Jumaat, 28 Julai 2017 | 12:00pm
- Foto hiasan

Hak pendidikan madrasah tahfiz untuk difahami

Kerajaan sememangnya sudah menunjukkan satu komitmen yang terpuji berkaitan pembangunan bidang pendidikan negara sejak awal kemerdekaan negara ini lagi. Untuk tahun ini sahaja, sejumlah RM56.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Apatah lagi dengan sasaran menjadi sebuah negara maju yang sudah hampir pada 2020, serta hitung kira 30 tahun yang sudah mula detik hitungannya bagi mencapai sasaran Transformasi Nasional 2050; maka bidang pendidikan berserta segala juzuk dan rencamnya menjadi semakin kritikal buat negara.

Salah satu bidang pendidikan yang berjalan dengan suburnya dalam kalangan masyarakat ialah bidang pendidikan tahfiz al-Quran. Sejarah negara mencatatkan bahawa pendidikan tahfiz ini secara rasminya sudah diinstitusikan seawal 1966 lagi sebagaimana ucapan Datuk Seri Najib Razak sendiri pada Majlis Himpunan 20,000 Huffaz pada 2016 di Masjid Wilayah Persekutuan.

"Melengkapi semua itu, pendidikan tahfiz juga didukung dengan sebaiknya di negara ini. Ini dapat dilihat dengan jelas, apabila pada 1966, sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. Dengan penubuhan itu, maka bermulalah pengajian dalam bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan bilangan pelajar pada masa itu seramai lapan orang sebagai perantis yang dipilih dan dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia," kata Perdana Menteri.

Sejak itu, didukung sama oleh usaha dan inisiatif pihak persendirian, maahad dan madrasah tahfiz berkembang dengan begitu pesat serta mendapat sambutan dan kepercayaan yang sangat baik daripada masyarakat. Cuma ironinya, apabila disemak di dalam buku Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi ke-3, 2012), tidak terdapat pun satu dasar khusus bagi pembangunan pendidikan tahfiz al-Quran di dalam kandungannya apatah lagi perkataan madrasah tahfiz.

Berlainan sekali berbanding Pendidikan Kesenian dan Sekolah Sukan yang nyata terpapar sebagai kandungan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Mungkin boleh diandaikan bahawa pendidikan tahfiz al-Quran itu sudah terserap di dalam Pendidikan Islam atau di bawah tajuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Jika begitu, adakah ini sudah memadai dan dengan benar, sesungguhnya memaparkan kepentingan dan kemuliaan tahfiz al-Quran itu sendiri? Jika dibicarakan, siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab dengan pembangunan dan kebajikan pendidikan tahfiz al-Quran ini?

Berapakah jumlah sebenar bilangan institusi tahfiz di negara ini yang ada pada hari ini? Adakalanya, pertanyaan sebegini menjentik sedikit rasa cemburu warga tahfiz berbanding tajuk 'Pendidikan untuk Murid Orang Asli dan Penan' yang jelas tersenarai di dalam kandungan buku Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Adalah satu perkara yang sangat positif, apabila kerajaan melalui pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akhirnya menggubal Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) pada 2016 lalu. Usaha yang dimulakan sejak 2015 itu, difahamkan sedang berada pada fasa terakhir. Adalah sangat diharapkan, bahawa DPTN ini akan menjadi satu saranan tuntas bagi memperkasa bidang pendidikan tahfiz ini.

DPTN ini semestinya dibangunkan dengan matlamat untuk memastikan bahawa kanak-kanak dan warga negara lain yang belajar di madrasah tahfiz ini turut mendapat hak asasi pendidikan yang sama taraf dengan sekolah kerajaan yang ada.

Walaupun sebahagian besar pelajar tahfiz ini bukan di sekolah kerajaan, namun ia termasuk sebagai antara hak asasi pendidikan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 12 (2) Perlembagaan serta Perkara 14, 17, 18, 28 dan 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diratifikasi Malaysia pada 17 Februari 1995.

Tanggungjawab memastikan hak pendidikan ini dilaksanakan dengan sebaiknya, adalah satu tanggungjawab pemerintah serta masyarakat secara keseluruhannya.

Bagi membolehkan hak ini dapat disempurnakan dengan saksama, maka sangat penting falsafah, konsep, ciri-ciri serta sistem pendidikan tahfiz di madrasah ini difahami terlebih dahulu oleh pihak yang berwenang dalam bidang pendidikan serta pihak yang menggubal DPTN itu sendiri.

Bak kata Stephen R Covey, "Seek first to understand, then to be understood". Bagaimana mungkin hak yang sepenting ini dapat dipenuhi, tanpa terlebih dahulu difahami? Dan, hanya setelah difahami, baharulah hasrat yang diinginkan daripada dasar ini akan difahami dengan sahih oleh warga tahfiz.

Walaupun tahfiz al-Quran bukanlah kemuncak pendidikan dalam Islam, namun ia adalah pasak Rabbani yang kukuh sebagai asas mendidik ummah. Oleh itu, falsafah, konsep dan sistem pendidikan tahfiz yang berasaskan aliran Deobandi atau Dars Nizami yang digunakan oleh majoriti madrasah tahfiz persendirian ini sangat berhak agar diberikan peluang untuk benar-benar dapat difahami, sebelum pemakaian sesuatu dasar itu diputuskan ke atas mereka.

Penulis ialah Penasihat 1 Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA)

416 dibaca
Berita Harian X