Rabu, 27 September 2017 | 10:52am
Projek Terusan di Segenting Kra. - Foto ihsan http://www.ship-technology.com

Cabaran strategik Terusan Kra

Projek Terusan di Segenting Kra, iaitu suatu idea yang sudah berlegar sejak 300 tahun lalu digemakan kembali oleh beberapa pakar dari China.

Projek yang mampu menghubungkan Lautan Hindi dengan Laut China Selatan ini dikatakan bakal menjadikan Thailand destinasi aktiviti ekonomi maritim utama Asia Tenggara, mengatasi Singapura serta memudarkan dominasi Selat Melaka, selat paling rancak dan sibuk di dunia.

Usaha menggali terusan gergasi ini bukan sekadar memerlukan pertimbangan impak alam sekitar yang mendalam, bahkan juga pemindahan penduduk besar-besaran di samping bayaran pampasan yang tinggi kepada pemilik hartanah serta penduduk yang terbabit. Pastinya pertimbangan ini berat diterima pembuat keputusan, pakar ekonomi, dan juga perancang bandar Thailand. Tambahan lagi, meskipun manfaat strategik hakikatnya ia berbeza dengan impak projek pembinaan terusan gergasi lain seperti Terusan Suez kerana penjimatan jaraknya cukup jauh.

Berbeza dengan Terusan Suez yang memendekkan jarak 10,000 kilometer (km) atau pun Terusan Panama (7,000 km), Terusan Segenting Kra ini berkemungkinan besar menjimatkan hanya 1,200 km sahaja. Faktor masa yang lama sebelum kapal boleh mula berlabuh serta sebelum kemudahan di terusan berkenaan bersedia juga bakal merumitkan pemimpin Thailand mendapatkan pulangan bagi menampung kos dalam jangka masa sederhana.

Faktor politik juga tidak kurang mencabar buat projek ini. China mungkin memiliki modal melebihi AS$1 trilion (RM4.2 trilion) untuk gagasan Satu Jalur Satu Jalan 'OBOR' di seluruh dunia beserta Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) bagi merealisasikan projek yang dijangka menelan belanja AS$50 bilion (RM210 bilion) ini.

Namun, politik domestik Thailand menimbulkan konteks kurang stabil. Hal ini kerana tentera Thai memiliki reputasi campur tangan seperti rampasan kuasa sekali gus boleh menimbulkan tindak balas gerakan pro-demokrasi kemudiannya.

Pengajaran dari kisah seperti pertembungan antara penyokong 'Baju Merah' dengan penyokong 'Baju Kuning' yang sebelum ini pro-rampasan kuasa serta pro-tentera membuktikan risiko ini. Kemelut pada waktu itu bukan sahaja mengakibatkan projek pembinaan Lapangan Terbang Suvarnabumi terjejas teruk, bahkan juga melemahkan ekonomi Thailand secara keseluruhannya.

Turut beri impak pelaburan di Singapura

Dari segi geopolitik, Projek Terusan Kra ini jika dilaksanakan bakal mengimpak pelaburan infrastruktur sedia ada China bukan sahaja di Malaysia, bahkan juga di Singapura. Di Malaysia, China bukan sahaja terbabit dalam membangunkan projek pelabuhan seperti Pelabuhan Kuantan yang 40 peratus pegangannya dimiliki syarikat kerajaan China Beibu, serta Pelabuhan Melaka Gateway, tetapi juga projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam keadaan ini, China sudah mempunyai peluang mengurangkan kebergantungannya dengan Singapura daripada laluan kapal perdagangan mereka melalui Pelabuhan Kuantan-ECRL-Pelabuhan Klang/Pelabuhan Melaka. Malah, China turut bersungguh-sungguh membida projek Kereta api Laju Kun-ming-Singapura yang mana antara laluan utamanya ialah Kuala Lumpur-Singapura. Maka, dalam keadaan ini China pastinya tidak ingin melihat laluan darat utama Asia ini ditangguhkan demi pembinaan terusan di Segenting Kra yang dilitupi pelbagai unsur ketidakpastian.

Keputusan akhir tetap terletak di tangan pemimpin Thailand serta komitmen kredit dari China. Apa yang pasti, projek ini sekiranya dilaksanakan kelak bakal beri impak negatif ke atas kepentingan nasional Malaysia.

Pada satu sisi projek Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Melaka yang kini dalam pembinaan bakal berhadapan cabaran mendatangkan pulangan pinjaman kredit China.

Pada sisi lain, prospek projek ECRL yang diunjurkan bakal menjadi pilihan bagi mengangkut muatan dari pelabuhan Pantai Timur ke Pantai Barat akan turut menjadi suram.

Ditambah pula dengan hakikat bahawa kita perlu memulakan pembayaran kredit kepada China tujuh tahun selepas projek ini dimulakan, pembinaan Terusan Kra jelas bukan sahaja bakal beri impak ke atas projek infrastruktur yang sedang dibina di Malaysia, bahkan juga ke atas kepentingan strategik semasa negara seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Penulis adalah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

8687 dibaca
Berita Harian X