Jumaat, 25 Ogos 2017 | 11:09am
SEKUMPULAN kanak-kanak mengibarkan bendera berlatar belakang 240 Jalur Gemilang yang menghiasi Flat Desa Putra, Persiaran Bayan Indah 3, Georgetown, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Bagaimana tercapai kemerdekaan hakiki

HANYA tinggal beberapa hari saja lagi akan menjelangnya fajar 31 Ogos. Rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa atau warna kulit akan sama-sama merayakan hari kemerdekaan yang ke-60. Satu hari yang sungguh tinggi nilai dan ertinya bagi mereka yang menghargainya.

'Negaraku Sehati Sejiwa' begitu bunyi tema yang dipilih. Pastinya itulah yang diimpikan oleh rakyat dan pimpinan negara. Kita mahu rakyat Malaysia bersatu hati serta menjauhkan segala bentuk konflik dan perbalahan agar kita sama-sama dapat menikmati ruh kemerdekaan yang amat mahal harganya ini.

Secara umumnya, kemerdekaan boleh diertikan sebagai satu bentuk kebebasan daripada penjajahan dan juga kuasa asing. Menurut Dewan Eja, merdeka memberi maksud bebas (daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri dan tidak bergantung pada yang lain.

Berdasarkan kepada beberapa definisi di atas, ia sebenarnya tidak bercanggah bahkan amat selari dengan konsep kebebasan di dalam Islam yang bertunjangkan ketauhidan kepada Allah. Islam hadir bagi membebaskan manusia daripada pengabdian kepada sesama makhluk kepada perhambaan hanya kepada Allah SWT.

Kemerdekaan yang hakiki ialah apabila manusia hanya mengikut petunjuk Allah SWT serta membebaskan diri mereka daripada cengkaman hawa nafsu yang merosakkan kehidupan di dunia dan juga di akhirat yang akhirnya memerdekakan mereka daripada seksaan azab di akhirat nanti.

Kemerdekaan adalah suatu yang amat bernilai bagi kita semua. Ini kerana untuk mencapai kemerdekaan ini, terlalu banyak kesukaran dan kepedihan yang terpaksa diharungi oleh pejuang kita yang terdahulu. Ramai yang terkorban demi meraih kemerdekaan ini. Tidak kurang pula ramai yang tercedera dan sehingga kini kesan-kesan kecederaan itu masih kekal menjadi nostalgia yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidup.

Justeru, kita harus sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi pelbagai kemungkinan serta ancaman dari musuh negara dalam pelbagai bentuk. Di saat kemajuan teknologi berkembang begitu pesat sekali, ancaman musuh tidak lagi dalam bentuk serangan ketenteraan, akan tetapi serangan yang dibuat adalah dalam bentuk aqidah, pemikiran dan kefahaman. Serangan dalam bentuk ini jauh lebih sukar untuk dibendung kerana ia seumpama api di dalam sekam. Kesannya tidak dapat di lihat dari luar, namun secara perlahan ia membakar hangus dari dalam.

Dalam menghadapi cabaran yang begitu hebat ini, umat Islam seharusnya memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta mengukuhkan aqidah dan keimanan dalam usaha membebaskan diri mereka dari segala bentuk ajaran dan pemikiran sesat yang semakin menjadi-jadi.

Wujud banyak kumpulan yang membawa ajaran menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Apa yang malang, ramai pula dari kalangan umat Islam yang terpengaruh, termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan dari aliran agama dan juga golongan profesional.

Pemikiran dan aqidah mereka dijajah oleh ideologi sesat yang memalingkan mereka dari jalan kebenaran. Bagi memelihara kesahihan fahaman Islam yang sebenar, maka perlu diwujudkan program pengukuhan aqidah. Pegangan agama pula hendaklah dimantapkan sejak usia awal kanak-kanak lagi. Ajaran Islam yang sebenar haruslah diikuti. Panduan nubuwwah mestilah dihayati. Kehidupan ulama perlu diteladani. Barulah tercapai kemerdekaan hakiki.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia / Pembantu Penyelidik di NAM Publications

117 dibaca
Berita Harian X