Khamis, 11 Oktober 2018 | 7:37pm
MASJID Sultan Ismail, Tanjung Agas, Tangkak yang terletak di seberang Sungai Muar dan berhadapan dengan Masjid Sultan Ibrahim seolah-olah menjadi kembar masjid terbabit, sekali gus menjadi antara mercu tanda daerah Muar dan Tangkak. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria
TIANG batu besar yang terdapat diruang solat di dalam Masjid Sultan Ibrahim, Muar turut menyerlahkan seni bina Inggeris yang terdapat di dalamnya. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Elemen 3 negara hias seni bina Masjid Sultan Ibrahim

Masjid Sultan Ibrahim ibarat ‘permata’ bagi daerah Muar. Selain aktif menyebar syiar Islam, masjid berusia 88 tahun itu turut menjadi mercu tanda kepada Bandar Maharani Bandar Diraja.

• Campuran elemen pertukangan Melayu, Inggeris dan Turki cetus keunikan seni bina masjid

• Memiliki pusat pelupusan al-Quran dan kitab lama sendiri

• Galeri khat disediakan untuk mendalami seni kaligrafi itu, selain hasil seni dijual kepada orang ramai

• Masjid turut menyelia dan membiayai Pusat Pengajian al-Quran dan Pusat Taranum


PANDANGAN hadapan Masjid Sultan Ibrahim, Muar yang turut menggunakan kubah biru besar yang menjadi lambang pengembangan syiar Islam di Muar. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

MUAR: Berkunjung ke daerah ini, kembara anda pasti tidak lengkap jika tidak singgah ke Masjid Sultan Ibrahim, sama ada untuk bersolat atau sekurang-kurangnya beriktikaf.

Terletak di tebing Sungai Muar, di sini, Masjid Sultan Ibrahim dibina pada 1925 itu bukan sahaja menjadi mercu tanda Bandar Maharani Bandar Diraja, malah menyimpan pelbagai keunikan tersendiri.

Paling ketara seni bina masjid yang menghampiri usia seabad ini, yang diakui unik kerana mengambil elemen campuran daripada nilai pertukangan Melayu, Inggeris dan Turki.

Imam Masjid Sultan Ibrahim, Muhammad Hafiz Hashim berkata, gabungan elemen seni pertukangan itu memberi identiti tersendiri kepada masjid berkenaan.

“Gaya seni bina unik itu dapat dilihat melalui struktur binaan khususnya pada saiz tiang dan lampu yang besar, selain ruang wuduk, pintu masuk dan juga mimbar masjid.

“Nilai estetika masjid lebih menyerlah dengan kewujudan kolam khusus untuk mengambil wuduk, yang turut diserikan dengan pancuran air,” katanya.

Masjid Sultan Ibrahim mula dibina pada 15 Februari 1925 dengan kos pembinaan dibiayai kerajaan negeri Johor serta Khairat Ahli Negeri Johor Darul Takzim.

Pusat pelupusan al-Quran, kitab lama

Seni bina masjid dilukis oleh Sulaiman Ilyas, dengan pembinaannya diketuai Mejar Datuk Muhammad Said Sulaiman, yang mengambil masa selama kira-kira lima tahun untuk disiapkan.


SEBUAH dewan serbaguna turut disediakan bagi kemudahan umat Islam melaksanakan pelbagai jenis kegiatan seperti seminar, walimatul-urus dan kursus perkahwinan di Masjid Sultan Ibrahim, Muar. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

ANTARA keunikan yang terdapat di Masjid Sultan Ibrahim, Muar ialah satu set jam matahari yang masih berfungsi dengan baik yang mengingatkan antara inovasi yang dilakukan oleh cendekiawan Islam zaman silam. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

SEBUAH unit dan galeri yang menempatkan karya kaligrafi khat yang terdapat di pekarangan Masjid Sultan Ibrahim, Muar. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Perasmian masjid disempurnakan Almarhum Sultan Ismail Ibrahim yang ketika itu menyandang gelaran Tunku Mahkota Johor pada 28 Februari 1930, iaitu pada tahun ke-35 pemerintahan baginda sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Johor.

Muhammad Hafiz berkata, di Masjid Sultan Ibrahim juga disediakan kemudahan yang tidak diketahui ramai, iaitu sebuah pusat pelupusan al-Quran dan kitab lama.

“Pusat pelupusan ini menggunakan sebuah relau yang direka cipta anak Muar sendiri. Di sini, semua naskhah al-Quran dan kitab lama akan dicarik kepada cebisan kecil terlebih dahulu, sebelum dibakar di dalam relau terbabit.

“Abu daripada sisa pembakaran akan dijadikan seperti batu bata dan kemudiannya dibuang ke laut. Khidmat ini disediakan kepada orang ramai dengan bayaran kira-kira RM3 sekilogram,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, sebagai tambahan Masjid Sultan Ibrahim turut memiliki galeri khat tersendiri yang dikendalikan dikendalikan pakar dalam bidang kaligrafi itu.

“Selain menjual hasil karya khat, orang ramai juga boleh mempelajari ilmu itu yang disediakan galeri terbabit yang terletak di sebelah timur Masjid Sultan Ibrahim.

“Kita juga ada Pusat Pengajian al-Quran bagi membolehkan semua kategori termasuk golongan dewasa untuk mempelajari al-Quran, selain Pusat Taranum yang keseluruhan operasinya dibiayai pengurusan masjid,” katanya.

Perluas syiar Islam

Beliau berkata, matlamat untuk meningkatkan syiar Islam di daerah ini tidak terhenti kepada aktiviti di bangunan masjid, kerana pihak pengurusan turut mengembangkannya di luar kawasan masjid.


SEBUAH kolam tempat mengambil wuduk yang turut menempatkan air pancut pastinya mempersonakan jemaah yang berkunjung ke Masjid Sultan Ibrahim, Muar. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

LAMPU tergantung klasik yang terdapat di Masjid Sultan Ibrahim, Muar juga menjadi penyeri dan keunikan yang terdapat di dalamnya. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

“Kita turut menyewa empat premis perniagaan untuk dijadikan sebagai surau iaitu di Maharani Uptown, Bangunan MARA berdekatan stesen bas Bentayan, Amir Souphouse dan sebuah bangunan untuk kegunaan Persatuan Cina Muslim (MACMA) daerah Muar.

“Masjid turut menyelia tanah perkuburan Islam di Bakri. Uniknya ia antara tanah perkuburan bersistematik dengan setiap lot kubur, landskap dan kemudahan yang lebih tersusun,” katanya.

Info Masjid Sultan Ibrahim

Lokasi: Muar, Johor

• Berusia 88 tahun

• Masjid Sultan Ismail di seberang sungai di Tangkak, dianggap kembar kepada Masjid Sultan Ibrahim

Berita Harian X