Isnin, 24 Julai 2017 | 8:59pm

Syor Laut Malaysia Raya nama samudera kita

Tahun ini genap 60 negara kita merdeka. Namun demikian, wilayah laut milik kita di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak masih dirujuk dengan nama 'Laut China Selatan' dan dianggap wilayah terpisah di antara satu sama lain.

Sebaliknya, tiga negara jiran 'memerdekakan' lautan mereka daripada nama Laut China Selatan, iaitu Vietnam yang guna nama Laut Vietnam Timur, Filipina (Laut Filipina Barat) dan Indonesia yang memperkenal Laut Natuna Utara di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) masing-masing.

Berdasarkan faktor geografi, sejarah, sosiologi, ekonomi dan geopolitik, saya mencadangkan nama 'Laut Malaysia Raya' diangkat menggantikan 'Laut China Selatan'.

Malaysia sememangnya negara maritim dengan garis pantai 4,675km, dengan 63 peratus sempadan maritim, mengunjur sejauh 480,000km persegi pentas benua. Malaysia dibentuk negeri maritim seperti Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Masyarakat Melayu sejak dahulu lagi adalah pelaut dan nelayan laut dalam.

Ekonomi maritim penting kepada KDNK Malaysia, manakala pelabuhan di sepanjang Selat Melaka dan di hujung selatan Johor maju menjadi bandar pelabuhan dunia yang utama.

Penukaran nama laut ini juga beri manfaat dalam proses pembinaan negara bangsa, terbukti apabila penukaran nama Laut China Selatan di negara jiran kita beri isyarat cukup jelas akan wilayah EEZ mereka agar tidak dicabar China.

Pada masa sama, semangat patriotisme dan nasionalisme rakyat dapat diperkasakan. Langkah penukaran nama laut kita juga tidak boleh dipandang enteng dek munculnya ancaman luaran.

Antaranya, kes pertikaian atau pencerobohan kapal asing di wilayah EEZ kita. Dalam kes China pula, arus kebangkitan aset ketenteraan China jelas dengan ekspedisi pertama seberang laut kapal induk pesawat udara Liaoning yang mampu angkut pesawat pejuang dalam jumlah cukup besar.

Malah, China kini giat membina dua kapal induk yang bakal memperkuat kehadiran tentera laut mereka (PLA-N) di seluruh dunia kelak.

Penubuhan pangkalan tentera China pertama di luar negara, iaitu di Djibouti, baru-baru ini juga menunjukkan wujud komitmen tentera China peringkat global.

Dari perspektif dalaman, peristiwa 2016 perlu diambil iktibar. Apabila keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap antarabangsa menolak tuntutan sembilan garis terpecah China ke atas seluruh Laut China Selatan diumumkan, seorang warga kita keluarkan kenyataan 'Laut China Selatan adalah milik China'.

Ini membuktikan masih wujud persepsi lautan kita milik China, termasuk dalam kalangan warganegara. Cadangan nama 'Laut Malaysia Raya' ini juga boleh memperkukuh ikatan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Tambahan pula dengan desakan pemisahan seperti Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), langkah mengintegrasi dua wilayah perairan negara ini di bawah nama 'Laut Malaysia Raya' tidak sepatutnya dilengahkan.

Tahun ini juga genap 50 tahun usia ASEAN. Bagi memperkukuhkan integrasi komuniti ASEAN, langkah saling mengiktiraf nama lautan di wilayah EEZ anggota ASEAN boleh diambil, meletakkan laut kita sebaris dengan Laut Vietnam Timur, Laut Filipina Barat dan Laut Utara Natuna bebas daripada 'Laut China Selatan'.

Syor penukaran nama 'Laut China Selatan' kepada 'Laut Malaysia Raya' ini tidak bermakna kita ambil langkah konfrontasi dengan Beijing. Sebaliknya, semangat saling menghormati kedaulatan dan rentas peradaban yang diutamakan.

501 dibaca
Berita Harian X