Sabtu, 5 Ogos 2017 | 6:05am

Pelampau tiada tempat di Malaysia

Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat (KMPN) hari ini dan esok

Negara kita bakal menempa satu sejarah dalam mencanai pemikiran bangsa dengan berlangsungnya satu konvensyen, bertujuan memperkukuh institusi Raja di negara kita yang menjadi pasak dan tumang negara. Konvensyen ini akan berlangsung ketika rakyat keseluruhannya haruslah menyedari akan sejarah negara dalam pembangunan dan peradabannya yang tinggi hasil kemantapan peranan Institusi Raja kita.

Sejarah negara kita sebenarnya banyak mengemukakan fakta dan peristiwa yang memungkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya menginsafi akan kedaulatan agama Islam di negara ini.

Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu, dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya.


Institusi Raja Melayu adalah tonggak yang mempertahankan Islam di Malaysia. - Gambar hiasan

Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam, selaras dengan adat istiadat Melayu yang sudah diterima berdekad-dekad lamanya di negara kita, seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum, kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama Risalah Hukum Kanun berasaskan undang-undang Islam mengenai perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jenayah. Risalah ini adalah dokumen penting mengenai pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Sejarah juga mencatatkan bahawa ada beberapa negeri Melayu yang menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri berkenaan, seperti yang dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu pada 1911.

Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam catatan sejarah, tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum, sehingga seolah-olah Tanah Melayu ini menjadi satu bumi asing kita semua, sehinggakan orang Melayu sendiri juga dilihat sebagai 'pendatang' di negaranya sendiri.

Sejarah Tanah Melayu baharu, yang diberikan nama Malaya oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati mengenai status agama Islam, iaitu ketika Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya agama Islam dijadikan agama negara Malaya, dan sebagai balasannya yang adil, maka prinsip ini tidak menyentuh hak warganegara bukan Islam untuk menganut agama mereka.

Cadangan inilah yang diterima dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Britain, iaitu mengenai kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni, adalah satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini.

Institusi Raja Melayu pertahan Islam semua negeri

Hal inilah juga yang menjadi satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini, di samping kontrak sosial dalam aspek lain.

Kontrak sosial mengenai agama ini adalah persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya mengenai kandungan persetujuan yang diterima untuk diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara.

Oleh itu amat malang jika ada pihak yang cuba menafikan mengenai wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dahulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini.

Golongan inilah yang kelihatannya sedang mencuba untuk mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang sudah pun menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika mencapai kemerdekaan.

Institusi Raja Melayu adalah tonggak yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana Raja-Raja adalah ketua agama Islam.

Istilah Islam ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata, iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan dalam masyarakat kita.

Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan dalam pentadbiran agama akan dapat dilipat gandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap, sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk pelampau dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana dalam agama yang wujud di dunia ini akan ada golongan pelampau dan fanatik melulu.

Golongan pelampau agama dan taasub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara kita yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.

Titah penuh bernas, penuh makna dan falsafah

Berdasarkan fakta dan hakikat yang disebutkan di atas, maka saya berasakan bahawa konvensyen pada Sabtu dan Ahad ini bertemakan 'Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Yang Lebih Tersurat' amat tepat pada masa dan ketikanya dalam usaha memperbaharui semangat dan kesedaran rakyat negara seluruhnya mengenai kepentingan kedaulatan institusi diraja dalam negara yang berperlembagaan ini.

Saya percaya bahawa Titah DiRaja yang akan disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muiz- zuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah akan lahir sebagai titah yang bernas, penuh makna dan falsafahnya akan merentasi minda dan roh rakyat keseluruhannya.

Berdoalah kita semua semoga konvensyen ini akan dapat melakar satu sejarah baharu dalam merealisasikan temanya seperti yang dinyatakan di atas.

Penulis adalah Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

207 dibaca
Berita Harian X