Isnin, 31 Julai 2017 | 4:24pm

Ingati sebab Kesultanan Melaka runtuh

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO Bahagian Kota Melaka meminta supaya pengundi dan rakyat Malaysia perlu mengambil iktibar dan pengajaran atas keruntuhan Kesultanan Melaka suatu ketika dahulu. Keagungan sejarah pemerintahan Melaka hanya tinggal sejarah yang terpahat di hati nurani khususnya orang Melayu, namun negeri itu kini tiada Sultan yang pernah menjadi kebanggaan bukan sahaja di dalam negara malah seantero dunia.

Semuanya disebabkan kealpaan dan permusuhan sesama sendiri. Masalah dalaman terbawa-bawa hingga mengundang pihak luar sehingga Melaka dijajah oleh Portugis. Dek gara-gara ketidakpuasan hati dan persengketaan sesama saudara sehingga sanggup Si Kitol dan Mandeliar meminta pihak luar menyerang Melaka. Semuanya menjadi lipatan sejarah.

Namun, sejauh manakah rakyat Malaysia mengambil pengajaran atas segala percaturan sehingga musnah keagungan kesultanan Melaka?

Senario agak berbeza namun, skrip politiknya agak sama. Masa kini fitnah tidak lagi melalui mulut ke mulut, namun menular melalui media baharu. Penyebaran maklumat palsu dan sengaja untuk menjatuhkan kerajaan sekarang, disebar luas melalui media sosial sehingga perkara yang palsu dianggap benar, manakala yang benar dinafikan.

Berkhidmat, bela rakyat tanpa mengira kaum

Tohmahan mengatakan UMNO sebagai sebuah parti yang rasis bangsa contohnya sengaja diuar-uarkan oleh pihak DAP untuk meningkatkan emosi kebencian. Namun hakikatnya, UMNO adalah sebuah parti yang berkongsi kuasa. Walau tiada suatu pun kawasan Parlimen yang majoritinya dikuasai pengundi bukan Melayu di Semenanjung, namun UMNO masih lagi memberi ruang dan peluang kepada rakan BN untuk bertanding.

Malah, konsep berkongsi kuasalah formula terbaik sehingga BN kini terus memberi perkhidmatan dan membela rakyat tanpa mengira kaum. Ahmad Zahid juga menggesa agar rakyat tidak berada di zon selesa dan leka dengan segala dakyah berterusan. Malahan, beliau meminta agar jentera UMNO-BN fokus kepada usaha memenangi Parlimen Kota Melaka.

Gunakan peluang sebaiknya dalam keadaan DAP sedang berkocak di Melaka. Sehingga pemimpin utama DAP Melaka meletakkan jawatan semata-mata 'tidak sebulu' dengan keputusan pemimpin utama di peringkat DAP Pusat. Alasannya kerana ramai ahli DAP yang tidak bersetuju kewujudan gabungan Lim Kit Siang-Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kit Siang sudah lama memusuhi Dr Mahathir dengan pelbagai gelaran dan tindakan drastik. Tiba-tiba boleh berbaik dan seangkatan dengan DAP menyebabkan ramai pemimpin dan ahli DAP meletak jawatan dek tindakan yang mereka anggap tak masuk akal.

"Ini kali lah Dinasti Lim ditiadakan", bermula di Kota Melaka" kata Ahmad Zahid agar pengundi Cina khususnya MCA perlu bekerja keras dan merampas kembali Parlimen Kota Melaka. Beliau juga menyatakan agar rakan-rakan berbangsa Cina kembali ke pangkuan BN, kerana DAP sudah banyak kali tidak dapat membuktikan apa yang dijanjikan. MCA perlu mengambil peluang ini untuk merampas Kota Melaka menjadi milik BN, katanya.

Fakta menunjukkan, DAP bertapak awal di Kota Melaka walaupun Kit Siang berasal dari Batu Pahat, Johor. Namun apabila Kit Siang sedar Melaka tidak dapat ditawan oleh DAP, beliau bertanding di Johor dan anaknya lari ke Pulau Pinang. Sebenarnya keadaan ini adalah kemenangan moral buat UMNO Melaka yang terus mempertahankan negeri itu terus didakap BN.

Selesaikan segala masalah

Namun yang penting bagi Ahmad Zahid adalah kekemasan, kekuatan dan hubungan jalin jentera bukan sahaja dalam kalangan UMNO, malah lebih penting atas nama komponen BN. Utamakan kemenangan dalam PRU14 berbanding dengan 'sibuk' berkempen untuk menjadi ketua bahagian dalam UMNO.

Jentera BN perlu memantau gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi dan menyelesaikan segala masalah dan janji yang diberikan. Malah, beliau secara sinis menyatakan, wujud juga segelintir pemimpin UMNO yang lebih ghairah memenangi jawatan dalam parti yang boleh merencat usaha memenangi hati rakyat. "Apa maknanya kita menang dalam bahagian. jika kita kalah dalam PRU14 nanti", kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu.

Penulis ialah penganalisis politik Universiti Teknologi MARA

834 dibaca
Berita Harian X