Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:11pm
IRWAN Zahuri

Zikir harian ubati penyakit waswas dalam solat

KESEMPURNAAN dalam solat tidak hanya terletak pada gerak-geri sebaliknya kita ditekankan supaya berusaha untuk mendapatkan khusyuk dalam melaksanakan ibadat yang dituntut lima kali sehari itu.

Malah untuk mendapatkan solat yang sempurna juga memerlukan seseorang itu menjauhi sifat waswas yang boleh mengganggu perjalanan ibadat yang dilakukan.

Antara penyakit waswas yang sering berlaku adalah ketika berniat takbiratul ihram dan juga terlupa rakaat dalam solat.

Pendakwah bebas, Irwan Zahuri, berkata tidak khusyuk dan penyakit was-was dalam solat ini berlaku disebabkan hati yang tidak dihidupkan dengan amalan zikir.

Irwaan berkata, khusyuk adalah antara perkara sunat di dalam solat yang menjadi pelengkap bagi solat.

Imam Nawawi dalam kitab karangannya, Al-Azkar menyebut disunatkan untuk khusyuk dalam solat dan tunduk, mentadabbur atau merenung ayat bacaan serta zikir di dalamnya, sekali gus berpaling daripada memikirkan perkara yang tiada kaitan dengannya.

“Seperti lidah, hati juga boleh berkata-kata. Jadi zikir haruslah dijadikan amalan seharian dan dalam masa yang sama harus memahami makna zikir yang dialunkan.

“Ini kerana hati seperti tanah, sekiranya tidak ditabur dengan baja boleh menyebabkan ia menjadi gersang. Jadi hati yang tidak disirami dengan amalan yang boleh menghidupkan hati boleh menjadikan ia rosak dan seterusnya timbul penyakit hati seperti waswas dalam solat,” katanya.

Katanya, penyakit waswas dan tidak khusyuk dalam solat, walaupun solat yang dilaksanakan adalah sah dan tidak terbatal tetapi ulama bersepakat bahawa ia boleh menjadi makruh.

Pendapat itu dikemukakan oleh Imam Nawawi berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengampunkan umatku terhadap apa-apa yang dibisikkan kepada mereka dari perasaan waswas ataupun bermonolog dalam diri mereka selama mereka tidak melakukannya atau berkata-kata.” (HR Bukhari)

Katanya, Allah SWT mencela dan menyediakan neraka wail kepada umat-Nya yang lalai dalam menyempurnakan solatnya berdasarkan firman-Nya: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Al-Maa-uun: 4-5)

Katanya, mengambil dalam konteks semasa, ramai yang mengambil mudah terhadap solat termasuklah melewatkan solat dengan sengaja sebaliknya lebih mementingkan hal keduniaan.

Justeru, beliau yang juga Mudir Madrasah Riyad Adduafa’ Wal Masakin di Subang Bestari berkata, penerapan dalam solat harus dilakukan supaya dapat merasai khusyuk dalam solat.

Katanya, banyak amalan yang boleh dilakukan seperti yang diunjurkan oleh Rasulullah SWT antaranya melakukan persediaan dalam solat, solat pada awal waktu, memakai pakaian yang bersih dan kemas serta tidak bersolat dalam keadaan menahan air besar dan kecil.

Malah ketika bersolat juga, seseorang itu dituntut untuk memahami dan menghayati bacaan dalam solat.

Katanya, orang yang khusyuk dalam solat seterusnya dapat merasai nikmat dalam kehidupan sehariannya.

“Tingkat tertinggi dalam setiap ibadat yang dilakukan ialah ihsan, iaitu kita menyembah Allah SWT seolah-olah melihat-Nya dan jika kita tidak melihatnya, Dia yang Maha Melihat segala sesuatu termasuk kita.

“Jadi untuk mencapai kesempurnaan dalam solat, seharusnya kita harus menginsafi diri dan menerapkan diri dengan pelbagai amal yang menjadikan khusyuk dalam solat.

“Seterusnya solat kita tidak menjadi sia-sia dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT,” katanya.

1067 dibaca
Berita Harian X