Ahad, 30 September 2018 | 12:34pm
Pendakwah muda, Da'i Wan atau nama sebenarnya Wan Dazrin Wan Din. - Ilustrasi Deen BH

Selalu disalah tafsir punca kontroversi

Nama pendakwah muda, Da’i Wan pernah beberapa kali menjadi tular disebabkan oleh beberapa isu yang berlegar di media sosial. Komen dan pandangan Da’i Wan atau nama sebenarnya, Wan Dazrin Wan Din, 25, ada kalanya disalahtafsirkan oleh sesetengah pihak.

Tindakan pihak yang membuat tafsiran mengikut kefahaman sendiri tanpa mengetahui kebenarannya itu menyebabkan nama Da’i Wan turut terpalit dengan kontroversi yang mencemarkan nama baiknya.

Namun, sebagai pendakwah muda, beliau tidak pernah berkecil hati sebaliknya merasakan semua itu adalah asam garam kehidupan dalam dunia dakwah.

“Ramai yang belum kenal saya secara dekat atau memahami pendekatan dakwah yang dibawa. Saya selalu cuba untuk menyantuni semua orang dengan hikmah dan mengeluarkan kata-kata yang betul kerana ingin menjaga aib orang khususnya dalam hal memberikan teguran.

“Saya cuba untuk menyampaikan dengan cara yang lembut tapi tegas. Namun, ada yang membenci kebaikan yang saya bawakan. Itu yang membuatkan saya kehairanan.

“Namun saya sudah menemui jawapannya yang mana mereka mengenali saya apabila catatan yang dimuat naik di media sosial menjadi tular. Mereka baca tetapi gagal memahami sepenuhnya. Ada juga yang baca tapi tidak habis. Hanya baca tajuk tapi sudah meletakkan label tertentu terhadap saya,” katanya.

Hati-hati beri pandangan

Da’i Wan berkata, tindakan sebegitu sememangnya bahaya dari sudut pandang agama.

Malah memerlukan beliau lebih berhati-hati dalam menyatakan pandangan.

“Nabi Muhammad SAW pun dibenci dengan dakwah yang dibawanya apatah lagi saya sebagai insan biasa yang masih jauh lagi perjalanan dalam mendalami ilmu agama.

“Namun ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menjalankan kegiatan dakwah. Saya selalu memegang kata-kata ‘Orang yang baik tetap dikata orang, orang yang buat baik pun didengki orang, orang yang ingin menjadi baik selalu dicemburui orang dan orang yang memang baik lagilah dibenci orang.

“Jadi mengapa hendak berbuat baik kerana manusia sebaliknya buatlah kerana Allah SWT. Itu akan menjadikan kita semakin kuat.”

“Saya berharap, suatu hari nanti semua umat Islam memahami cara dakwah saya yang sebenar dan lebih ramai dapat menerimanya. Moga Allah SWT permudahkan,” katanya.

Da’i Wan berkata, sebagai pendakwah muda, beliau sebolehnya mahu mendampingi semua pihak tidak kira usia. Malah baginya, apa yang lebih penting adalah ilmu agama dan nasihat yang disampaikan menjadi pengajaran kepada semua.


Pendakwah muda, Da'i Wan atau nama sebenarnya Wan Dazrin Wan Din. - Foto NSTP

Dakwah berhikmah, berisi

“Saya sentiasa fikirkan apakah uslub dakwah (kaedah dakwah) yang paling berhikmah dan berisi untuk dipelajari dan diketahui oleh masyarakat.

“Sememangnya apa yang saya sampaikan adalah kesedaran dan pengetahuan yang berkaitan dengan ajaran Islam yang benar.

“Jadi saya tidak pernah tertumpu pada mana-mana golongan dalam menyampaikan dakwah sebaliknya fokus saya adalah pada semua peringkat umur yang boleh sama-sama mengambil manfaat. Semua peringkat umur boleh mendapat input daripada perkongsian yang disampaikan,” katanya.

Da’i Wan berkata, media sosial sememangnya menjadi medium yang semakin penting dalam menyampaikan dakwah kerana ia lebih dekat dengan orang ramai. Malah beliau menggunakan semua medium seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk berkongsi manfaat dengan pengguna.

“Seringkali saya menjawab soalan berkaitan isu semasa atau fiqh menggunakan media sosial. Sememangnya ia membantu memberi kefahaman yang tepat kepada semua.

“Saya bersyukur kerana perkongsian atau tazkirah yang disampaikan turut dikongsikan atau retweet oleh pengguna di media sosial yang lain. Saya anggap ia hanyalah usaha kecil dalam bidang dakwah ini, namun manfaatnya dikongsi dengan lebih meluas,” katanya.

Dipengaruhi ramai ulama

Dalam masa yang sama, Da’i Wan turut menyatakan kehadirannya dalam bidang dakwah ini banyak dipengaruhi oleh ramai ulama dan pendakwah tersohor lain. Antaranya, Ustaz Nouman Ali Khan, Dr Zakir Naik dan Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar Al Hamid.

“Ustaz Nouman Ali mempunyai kehebatan dalam memberi perincian atau huraian ayat al-Quran yang begitu relevan. Saya begitu mengagumi kehebatannya dalam bidang dakwah.

“Dr Zakir Naik pula, walaupun beliau mengajar secara alam maya iaitu menerusi laman sesawangnya, tapi kebolehan mengeluarkan dalil dengan segera dan terperinci malah dengan tepat dan betul mengajar saya untuk terus menggali ilmu. Malah mendalami ilmu agama ini, bagi saya tidak akan pernah habis hingga ke hujung usia.

“Kelembutan dan kesantunan akhlak yang ditunjukkan oleh Habib Ali Zainal Abidin malah cara penyampaian dakwahnya mencetuskan bayangan akhlak Nabi Muhammad SAW dalam diri saya. Malah saya cuba menjadikan beliau sebagai ikutan yang akan kekal hingga akhir hayat,” katanya.

Profil: Wan Dazrin Wan Din
Asal: Klang, Selangor
Tarikh Lahir: 30/06/1993
Status: Berkahwin
Isteri: Syahirah Mohd Zamzari
Pendidikan: Ijazah Fiqh Muamalat (UIAM)
Pencapaian: Finalis Pendakwah Millenia TV3
- Pengacara TV
- Penulis Buku (Best Seller)
- Fiqh Kontemporari Bertunang yang pertama di Malaysia
- Ustaz Motivator Bertauliah JAIS.

428 dibaca
Berita Harian X