Isnin, 1 Oktober 2018 | 7:03am
Masjid al-Aqsa, Palestin.

Menzahirkan maruah Masjid al-Aqsa, Palestin

Ucapan Presiden Turki, Recep Erdogan Tayyip dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung Ke-37 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jelas menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Antara sebab utama Palestin disifatkan bukan sekadar isu dalaman negara atau rantau terbabit kerana ia membabitkan Masjid al-Aqsa. Masjid berkenaan cukup istimewa bagi umat Islam, dari segi akidah, sejarah mahupun maruah.

Masjid al-Aqsa tidak lagi terhad hanya kepada isu menguasai binaan Kompleks al-Aqsa atau al-Haram asy-Syarif yang terletak di bahagian hujung timur Kota Lama Baitulmaqdis. Sebaliknya boleh menjangkau hingga ke Baitulmaqdis dan isu tanah negara Palestin secara keseluruhannya.

Hadis sahih riwayat Muslim menetapkan al-Aqsa ialah masjid kedua yang dibina selepas Masjidilharam dengan perbezaan masanya 40 tahun.

Imam Ibnu Hajar menyimpulkan pandangan lebih kuat bahawa Nabi Adam AS sendiri membina Masjidilharam (atau Kaabah). Dr Haithem al-Ratrout dalam kajiannya, menyokong kesimpulan Prof el-Awaisi bahawa Nabi Adam membina kedua-dua masjid umat Islam itu, menguatkan lagi keistimewaannya.

Disebut dalam al-Quran

Sastera Islam sering merujuk Masjid al-Aqsa dan kota Baitulmaqdis sebagai satu entiti yang tidak boleh dipisahkan. Kemuliaan dan kesucian al-Aqsa dan kawasan sekelilingnya (kota Baitulmaqdis) disebutkan dengan jelas menerusi ayat pertama surah al-Israk yang merakamkan peristiwa perjalanan agung Israk dan Mikraj oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam artikel ‘Jerusalem in the Quran’, diterbitkan dalam British Journal of Middle Eastern Studies, Abdallah el-Khatib merumuskan Baitulmaqdis disebut sebanyak 70 kali dalam kitab suci umat Islam itu, membabitkan 21 surah.

Berbeza dengan Baitullah Kaabah di Makkah, ‘baitullah’ Masjid al-Aqsa atau Baitulmuqaddas terletak di kawasan tanah tinggi. Puncak tertinggi Wilayah Masjid al-Aqsa ialah batu yang terletaknya Kubah Emas.

Jika tanah suci Makkah dan Masjidilharam pusatnya ialah Kaabah, pusat bagi tanah suci Baitulmaqdis dan Wilayah Masjid al-Aqsa ialah batu berkenaan.

Dr Haithem mencatatkan, Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa Nabi Muhammad diperintahkan mengikut arah batu berkenaan sebelum turunnya wahyu menukarkan arah kiblat ke Masjidilharam.

Batu ialah puncak kawasan suci Wilayah Masjid al-Aqsa, sejak zaman Nabi Adam AS. Sebagaimana Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS membangunkan Kaabah daripada asas yang ada, begitu juga Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS membangunkan Haikal mereka di sebahagian kawasan Wilayah Masjid al-Aqsa ini.

Dr Haithem menegaskan, berdasarkan kajian Ernest Martin pada 2000, Haikal ini tidaklah didirikan di mana-mana kawasan dalam kawasan kompleks Masjid al-Aqsa yang ada hari ini. Ia menyanggah teori Yahudi yang menyatakan bahawa Haikal itu didirikan di sekitar tempat Kubah Emas itu berada sekarang.

Hanya tinggal runtuhan

Selepas kemusnahan Kota Lama Baitulmaqdis pada 70 Sebelum Masihi (SM), Wilayah Masjid al-Aqsa ini turut musnah dan yang tinggal hanya bekas runtuhan binaan yang ada.

Kajian mendapati, peristiwa Israk dan Mikraj berlaku di antara tahun 617 hingga 621 Masihi (M). Pada masa itu, Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa sedang berkecamuk berikutan peperangan antara Rom dan Parsi.

Kaum Yahudi ketika itu bersekutu dengan tentera Empayar Sassanid Parsi menentang Rom dan Baitulmaqdis jatuh ke tangan pasukan mereka pada 614 M.

Al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam selain menjadi masjid kedua didirikan selepas Masjidilharam dan tempat suci ketiga umat Islam. Peristiwa Israk Mikraj menjadi isyarat dan simpulan ikatan suci antara risalah yang dibawa Nabi Muhammad SAW dan seluruh nabi serta rasul sebelumnya.

Hari ini, dengan kekuatan ketenteraan dan kelicikan perjanjian, Baitulmaqdis berada di bawah Zionis. Kemenangan dalam Perang Enam Hari pada 1967, menyebabkan Baitulmaqdis dikuasai Israel.

Secara kejam dan angkuh mereka mengkhianati perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Oslo 1993 dengan merampas kawasan penduduk Palestin serta membuka penempatan haram.

Sepanjang September tahun ini, pencerobohan kerap berlaku dalam kawasan kompleks Masjid al-Aqsa, selari dengan sambutan ritual mereka, Rosh Hashanah pada 9 hingga 11 September, diikuti sambutan Yom Kippur, Sukkot dan Shemini Atzeret atau Simcat Torah hingga awal Oktober.

Keadaan inilah mendorong Majlis Tertinggi Islam Palestin dan Pejabat Wakaf al-Quds serta Hal Ehwal Masjid al-Aqsa dalam kenyataan media mereka baru-baru ini menyeru kepada umat Islam di seluruh dunia menziarah demi memakmurkan Masjid al-Aqsa.

Penulis adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyAQSA

457 dibaca
Berita Harian X