Ahad, 30 September 2018 | 10:25pm
TUN Dr Mahathir Mohamad meninjau secara eksklusif Koleksi Dunia Islamik di Galeri Al Bukhari British Muzium London hari ini. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir saksikan koleksi dunia Islam Muzium British

LONDON: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpeluang menyaksikan koleksi eksklusif Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary di Muzium British hari ini.

Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary yang mengetengahkan artifak kesenian Islam, sedang dalam pembinaan dan akan dibuka kepada umum pada 18 Oktober ini.

Galeri baharu di muzium ini memaparkan pelbagai koleksi kesenian Islam secara menyeluruh melalui seni dan budaya material.

Ia mempamerkan objek yang memberi gambaran mengenai pertukaran budaya membabitkan kawasan bermula dari Nigeria sampai ke Indonesia, dari abad ke-7 hingga sekarang.

“Ia mengetengahkan jalinan hubungan global merentasi wilayah dari Afrika Barat ke Asia Tenggara dan mencerminkan kaitan antara zaman purba, pertengahan dan moden,” menurut kenyataan Muzium British.

Galeri ini disokong oleh Yayasan Albukhary dan Muzium Kesenian Islam yang berpangkalan di Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu ialah hartawan Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, yang terkenal sebagai seorang dermawan.

Pengarah Muzium British, Hartwig Fisher, dalam kenyataan berkata Galeri Dunia Islam Yayasan Albukhary membenarkan muzium itu mempamerkan koleksi berkelas dunia untuk menghebahkan mengenai Islam yang lebih sejagat dalam konteks global.

Sementara itu Syed Mokhtar, yang juga Pengerusi Yayasan Albukhary, berterima kasih kepada Muzium British atas kejayaan kerjasama itu yang bertujuan menampilkan pelbagai perspektif Islam.

“Dalam konteks globalisasi, saya berharap galeri baharu ini akan menarik pengunjung pelbagai budaya dan menyumbang kepada pemahaman sejarah, kesenian dan kebudayaan dunia Islam,” katanya. - BERNAMA

394 dibaca
Berita Harian X