Ahad, 7 Oktober 2018 | 6:45am

Juri Da'i mahu tubuhkan akademi pendakwah muda

Pertandingan pencarian pendakwah muda, Da’i Musim Keenam sudah pun melabuhkan tirainya. Selain kelibat peserta, komen juri tetapnya, Mohamad Zarifi Mohamad Daud sentiasa dinanti-nantikan kerana butir bicaranya bukan saja penuh bersemangat, bahkan sarat dengan hikmah dan tidak jemu memberikan kata perangsang kepada setiap peserta.

Pendakwah yang juga penulis kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini mengakui banyak membuat rujukan antaranya menonton program realiti televisyen dalam dan luar negara termasuk rancangan hiburan bagi memberikan yang terbaik dalam setiap komentar disampaikannya.

“Rujukan saya tidak terbatas. Disebabkan duduk di kerusi juri ini ialah amanah besar, antara usaha dilakukan dengan banyak menonton rancangan dengan perjurian oleh tokoh hebat termasuk program hiburan.

“Sepanjang bergelar juri daripada Da’i Musim Keempat hingga kini, saya kerap menonton episod yang terdahulu untuk menilai prestasi mereka.

“Dalam memberi kritikan, saya sentiasa berfikir bagaimana hendak membina peserta kerana kalau dikritik keras, sudahnya ada peserta akan tersungkur atau hilang semangat di pertengahan jalan,” katanya.

Perlukan pendakwah serba boleh

Berkongsi cabaran dakwah khususnya dalam kalangan anak muda hari ini, Mohamad Zarifi melihat mereka amat memerlukan pendakwah yang serba boleh, menyeluruh dan kreatif.

“Mereka perlu bercakap dalam bahasa anak muda supaya dapat memikat hati mereka. Oleh itu, saya melihat setiap peserta sebagai ikon anak muda yang boleh membimbing remaja Malaysia.

“Jumaat minggu lalu, Da’i Muhammad Adam Muhibullah Abdullah diangkat sebagai Juara Da’i Musim Keenam yang memiliki ciri pendakwah muda inklusif yang merentasi agama dan budaya,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam dunia dakwah, beliau berkata, katanya, tidak dinafikan galakan itu datang daripada ibu dan bapanya sendiri.

“Kami lima adik-beradik dengan empat daripadanya mengambil pengajian dalam bidang agama pada peringkat universiti.

“Hasilnya, saya kini turut bergerak secara trio bersama dua adik lelaki, iaitu Mohd Hariri dan Mohd Ihsan dengan menggunakan nama Ustaz 3 Beradik dalam menyampaikan dakwah.

“Walaupun ayah dan ibu bukan dalam kalangan ahli agama, mereka amat serius dalam bab ini, bahkan ayah yang memang dikenali dengan sifat ketegasannya mengajar kami berlima mengaji al-Quran sehingga khatam di rumah, sekali gus banyak menimbulkan minat dalam arena agama,” katanya.

Berdakwah secara serius

Beliau berdakwah secara serius pada 2005 selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Saya bermula dari bawah dengan memberikan tazkirah di sekolah, lama kelamaan menerima jemputan masjid dan surau.

“Setahun selepas itu, saya menyertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan, manakala pada 2007 mula mendapat peluang untuk muncul dalam rancangan dakwah sama ada di media cetak dan elektronik.

“Di JAKIM, pengalaman bertugas sebagai Pegawai Khas kepada mantan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha banyak membentuk saya untuk berdakwah dengan akhlak, antaranya sentiasa murah dengan senyuman, berterima kasih kepada sesiapa saja yang membantu, hatta bagi urusan dianggap kecil,” katanya.

Berbicara lanjut, antara impiannya pada masa akan datang adalah menubuhkan akademi bagi pendakwah muda.

“Saya berpegang kepada prinsip untuk melahirkan pendakwah muda yang hebat memerlukan latihan dan bimbingan berterusan.

“Ia tidak semudah menyala lampu Aladin kerana aspek terpenting ialah penguasaan ilmu berteraskan penumpuan dan pengkhususan bidang.

“Kita perlu pendakwah yang pakar, justeru satu hari nanti saya berharap dapat menubuhkan akademi pendakwah muda yang memberi tumpuan latihan praktikal berceramah,” katanya.

Walaupun sedar cita-cita besar ini agak sukar digapai, Mohamad Zarifi optimis dapat melatih mereka menyampaikan dakwah sehingga mampu menyentuh hati khalayak.

“Pendakwah muda perlu dilatih bagaimana mahu menggunakan perkataan yang betul dan sesuai pada tempatnya.

“Mereka perlu belajar ilmu psikologi dan pemasaran bahan dakwah untuk melengkapkan pakej sebagai pendakwah.

“Saya juga amat menggalakkan pendakwah muda menguasai bahasa Inggeris agar mesej dakwah dapat disebarkan kepada kelompok berbeza,” katanya.

Menulis empat buku

Berkongsi perkembangan terkini, platform dakwahnya turut dikembangkan dengan menceburi bidang berbeza, termasuk penulisan dan nasyid.

“Setakat ini, saya sudah menulis sebanyak empat buku dan pada masa sama sedang menulis buku motivasi keagamaan bersama beberapa pendakwah muda.

“Selain itu, projek bersama Ustaz 3 Beradik ialah rakaman lagu nasyid dakwah, sebagai antara kaedah menyantuni masyarakat awam secara santai dan berhikmah,” katanya.

252 dibaca
Berita Harian X