Isnin, 9 Oktober 2017 | 12:13pm
DATUK Dr Maznah Hamid

Semangat kental Iron Lady

"TOK...M NOT WELL.....GILER KERJA..LUPA NAK REHAT....NOW DAH MASUK HOSPITAL...TOK" (Datuk... saya tak sihat. Gila kerja, lupa nak rehat. Sekarang dah masuk hospital).

Ini adalah mesej menerusi Whatsapp yang saya terima pada jam 11.07 malam 18 September lalu daripada Datuk Dr Maznah Hamid, hari Allahyarham dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Beliau memang menggunakan huruf besar dalam WhatsApp, mungkin bagi memudahkannya untuk membaca. Allahyarham juga menghantar dua foto, satu ketika bersama doktor di bilik rawatan dan satu lagi rakaman gambar bersama anaknya, Datin Nur Sharmila Datuk Seri Shaheen.

Allahyarham juga maklumkan beliau dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan ada masalah injap jantungnya. Saya bertanya hospital tempat beliau dirawat dan maklumkan jika ada kesempatan mahu menziarahinya dan boleh bersembang kerana Allahyarham memang suka berborak mengenai pelbagai perkara setiap kali berjumpa.

Dalam berbalas mesej itu, Allahyarham maklumkan juga bahawa beliau takutkan hospital tetapi kini terpaksa pula tinggal di hospital. Malam itu, kami menamatkan perbualan pada jam 11.58 malam dengan ayat terakhirnya: "Esok kita cerita Tok..Good nite."

Esoknya jam 7.45 baru beliau menjawab pertanyaan saya dengan memaklumkan sedang dirawat di IJN dan cadangan untuk melawatnya bergantung kepada keadaan. Allahyarham juga memberitahu saya bahawa beliau memang gembira untuk berjumpa dan berbual.

Selain itu, seperti biasa beliau yang bersemangat bersembang mengenai isu politik dan negara. Mungkin dari katil hospital beliau menaip bertanya pandangan saya mengenai kemasukan semula Tan Sri Muhammad Mohd Taib dalam UMNO.

Keesokannya , pada jam 10.21 malam beliau sekali lagi menghantar WhatsApp, kali ini berkongsi hikmah menyambut Maal Hijrah dan solat sunat akhir dan awal tahun Hijrah. Seperti biasa, sempat juga bertanya mengenai isu politik pada jam 11.59 malam.

Esoknya pada jam 6.52 petang sekali lagi kami berkomunikasi. Kali ini beliau menaip: "HOW HEALTHY YOU ARE...RIGHT NOW?" (Sihatkah anda sekarang?) Turut dihantar adalah video klip mengenai kesihatan dan itulah mesej terakhir beliau kepada saya.

Tidak ada lagi mesej dan ketika itu saya tahu kesihatannya tidak mengizinkan beliau untuk menaip. Saya juga maklum beliau menjalani rawatan dan koma selepas pembedahan.

Pada 29 September saya menghantar mesej kepadanya menyatakan: "Assalam....walaupun Datuk tak baca msg ini. Saya dan keluarga doakan moga Allah kembalikan kesihatan Datuk."

Pada 4 Oktober pada jam 6.30 petang, saya dapat berita beliau telah meninggalkan kita. Saya terdiam sebentar dan amat sedih kerana tidak berkesempatan menziarahinya di hospital.

Suaminya, Datuk Seri Shaheen Mirza Habib ketika saya temui pada hari pengebumian, Khamis lalu, memaklumkan isterinya memang takut berjumpa doktor.

Mengadu kepenatan

Beliau berkata, isterinya ada mengadu kepenatan dan sesak nafas sebelum ini. Selain mengucapkan takziah, saya juga meminta izin beliau untuk menyiarkan gambarnya ketika di hospital dalam artikel ini.

Saya telah lama mengenali Allahyarham sejak 1991 ketika berkhidmat di BH Kedah. Selepas kembali bertugas di Kuala Lumpur pada 2001 sesekali kami berjumpa dalam pelbagai acara.

Beliau sangat peramah dan merendah diri walaupun berjaya dalam perniagaan dan politik. Setiap kali berjumpa memang rancak bersembang sama ada politik mahupun keusahawanan.

Pernah pada satu majlis perkahwinan di sebuah hotel, beliau berpindah menyertai meja saya dan isteri dan kemudian berbual rancak mengenai pelbagai perkara.

Semangat bantu Bumiputera

Semangatnya membantu dan memajukan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan amat tinggi. Tidak penat beliau berbual membicarakan apa yang harus kerajaan dan agensinya laksanakan untuk membantu Bumiputera.

Keprihatinan beliau mengenai keusahawanan sukar dipisahkan dalam jiwanya. Dalam beg tangannya sentiasa ada buku nota kecil mengandungi pelbagai tips untuk berjaya dalam hidup dan perniagaan. Pembantunya pula akan membawa buku tulisan beliau untuk diagih-agihkan.

Atas semangat dan kegigihannya, beliau dilantik menganggotai pelbagai agensi dan pertubuhan yang berkaitan dalam bidang itu. Kami lebih kerap berhubung akhir tahun lalu apabila saya meminta beliau mengambil anak saya Nur Diyana Rozaini yang sedang belajar pengajian perniagaan, menjalani latihan industri di Securiforce Sdn Bhd, syarikat milik beliau.

Beliau gembira dan terus setuju apabila saya maklumkan tujuan saya sebenarnya untuk membolehkan beliau membantu mendidik anak saya yang berminat menjadi usahawan.

Saya amat terhutang budi kepadanya kerana syarikat berkenaan tidak pernah mengambil pelatih industri sebelum itu. Saya difahamkan sejak itu syarikat beliau terus mengambil pelajar menjalani latihan.

Beliau juga ada memaklumkan akan membimbing anak saya menjadi usahawan selepas tamat belajar tetapi apakan daya hajatnya tak kesampaian. Begitulah gigih dan tinggi semangat beliau untuk membantu Bumiputera.

Justeru kejayaan dan ketokohan usahawan yang digelar Iron Lady ini harus dijadikan iktibar dan teladan oleh kita semua, manakala kerajaan dan agensinya perlu meningkatkan usaha bagi meneruskan perjuangan beliau.

Kepada keluarga Allahyarham kita sama-sama ucapkan takziah dan berdoa semoga Allah SWT menempatkan beliau dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.

1203 dibaca
Berita Harian X