Jumaat, 6 April 2018 | 7:55am
UMAT Islam perlu membuat persediaan rohani dalam menghadapi situasi mencabar akhir zaman. - Foto hiasan

Akhir zaman bukan waktu berpeluk tubuh

SERING kali kita mendengar ada orang beranggapan dunia sudah hampir ke penghujung usia. Kita hidup dalam zaman penuh fitnah.

Kenyataan ini ada kebenarannya dan tiada salahnya cuma yang tidak tepat adalah silap dalam menyediakan persiapan mental menghadapi suasana itu. Jangan sampai ada antara umat Islam mula pasrah dengan menyerahkan kesudahan nasib diri dan umatnya kepada takdir semata-mata sedangkan dia hanya berpeluk tubuh dan berfikir untuk menyelamatkan diri masing-masing dan membiarkan nasib umat Islam tanpa pembelaan atas alasan 'ini zaman fitnah!'

Maka lahirlah individu Muslim yang sangat tegar melakukan ibadat yang bersifat peribadi tanpa menghiraukan apa yang berlaku kepada umat Islam secara jemaah.

Jika dibuat tinjauan dalam al-Quran, kita dapati perkataan fitnah membawa dua maksud. Maksud pertama ialah ujian dan cubaan seperti termaktub dalam ayat yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar serta Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-Nya)." (Al-Furqan: 20)

Begitu juga firman Allah SWT: "Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." (Al-Anfaal: 28)

Gagal ujian

Dua ayat di atas langsung tidak menyuruh kita berpeluk tubuh dan hanya pasrah kepada takdir semata-mata dalam menghadapi zaman penuh fitnah. Bahkan Allah akan menilai kita bagaimana kita mengendalikan diri ketika menghadapi fitnah ini. Berpeluk tubuh dianggap gagal dalam ujian ini.

Satu lagi makna fitnah dalam al-Quran membawa maksud gejala murtad atau keluar dari agama Islam.

Firman Allah SWT: "Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu; dan (ingatlah angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan." (Al-Baqarah: 191)

Begitu juga firman Allah SWT: "Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya." (Al-Isra: 73)

Mengambil sikap tidak peduli dan berpeluk tubuh dalam menghadapi gejala memurtadkan orang Islam melalui apa cara sekalipun ialah sikap yang sangat tercela.

Menyerah kalah

Amat salah jika sebahagian umat Islam gemar membacakan nas agama yang menceritakan peristiwa akhir zaman dan mengaitkan apa yang berlaku hari ini dengan nas berkenaan sambil menunggu-nunggu ketibaan Imam Mahdi dan Dajjal, lalu berpeluk tubuh dan membiarkan umat Islam kelemasan dalam perangkap musuh Islam tanpa pembelaan atas alasan 'itulah takdir yang ditentukan pada zaman fitnah ini.'

Islam tidak mengajar begitu.

Bahkan Rasulullah SAW pernah berpesan: "Jika terjadi Hari Kiamat sedang seorang daripada kalian mempunyai bibit kurma, jika mampu hendaklah jangan berdiri sampai dia menanamnya." (HR Ahmad).

Sikap berpeluk tubuh sebenarnya menyerah kalah dan memudahkan agenda musuh Islam dapat sampai ke objektifnya secara selesa.

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

356 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »