Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:36pm
SHAFEI Samsuri menghafal al-Quran bersama rakan di Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Wang Tepus. - Foto Noorazura Abdul Rahman
SHAFEI Samsuri mampu menguasai al-Quran dan kini berjaya menghafal 29 juzuk kitab suci itu. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Celik hati

JITRA: Biarpun menghadapi masalah pembelajaran sejak kecil, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun mampu menguasai al-Quran dan kini berjaya menghafal 29 juzuk kitab suci itu.

Shafei Samsuri, 13, berkata dia dihantar ke Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Wang Tepus di sini untuk belajar menghafal al-Quran pada 2015 kerana masih tidak mampu membaca pada usia sembilan tahun.

“Ibu bapa saya mengambil keputusan untuk menghantar saya ke madrasah ini dan saya akur walaupun terpaksa tinggal di asrama.

“Pada mulanya saya diajar mengenal huruf dan membaca selama enam bulan, kemudian barulah saya mula menghafal surah al-Baqarah sebanyak lima ayat terlebih dahulu dalam tempoh sehari.

“Semuanya menjadi rutin saya selama setahun dan selepas itulah, saya dapat menghafal keseluruhan surah al-Baqarah,” katanya yang bercita-cita menjadi ilmuwan Islam.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia kini sudah menghafal 29 juzuk al-Quran dan dijangka dapat menghabiskan hafalan sebelum hujung tahun ini.

Ini kerana katanya, dia sudah mampu menghafal satu juzuk al-Quran dalam tempoh dua hingga ke tiga minggu bergantung pada bilangan ayat dalam setiap surah.

Sementara itu, pengetua madrasah terbabit, Auzaid Ismail berkata, selain al-Quran, Shafei juga mampu membaca rumi dengan baik dan lancar.

“Meskipun Shafei merupakan pelajar istimewa tetapi dia sebaris dengan rakan-rakan lain apabila berjaya mendapat tempat kelima dalam peperiksaan akhir tahun lalu.

“Dia seorang pelajar yang sangat berdisiplin dan berdikari malah sering menunjukkan semangat yang tinggi untuk menjadi seorang tahfiz.

“Setiap hari dia bersama-sama 40 lagi rakan akan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk menghafal al-Quran. Setiap mereka akan menghafal al-Quran lapan jam jam sehari diselang seli dengan kelas Fardhu Ain, adab dan tajwid,” katanya.

199 dibaca
Berita Harian X