Khamis, 12 April 2018 | 6:05am
- Gambar hiasan

Beza roh orang beriman dengan golongan diperdaya

Pada suatu masa nanti dalam perjalanan hidup manusia, akan tiba masanya mereka dilanda penyakit penyesalan apabila menghampiri saat kematian seperti firman Allah SWT: "Dan (ingatkanlah) hari orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan diri sendiri) sambil berkata: 'Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Celakalah aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia menyesatkan aku daripada jalan peringatan (Al-Quran) setelah disampaikan kepadaku.' Dan Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikannya sahabat karib)." (Al-Furqaan: 27-29)

Penyesalan pertama manusia ialah apabila melihat malaikat maut berdiri di hadapan, lalu memohon agar ditangguhkan kematiannya seketika agar berpeluang untuk bersedekah dan melakukan amalan salih. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menangguhkan kematian manusia apabila tiba masa dan lebih mengetahui perilaku hamba-Nya. Tanpa persiapan menghadapi kematian, manusia akan berdepan penyesalan tidak berkesudahan.

Dua keadaan akan berlaku kepada manusia ketika saat kematian, iaitu roh orang Mukmin akan ditarik dengan cara yang lembut, lalu berkumpul bagaikan air yang tidak bercampur dengan minyak, walaupun hakikatnya mereka juga menanggung azab kematian amat dahsyat.

Sementara itu, satu lagi golongan manusia yang apabila roh mereka diseru untuk meninggalkan jasad, roh akan bertempiaran lari, lalu nyawa direntap dalam keadaan kucar-kacir dihasut oleh syaitan untuk menyesatkan manusia ketika sampai ajalnya.

Mereka akan dipujuk oleh syaitan yang datang menyerupai orang dikenali ketika hidup. Tiada lagi taubat diterima Allah SWT apabila tiba masa nyawa berada di halkum kerana segala-galanya sudah terlewat, manakala malaikat tidak dapat mencari walau satu pun kalimah syahadah di seluruh jasadnya dan berakhir hidupnya dalam keadaan sia-sia.

Namun, sebaliknya mereka yang disayangi Allah SWT, malaikat akan mencari kalimah itu pada jasad ketika roh berada di halkum. Apabila ditemui, malaikat akan menepuk bawah dagu mereka sehingga lidah tergerak untuk menyebut kalimah Allah SWT. Lalu roh pun keluar untuk dimasukkan oleh malaikat ke dalam bekas berwarna putih dan berbau harum yang dikhususkan hanya untuk orang Mukmin.

Kedudukan roh

Setelah Allah SWT menentukan kedudukan roh sama ada dalam syurga Illiyeen atau neraka Sijjin berdasarkan amalan ketika hidup, jasadnya diuruskan untuk dikebumikan dan disediakan untuk menghadapi alam barzakh. Setiap perkara ketika pengurusan jasad oleh manusia yang masih hidup, akan dapat disaksikan roh si mati.

Antara perkara pasti berlaku apabila jasad dikebumikan adalah himpitan kubur yang tidak akan ada seorang manusia terlepas daripadanya. Kemudian malaikat Munkar dan Nakir datang untuk menjalankan sesi soal jawab ke atas si mati.

Ketika inilah mereka akan memohon dan merayu agar dihidupkan kembali untuk melakukan amal salih yang ditinggalkan ketika di dunia.

Sesungguhnya hanya penyesalan dan kekecewaan akan dirasai kerana mustahil mereka dihidupkan semula, malah terus kekal di alam barzakh sehingga dibangkitkan semula di hadapan Allah SWT pada Akhirat kelak.

Namun sebaliknya orang mukmin akan sentiasa ditemani al-Quran yang menjadi pembelanya ketika menghadapi sesi soal jawab malaikat Munkar dan Nakir, lalu kubur dilapangkan seluas mata memandang.

Tiada seorang pun dalam kalangan orang mukmin akan meminta agar dihidupkan semula kerana tidak lagi sanggup menanggung azab menghadapi kematian kecuali mereka yang mati syahid. Namun mereka yang menyesali kematiannya dan merayu dihidupkan kembali adalah manusia yang melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dan secara terang-terangan melawan syariat Allah SWT.

Penulis adalah Pengurus Hubungan Strategik Radio IKIMfm

2107 dibaca
Berita Harian X