Isnin, 21 Ogos 2017 | 7:28am
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

Konsep taawun rapatkan PAS-UMNO

Selepas menamatkan tahaluf siyasi dengan pakatan pembangkang, PAS optimis untuk meletakkan calon dalam sekitar 120 hingga 140 kerusi Parlimen termasuk kerusi milik Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Tanpa kerjasama itu, PAS didakwa tidak berminat ke Putrajaya, sebaliknya didakwa lebih memberi fokus terhadap kerjasama politik dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ikuti temu bual Wartawan BH Ahad, NAZURA NGAH bersama Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang masih lagi bercuti rehat selepas menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN) pada 16 Mei lalu.

S: Bagaimana perkembangan kesihatan Datuk Seri ketika ini. Adakah masih memerlukan rawatan intensif di IJN dan berapa lama diberi cuti rehat oleh doktor?

J: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Doktor pun sudah izinkan saya lakukan aktiviti ringan secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, saya masih memerlukan rawatan susulan dan masih diberi cuti rehat sehingga pulih sepenuhnya.

S: Dalam tempoh terdekat ini, bagaimana Datuk Seri menjalankan tugas rasmi terutama sebagai Presiden PAS, Ahli Parlimen Marang dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia?

J: Saya banyak dibantu oleh setiausaha dan pegawai saya. Pada masa sama, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kerap kali datang berjumpa untuk merujuk beberapa perkara penting yang memerlukan pandangan dan persetujuan saya. Selain itu, saya boleh berkomunikasi melalui telefon untuk menghubungi pimpinan PAS dan juga rakan antarabangsa. Kenyataan saya berkaitan isu antarabangsa juga disiarkan di laman media sosial seperti Facebook Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

S: Ketika Datuk Tuan Ibrahim menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden PAS, ada beberapa pihak mendakwa wujud pertelingkahan pandangan dalam membuat keputusan antara Datuk Seri dan Datuk Tuan Ibrahim termasuk keputusan menggugurkan Datuk Mustafa Ali daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang kemudiannya dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

J: Semua itu dalam makluman dan persetujuan saya. Tiada isu sebenarnya. Datuk Tuan Ibrahim merujuk kepada saya terlebih dahulu. Datuk Mustafa ialah sahabat baik saya sejak zaman Pemuda lagi. Kita melantik beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS kerana menghargai jasa dan pengalaman dalam jawatankuasa PAS, kita mahu mendengar pandangan beliau. Lagi pula beliau tetap hadir program PAS dan selalu berjumpa saya seperti biasa. Ini hanya mainan media dan saya harap media jujur dalam membuat pemberitaan.

S: Sidang Parlimen sesi kali ini sudah berakhir dan sebelum ini PAS optimis Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) akan dibahaskan pada persidangan itu, namun ia tidak juga menjadi kenyataan. Bagaimana PAS menangani isu ini?

J: PAS sudah berjaya membawa ke peringkat membentangkan dan menghuraikan usul serta disokong pindaan Akta 355 pada sesi lepas. Sekarang terserah kepada Tan Sri Speaker untuk menyambung perbahasan dan masih ada lagi perkara teknikal yang memerlukan masa bagi menjayakan RUU 355 ini. Pendirian kita jelas, kita tidak berputus asa dan berganjak dalam perjuangan memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya melalui pindaan Akta 355. Kita melihat RUU 355 ini menjangkaui sempadan politik semata-mata.

S: PAS kini sudah tidak bersama pakatan pembangkang yang menggabungkan secara rasmi antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain beberapa parti termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM). Bagaimana Datuk Seri melihat keraguan banyak pihak termasuk penyokong akar umbi terhadap kekuatan PAS yang berada dalam Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)?

J: PAS ada kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan seluruh negara. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP. Saya yakin pembangkang gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan PPBM adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu. Kita sentiasa membuat kajian dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana pihak sejak 1950-an hingga hari ini dan kita boleh membuat keputusan sendiri dan memilih mana yang paling baik.

Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan adalah satu-satunya gabungan yang unik dan tidak pernah wujud dalam negara kita. Biasanya apabila menyebut mengenai gabungan politik, maka akan berlaku gabungan antara parti politik sebagaimana PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional (BN), Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelainan yang ada pada Gagasan Sejahtera adalah ia gabungan parti politik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat, tokoh akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan atau sesiapa saja yang berminat untuk bersama Gagasan Sejahtera.

S: Jika bersama pembangkang, PAS mampu menawan 21 kerusi Parlimen pada PRU-13. Bagaimana pula jangkaan PAS secara realistik untuk PRU-14 terutama selepas berhasrat untuk bertanding di 120 hingga 140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh?

J: Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40 kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata berdasarkan kajian yang kita buat pada peringkat akar umbi melalui analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU). Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya. Kekuatan PAS tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata. Kekuatan kita berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan. Mengambil kira pengalaman, PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986, pernah jatuh dua kerajaan negeri dan keadaan ini tidak pernah dialami oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan. Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat.

S: Tanpa kerjasama dengan gabungan parti pembangkang, PAS dilihat hilang arah tuju dan bagaikan tidak berhasrat untuk menang PRU-14. Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini?

J: Pertama, saya sudah menulis beberapa artikel dan juga dalam ucapan dasar Muktamar PAS April lalu bertemakan 'Sejahtera Bersama Islam' dan ia sudah menjelaskan bahawa hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini adalah mengajak rakyat untuk menyelamatkan negara bersama Islam. Banyak parti politik bersemangat ke Putrajaya disebabkan teruja dengan kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, ada juga yang berlumba sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa saja termasuk musuh Islam yang mahu menipu dan memporak-perandakan umat Islam, ada juga yang marahkan salah laku dan perkara negatif sehingga sanggup menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah bahayanya.

PAS mahu ke Putrajaya dengan Islam menjadi asas penyelesaian segala masalah yang berlaku. Adalah menjadi kewajipan sebenarnya untuk melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan. Kedua, hala tuju PAS sekarang adalah memperkasakan Gagasan Sejahtera menuju PRU-14 bersama-sama IKATAN, NGO, tokoh masyarakat dan parti lain yang akan menyertai kita. Melalui Gagasan Sejahtera yang dibentuk dengan dukungan rakyat dan bukti bersihnya kerajaan Kelantan daripada salah laku dan rasuah, kita tawarkan kepada rakyat pemerintahan yang amanah, adil dan saksama dengan bersama-samanya Islam sebagai tonggak pemerintahan yang menjamin keadilan untuk semua kaum dan bangsa.

S: Banyak pihak mengecam tindak-tanduk Datuk Seri yang dilihat berbeza dengan kepemimpinan terdahulu termasuk bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mewujudkan golongan tidak berpuas hati dalam parti yang akhirnya keluar dan membentuk parti serpihan. Adakah politik diamalkan kepemimpinan Datuk Seri hari ini sesuai dengan kelangsungan PAS sebagai parti Islam di negara ini?

J: PAS ada dasar Islam yang menjadi tonggak kepada perjuangannya. Pemimpin PAS bersilih ganti dari zaman berzaman. Yang istiqamah akan kekal dan yang khianat akan tercampak keluar. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz meninggal dalam PAS dan istiqamah dengan dasar Islam yang dipegang. Mereka yang tidak ikut jejak Tuan Guru hakikatnya mengkhianati amanat Tuan Guru yang mengakhiri hidupnya dalam PAS. Perubahan yang kita buat hari ini adalah selepas perbincangan dengan Tuan Guru Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia. Mereka yang keluar parti (membentuk parti serpihan) ini tidak tahu. Saya hanya menyambung warisan perjuangan Islam bersama bahtera PAS yang ditinggalkan oleh Almarhum.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat kemampuan Parti Amanah Negara, selaku parti serpihan PAS untuk berada di pentas politik, sekali gus menggantikan PAS?

J: Kewujudan Parti Amanah Negara tidak memberi sebarang kesan kepada politik negara. Parti itu tidak boleh menggantikan PAS sebab tidak mendapat sokongan Melayu seperti PAS iaitu parti didukung oleh orang Melayu dan diterima oleh orang bukan Islam. Mereka yang berada di belakang penubuhan Parti Amanah Negara akan meninggalkan parti itu apabila tujuan penubuhan itu kelihatan tidak tercapai.

S: Adakah masih wujud ruang untuk PAS kembali bekerjasama dengan gabungan parti pembangkang 'dipandu' DAP menjelang PRU-14 atau sebenarnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gabungan itu?

J: Kita sudah membuat keputusan, tiada kerjasama dengan DAP dan parti yang bekerjasama dengan DAP. Keputusan kita jelas apabila melihat sikap keras terhadap Islam yang dipamerkan oleh DAP dengan menghalang hak umat Islam yang dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan menghalang pelaksanaan undang-undang Islam kepada orang Islam saja.

Malangnya, DAP lantang menghalang kita untuk meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Akta 355 yang hanya dikenakan ke atas orang Islam saja. Jadi saya lihat, kerjasama dengan DAP hanya merugikan Islam. DAP berjaya mengumpulkan kumpulan Melayu dan NGO yang memberanikan diri untuk menunjukkan sikap anti-Islam sehingga menyentuh Perlembagaan Persekutuan tanpa menghormati sensitiviti kaum. Kita mengharapkan supaya kalangan bukan Islam menyedari bahawa DAP adalah penyebab kepada ketegangan hubungan kaum dan mereka perlu berpindah dan tidak lagi menyokong DAP.

S: Adakah benar rundingan sedang berjalan antara PAS dan UMNO untuk menggarapkan 'jalinan kerjasama' untuk PRU-14?

J: Tarikh pilihan raya belum ditetapkan. Oleh sebab itu, tiada guna kita bincang mengenai pilihan raya. Apa yang dibincangkan terkini adalah mengenai isu rakyat, di mana kita menyokong perkara yang positif dan kita terus bersikap tegas, menegur dan mengkritik secara membina dalam perkara yang negatif. Hubungan PAS dengan UMNO tidak lebih daripada bekerjasama dalam perkara kebaikan dan keutamaan rakyat. PAS tidak akan masuk UMNO, itu jelas. Dalam politik, kita tidak ulang strategi lama.

Benda baik yang dibuat oleh UMNO, kita sokong dan bagi kerjasama seperti RUU 355 serta isu penindasan etnik Rohingya. Tetapi benda salah yang dibuat oleh UMNO, kita tentang dan tak bersetuju seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), cukai barang dan perkhidmatan (GST), Program Dwibahasa (DLP) dan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164). Kenapa apabila PAS bekerjasama dengan UMNO atas dasar kerajaan dengan kerajaan dituduh PAS mahu bergabung dengan UMNO? Bagaimana pula dengan DAP yang bekerjasama dengan UMNO untuk projek Jambatan Pulau Pinang?

S: Apa pendirian PAS terhadap permuafakatan ini (PAS-UMNO), apa pula pandangan peribadi Datuk Seri?

J: Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun (penyatuan atau kerjasama) dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan".

S: Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam bagaikan di persimpangan jalan sama ada memilih gabungan parti dominan Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang dikuasai dan dipandu DAP. Apa pandangan dan pendirian Datuk Seri?

J: Saya menyeru orang Melayu-Islam untuk kembali kepada penyelesaian Islam. Mulianya orang Melayu bukan bangsanya Melayu tapi mulianya kerana bersama-sama Islam. Ini disebut oleh Saidina Umar Al-Khattab: "Sesungguhnya kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Ketika kita mencari kemuliaan bukan dengan yang Allah telah muliakan kita (Islam), maka Dia akan membuat kita hina." Islam sudah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim.

Kedatangan penjajah Barat mengubah landskap negara menjadi masyarakat bersama kaum-kaum yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun dilemahkan oleh penjajah dengan membuang undang-undang Islam dan penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama. Berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahannya dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu.

Pada masa sama, wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan membabitkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua. Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera bersama Islam.

3924 dibaca
Berita Harian X