Jumaat, 13 April 2018 | 6:00am
- Gambar hiasan

Bersangka baik eratkan silaturahim

Firman Allah SWT bermaksud: Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Al-Hujurat: 12)

Berbaik sangka sangat dituntut dalam Islam kerana boleh mengelakkan daripada menuduh orang lain berbuat jahat atau melakukan keburukan. Manusia yang bersangka buruk seolah-olah memfitnah orang kerana sifat itu tidak mempunyai bukti nyata dan kukuh. Ini dibimbangi terjadi fitnah yang membawa kepada dosa besar.

Berbaik sangka mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan. Antaranya supaya hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja.

Sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudara dan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia. Pada masa sama kelebihan berbaik sangka adalah dapat mengelakkan masyarakat daripada berpecah-belah yang hanya akan merugikan anggotanya dan negara. Cuba kita perhatikan kata-kata Saidina Umar RA yang mengungkapkan: "Jangan kamu membuat sangkaan terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang saudara mukminmu kecuali kebaikan, selagi kamu masih ada cara untuk meletakkannya di tempat yang baik."

Berbaik sangka sesama insan juga akan menghasilkan sikap ingin bersaing antara satu sama lain. Ummah yang mempunyai sikap ingin bersaing dengan orang yang berjaya, akan menguntungkan semua umat Islam termasuk diri sendiri.

Cegah kemungkaran

Islam mewajibkan umatnya mencegah kemungkaran di sekeliling dan persekitaran dengan kemampuan yang ada. Andai kata kita melihat atau ternampak orang melakukan dosa dan kemaksiatan tetapi masih bersikap baik sangka terhadap perlakuan mungkar itu, kita turut berkongsi saham dan tidak terlepas daripada menanggung dosa kemaksiatan orang terbabit.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah mencegah dengan tangan (kekuasaan); jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan) dan jika ia tidak mampu jua, maka dengan hatinya (tidak senang, setuju dan reda). Dan itu adalah selemah-lemah iman." (HR Muslim)

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani berpesan supaya kita menginsafi kekurangan diri dan sentiasa bersikap berbaik sangka terhadap sesama insan. Beliau memberi empat nasihat kepada kita.

Pertama, jika kamu bertemu dengan seseorang, maka yakinlah dia lebih baik darimu. Maka ucapkan dalam hatimu: "Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi daripadaku."

Kedua, jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu: "Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku sudah banyak bermaksiat kepada-Nya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku."

Ketiga, jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu): "Dia sudah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik daripadaku."

Keempat, jika bertemu dengan orang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu: "Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperoleh, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

Berhati-hati

Berbaik sangka terhadap sesama makhluk lebih mulia daripada bersangka buruk yang boleh mendatangkan dosa. Namun, perlu diingat sangka baik perlu diimbangi sikap berhati-hati. Seperti mana perlunya berbaik sangka, begitulah juga kita perlu berhati-hati agar sifat baik itu tidak dieksploitasi musuh atau orang berkepentingan.

Sikap berhati-hati juga dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung, terbinalah sikap matang dalam berbaik sangka. Kita berbaik sangka tetapi tidak mudah untuk ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman sangat penting agar sikap berbaik sangka tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang berniat jahat.

Berikut adalah langkah yang perlu kita buat dan laksanakan agar diri kita termasuk dari golongan yang berbaik sangka.

Pertama, banyakkan berdoa kepada Allah. Ini kerana kita hanya insan sangat lemah dan kerdil serta tidak mampu melawan hasutan syaitan dan iblis melainkan petunjuk dan bantuan Allah SWT.

Kedua, kita meletakkan diri seperti orang lain. Jika kita mahu orang berbaik sangka dengan kita, kita perlu bersikap yang sama dengan orang dahulu.

Ketiga, ambil kata-kata orang dengan makna yang baik. Jika orang kata yang tidak baik kepada kita atau orang lain, pastikan kita sentiasa berbaik sangka agar tidak tertipu dengan helah syaitan. Ini kerana sebaik saja sangkaan buruk bertapak dalam hati, pelbagai dosa akan dilakukan.

Keempat, mencari ruang supaya kita boleh memaafkannya, iaitu dengan sentiasa berusaha mencari ruang berbaik sangka terhadap orang yang kita mahu bersangka buruk. Mungkin dia ditimpa musibah berat sehingga tergelincir dari kebenaran.

Kelima, jauhkan diri daripada menjatuh hukum atas niat seseorang, iaitu tidak menghukum orang sebaik saja menerima sesuatu maklumat kerana apa didengar tidak semestinya betul.

Orang bersangka buruk sama dosanya seperti memakan daging saudara yang siudah mati. Perkara buruk ini menjadi sebahagian sifat umat Islam hari ini yang sentiasa iri hati dan bersangka buruk terhadap saudara Islam dengan menuduh orang melakukan perbuatan mungkar tanpa mempunyai bukti kukuh.

Justeru kita perlu memupuk sifat baik sangka dalam diri dan menterjemahkannya dalam realiti kehidupan.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)

565 dibaca
Berita Harian X