Khamis, 3 Ogos 2017 | 10:13am
ULAMA dan umara terikat dengan satu tujuan iaitu menjaga dan menegakkan kemaslahatan kehidupan manusia. - Foto hiasan

Menata hubungan ulama, umara tonggak citra TN50

PERSOALAN antara agama dan negara adalah salah satu subjek penting dan diperdebatkan pemikir Islam sejak seabad lalu hingga kini. Imam al-Mawardi dan Imam al-Ghazali memberi kesimpulan bahawa hubungan antara agama dan negara itu adalah satu hubungan yang bersifat simbiotik, bermaksud bahawa kedua-duanya terhubung secara timbal balik dan saling memerlukan.

Imam al-Mawardi di dalam karyanya al-Ahkam al-Sultoniyah menyimpulkan bahawa negara itu adalah instrumen untuk meneruskan misi kenabian iaitu memelihara agama (hirasah al-diin) dan mengelola kehidupan dunia (siyasah al-dunya).

Pemeliharaan agama dan pengaturan dunia, adalah dua jenis aktiviti yang berbeza, namun berhubungan secara simbiotik.

Kedua-duanya adalah dua dimensi dari misi kenabian. Imam al-Ghazali menerusi karyanya al-Tibru al-Masbuk fi Nashihati al-Muluk, menekankan keselarian hubungan antara agama dan negara, yang diikat dengan maqsad atau objektif yang satu iaitu kemaslahatan kehidupan manusia.

Perbicaraan berkenaan hubungan antara negara dan agama ini, memperlihatkan seolah-olah wujud dikotomi antara pihak yang menata urusan negara dengan pihak yang mengelola perihal dunia.

Pihak yang menguruskan negara ini dikenali sebagai umara, manakala yang berwenang berkaitan keagamaan disebutkan sebagai ulama.

Pihak berbeza, tujuan serupa

Berdasarkan apa yang disimpulkan oleh Imam al-Ghazali, biarpun kedua-duanya seolah-olah pihak berbeza, namun kedua-duanya diikat dengan satu tujuan iaitu untuk menjaga dan menegakkan kemaslahatan kehidupan manusia.

Oleh kerana objektif utama bersama kedua-dua pihak ini ialah berusaha bagi mewujudkan negara yang menegakkan kemaslahatan insan, maka hubungan simbiotik kedua-duanya adalah hubungan kerjasama yang harmonis, bebas tapi kritis.

Dasar hubungannya adalah menegakkan kebenaran dan mewujudkan keadilan dan kemaslahatan. Ulama dan umara posisinya sejajar. Ulama menghargai umara dan umara pula menghormati ulama.

Sejarah secara luhur dan terhormat mengkhabarkan kepada dunia, bagaimana hubungan murni ulama dan umara yang menggenggam matlamat sama demi kemaslahatan insaniah ini, menjulang secara umumnya pemerintahan dan peradaban Islam ke suatu puncak keagungan.

Imam al-Hasan al-Bashri pernah menulis surat kepada Khalifah Bani Umaiyyah, Umar Abd al-Aziz menyarankan nasihat dan pedoman kepada sang khalifah. Demikian pula Imam al-Mawardi terhadap Khalifah Abbasiyah Al-Qaim bin Amrullah melalui karya-karyanya.

Pengasas Khilafah Uthmaniah Sultan Uthman Ghazi dicatatkan, menasihati puteranya yang bernama Orhan yang menggantikannya sebagai Sultan Empayar Uthmaniah, 'Jangan pernah menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak diperintahkan oleh Allah. Bermusyawaralah dengan ulama dalam hal-hal yang tidak engkau ketahui".

Nasihat ini jauh daripada sekadar basa-basi, kerana Uthman Ghazi sendiri turut melazimi nasihat ini di mana beliau sering berhimpun dengan ulama dan membabitkan mereka dalam urusan pemerintahan.

Meneliti lipatan sejarah ketamadunan Alam Melayu, melalui tulisan di dalam kitab Taj al-Salatin karya Bukhari al-Jauhari, Bustan al-Salatin oleh Nuruddin Al-Raniri dan Sulalat al-Salatin oleh Tun Seri Lanang; turut membawakan kesan bagaimana hubungan simbiotik antara ulama dan umara itu adalah satu faktor penting yang mengangkat peradaban umat Melayu Nusantara umumnya serta Kesultanan Melayu Melaka khususnya.

Sehubungan dengan itu, apa yang disaksikan oleh sejarah, maka prinsip yang sama masih absah dipakai. Mengiktibari catatan sejarah ini, dalam memacu negara menuju kemajuan dan kemakmuran, maka sangat penting hubungan simbiotik ulama dan umara ini diposisikan dengan sahih dan bersistematik.

Keelokan dan kejayaan transformasi yang diusahakan akan menjadi realiti apabila hubungan timbal balas ulama menghargai umara dan umara pula menghormati ulama kembali menjadi kerangka rujuk pentadbiran dan pengurusan negara.

Transformasi Nasional 2050 atau TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Dari sebuah negara maju, Malaysia menyasarkan untuk menjadi antara 20 negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

Citra pembangunan TN50 ini dapat dilihat bukan lagi terikat dengan indeks kemajuan material semata-mata, bahkan turut bercerita mengenai membina sebuah peradaban.

Komitmen Malaysia ini dapat dilihat apabila secara serius dan bersistematik, pemerintah (baca: umara) mengisytiharkan bahawa bagi melaksanakan pentadbiran negara, kerangka Maqasid Syariah dan pendekatan Wasatiyah dijadikan panduan dan pedoman utama pentadbiran.

Islam memakmurkan pembangunan

Melalui wadah Indeks Syariah Malaysia yang dilancarkan, kesyumulan Islam dalam memakmurkan setiap juzuk pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan harmoni dan efektif.

Di sini, gabung jalin kepakaran ulama semestinya di kehadapankan bersama dengan golongan teknokrat dalam membina dasar, pelaksanaan program serta proses pembinaan sumber daya insani negara.

Bagi memastikan maslahah untuk memelihara agama dan mengelola kehidupan dunia benar-benar dapat dicapai, maka sudah pasti faktor penting kejayaannya ialah sebagaimana yang disimpulkan oleh hadis Rasulullah SAW ini: 'Dua golongan manusia yang jika elok keduanya, maka eloklah orang ramai; dan jika rosak keduanya maka rosaklah manusia, mereka itu ialah ulama dan umara." (Hadis riwayat Abu Nu'aim).

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Khas, Sekretariat Ulama-Umara (UMUM)

Berita Harian X