Khamis, 27 Julai 2017 | 12:02am
- Foto hiasan

Malaysia nikmati momentum ekonomi memberangsangkan

Prestasi ekonomi negara untuk 6 bulan pertama telah menunjukkan peningkatan yang baik jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Malah, pertumbuhan yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini adalah di luar jangkaan kebanyakkan penganalisis ekonomi.

Pertumbuhan 5.6 peratus yang dicatatkan pada tiga bulan pertama tahun ini menampakkan keupayaan daya saing ekonomi negara untuk terus berkembang. Jika dilihat daripada perkembangan semasa, ekonomi global telah mencatatkan prestasi yang baik jika dibandingkan tahun sebelumnya.

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dalam laporan terkini tentang perkembangan ekonomi dunia yang dikeluarkan pada minggu ini membuat unjuran ekonomi dunia bakal tumbuh pada kadar 3.5 peratus pada tahun ini didorong oleh pertumbuhan positif dalam pelaburan dan perdagangan antarabangsa.

Selain itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam pada itu juga telah memberi gambaran yang baik terhadap pertumbuhan perdagangan antarabangsa. Perdagangan antarabangsa dijangka berkembang pada kadar 2.4 peratus pada tahun ini.

Angka pertumbuhan itu adalah lebih baik dari yang dicatatkan pada tahun 2016 iaitu 1.3 peratus. Perkembangan yang baik ekonomi dunia pada separuh pertama tahun 2017 dilihat lebih sekata di hampir kebanyakan negara maju dan juga membangun.

Justeru, perkembangan yang baik ini dapat dilihat pada angka-angka petunjuk terkini yang dilaporkan. Contohnya, sektor luar telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan eksport tumbuh pada 32.5 peratus pada bulan Mei.

Tahap eksport ke negara rakan perdagangan utama seperti China, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat telah masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 51.5 peratus, 14.9 peratus dan 16.3 peratus.

Tempias kepada pertumbuhan yang baik dalam sektor luaran ini turut dinikmati oleh pelbagai industri di Malaysia. Indeks Pengeluaran Industri (IPI) pada bulan Mei mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus.

Indeks yang sama tumbuh sebanyak 4.2 peratus pada bulan April.

Momentum terhadap permintaan bagi barangan keluaran negara terus dijangka positif seperti yang lihat pada Indeks Pelopor yang mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus pada bulan Mei.

Dalam pada itu, permintaan domestik juga dijangkakan akan terus kukuh dengan dibantu oleh sektor pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan yang baik bagi upah.

Kadar pengangguran dalam negara juga berada pada kadar yang rendah pada 3.4 peratus seperti yang direkodkan pada bulan Mei. Dalam pada itu kadar inflasi juga telah menurun ke paras 3.6 peratus pada bulan Jun.

Oleh itu, dapatlah dilihat bahawa, angka-angka petunjuk semasa memberi gambaran yang baik terhadap prestasi terkini ekonomi negara.

Dalam pada itu, kestabilan sektor pekerjaan telah memberi lonjakan yang baik terhadap permintaan dalaman bagi barangan dan perkhidmatan dalam negara.

Nilai jualan sebanyak RM96.9 bilion yang dicatatkan oleh sektor borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.7 peratus pada bulan Mei 2017 jika dibandingkan dengan 5.6 peratus yang dicatatkan pada 2016. Ini secara tidak langsung menampakkan keupayaan berbelanja rakyat hasil daripada keadaan ekonomi semasa yang baik.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang dapat menghalang atau merencatkan momentum pertumbuhan ekonomi semasa pada tahun ini.

Antaranya ialah ketidaktentuan dasar polisi kewangan negara maju seperti AS dan Eropah yang boleh memberi impak yang tidak baik kepada aliran modal. Dalam pada itu, situasi geopolitik semasa seperti ketegangan di Semenanjung Korea, Brexit, krisis di Timur Tengah juga boleh mempengaruhi iklim ekonomi dunia.

Ketidakstabilan harga komoditi berikutan perubahan dasar serta jumlah pengeluaran yang melebihi permintaan juga antara faktor yang boleh menjejaskan trajektori positif ekonomi global.

Pertembungan yang tidak sihat di antara negara-negara besar seperti AS dan China berkaitan isu perdagangan antarabangsa juga memberi ancaman terhadap pertumbuhan ekonomi global. Dasar isolasi dan perlindungan domestik juga antara cabaran yang dilihat boleh menggugat hala tuju ekonomi dunia termasuk Malaysia dalam jangkamasa terdekat.

Namun demikian, tahun 2017 ini dilihat akan terus menunjukkan prestasi ekonomi yang baik bukan sahaja kepada Malaysia khususnya tetapi juga kepada dunia, amnya. Momentum yang baik sejak suku pertama tahun ini dijangkakan akan berterusan hingga ke penghujung tahun ini.

215 dibaca
Berita Harian X