagai barisan pertama yang bertindak, terutama ketika menghadapi bencana kebakaran dan bukan mengharapkan pasukan bomba serta penyelamat memadamkan kebakaran.

Dr Zahid mahu masyarakat mempelajari ilmu asas dengan mengetahui langkah mencegah dan mengawal api kebakaran. Masyarakat harus tahu cara betul memadamkan api kebakaran dan bukannya menunggu kehadiran pasukan bomba dan penyelamat memadamkan api.

Selain bertindak cepat dengan menelefon bomba, masyarakat juga perlu bertindak segera memadamkan api kebakaran kerana ia mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Beliau percaya jika setiap masyarakat memainkan peranan sebagai first responder, usaha mengawal kebakaran dan jumlah kerugian dapat diminimumkan.

Susulan kebakaran di asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung bulan lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah.

"Kita sudah bermesyuarat dan meneliti beberapa perkara yang boleh diperbaiki secepat mungkin termasuk memastikan piawaian dan kesihatan setiap premis tahfiz serta penghuni, termasuk rumah anak yatim, sekolah agama, tadika, pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua, dipatuhi." katanya.

Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri mahu badan profesional seperti Persatuan Juruukur Bangunan Berdaftar Malaysia (RBS) atau Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) mengambil inisiatif menilai kembali status fizikal semasa setiap bangunan yang disebutkan tadi.

Pemantauan berterusan

Pentingnya pemantauan dan penilaian keselamatan ini diadakan secara berterusan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, terutama yang mengorbankan nyawa.

Sementara itu, RISM dan RBS menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri untuk mengendalikan pemeriksaan dan menilai kembali status premis bangunan.

Pada sidang media, Isnin lalu, mereka menjelaskan pemeriksaan dan penilaian juruukur bangunan sesebuah premis bangunan bukan hanya dari sudut keselamatan kebakaran, tetapi ia meliputi keseluruhan audit bangunan, termasuk aspek fungsi, keadaan kesihatan dan keselamatan semasa.

Naib Presiden RISM, Brig-Jen (B) Mohd Amin Mohd Din, berkata ia juga merangkumi penilaian reka bentuk, elemen, komponen, peralatan dan kemudahan fasiliti yang mengambil kira kebajikan, suasana sejahtera, sihat dan selamat penghuni premis yang berkenaan.

Juruukur bangunan akan meneliti dari sudut pematuhan undang-undang yang terpakai untuk sesebuah pembinaan seperti yang diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). Pemantauan daripada aspek pematuhan akta-akta yang berkaitan seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL) yang bermula daripada reka bentuk, pembinaan, penggunaan bahan, kemudahan mekanikal, elektrikal, sanitari dan senggaraan sehingga premis siap suai untuk diduduki dengan selesa, sihat dan selamat.

Untuk premis bangunan yang sedia terbina pakai, juruukur bangunan akan menilai daripada aspek kesesuaian penggunaan, kapasiti penghunian, kemudahan fasiliti, kesihatan dan keselamatan.

Laporan pemeriksaan dan siasatan akan menyenaraikan kecacatan, ketidakpatuhan kehendak perundangan dan selanjutnya mencadangkan keperluan pematuhan, pembaikan, pemuliharaan atau ubah suai yang perlu disegera, disenggara atau diutamakan.

Mohd Amin berkata, penilaian kerja ukur bangunan atau Building Condition Assessment (BCA) membolehkan pemilik atau penghuni bangunan mengetahui keadaan kesihatan dan keselamatan semasa premis yang digunakan.

"Ia tak ubah seperti medical check-up yang kita lakukan untuk menilai tahap kesihatan kendiri yang dilakukan berkala pada sebilangan tahun," katanya.

Penemuan dan hasil pemeriksaan dan siasatan juruukur bangunan juga membolehkan urutan pemantauan dan susulan pematuhan untuk premis yang berkenaan bagi apa juga khidmat nasihat kerja seperti pengubahsuaian, pemuliharaan atau konservasi, sekiranya diperlukan.

"Bagi kami, semua pihak harus mengetepikan perbezaan ideologi politik dan memberi perhatian serta tumpuan kepada usaha memastikan sesuatu bangunan itu selamat diduduki dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku." katanya.

Menurut beliau, pihaknya bersedia memberi pandangan profesional kepada Jawatankuasa Petugas Khas Kebakaran Tahfiz dan Timbalan Perdana Menteri mengenai piawaian keselamatan.

Penulis adalah Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri

234 dibaca
Berita Harian X