Ahad, 1 Oktober 2017 | 8:35am
PEGAWAI SPR memeriksa sebahagian peti undi bagi Parlimen Shah Alam di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19 pada Pilihan Raya Umum Ke-13. - Foto fail NSTP/Adib Rawi Yahya

Peluang lebih cerah jika pilih calon boleh menang

PARTI komponen BN perlu berlapang dada dengan cadangan mengganti sistem kuota bagi pengagihan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan kaedah memilih calon parti boleh menang di sesuatu kawasan demi kebaikan BN.

Kaedah dicadangkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ini sewajarnya disokong penuh bagi mengoptimum peluang menang dalam PRU14.

Seperti semua ketahui, BN beroperasi atas prinsip semangat setia kawan, tetapi memandangkan PRU14 dikira paling sengit dalam sejarah maka semangat ini perlu dibawa selangkah ke hadapan lagi bagi memastikan BN dapat memerintah selesa.

Kerusi tradisi satu konsep lapuk yang sepatutnya tidak digunakan lagi dan wajar digantikan dengan konsep kebolehmenangan iaitu agihan kerusi dibuat di atas potensi seseorang calon, tanpa mengira parti, untuk menang.

Konsep ini memerlukan setiap parti komponen yang mahu bertanding di sesuatu kerusi menamakan calon mereka kepada BN dan BN pula buat kaji selidik bagi memastikan siapa antara calon lebih berpeluang menang.

Contohnya, jika berlaku pertikaian antara MIC dan myPPP untuk bertanding di kerusi P78 Cameron Highlands, maka MIC dan myPPP perlu namakan calon mereka kepada BN dan BN pula buat kaji selidik bagi memastikan calon mana lebih diterima.

Perlu ketepi ego

Melalui cara ini, peluang untuk BN menang lebih cerah berbanding penggunaan konsep kerusi tradisi yang meletakkan BN ke dalam risiko untuk alami kekalahan sebelum bertanding lagi kerana kelekaan parti komponen.

Tidak dinafikan konsep kebolehmenangan ini memerlukan setiap parti komponen mengetepikan ego dan kepentingan masing-masing, khasnya bila mereka hilang kerusi tradisi, tetapi ini wajar dilakukan kerana PRU14 adalah ibu kepada segala pilihan raya.

Jika dilihat kerusi seperti P74 Lumut, P111 Kota Raja dan P124 Bandar Tun Razak yang menyaksikan calon bukan Melayu BN kalah di tangan calon Melayu PH dalam PRU13, mata kasar pemerhati ialah BN akan lebih berpeluang menang jika meletakkan calon Melayu.

Bagaimanapun, jika parti komponen yang bertanding di kerusi ini dalam PRU-13 tetap berkeras mahu bertanding di kerusi sama dalam PRU-13 atas konsep kerusi mereka milik mereka kerusi kita milik kita maka tentulah peluang BN untuk menang menjadi samar.

Mengambil kira kedudukan kritikal BN ekoran gugatan kuat pembangkang untuk mengalahkannya dalam PRU14, maka setiap parti komponen hendaklah bersikap terbuka dengan mengetepikan kepentingan diri sendiri demi kepentingan BN dan negara.

Sesuai dengan dasar muafakat BN, maka parti komponen yang berkorban dengan melepaskan kerusi tradisi mereka ini mungkin sahaja boleh diberi kerusi gantian lebih selamat di tempat lain jika langkah ini difikirkan perlu diambil bagi mengelakkan pertikaian.

BN juga boleh mengambil iktibar dari tindakan Tan Sri Adenan Satem meletakkan 13 calon langsung BN dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun lalu bagi menyelesaikan masalah perebutan kerusi antara parti komponen sekali gus membantu BN menang besar di sana.

Langkah yang pernah dapat pujian Ahmad Zahid yang menyifatkannya sebagai unik ini boleh diperkembang untuk dilaksanakan di seluruh negara kerana ia akan membolehkan calon terbaik atau kompromi diletakkan tanpa perlu melalui prosedur dan kekangan parti.

Konsep kebolehmenangan ini juga bertepatan dengan kajian mutakhir yang dilakukan oleh ahli akademik yang mendapati lebih ramai pengundi akan mengundi berdasarkan peribadi calon berbanding jenama parti.

Dari segi jangka panjang pula, konsep kebolehmenangan ini akan memastikan setiap parti bekerja keras memastikan mempunyai calon terbaik di samping mendorong penyandang tidak leka menjaga kebajikan pengundi kerana pencalonan semula tidak terjamin.

Jika konsep ini dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN, diyakini tiada parti komponen akan membangkang selaras keutamaan BN untuk bukan sahaja menang, tetapi mendapat kembali majoriti 2/3, dalam PRU14.

Penulis adalah Felo Utama Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia

357 dibaca
Berita Harian X