Khamis, 5 April 2018 | 6:10am
Manfaat usia dengan perbanyak baca al-Quran jadi bekalan akhirat. - Foto hiasan

Tingkat amalan suci jiwa sepadan usia

Perkongsian bersama
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani
dalam slot Mau'izati mengajak manusia tak kira usia menjaga kebersihan, terutama kebersihan hati. Perbanyakkan taubat, membaca
al-Quran dan sentiasa berdoa antara amalan menyucikan hati.

Oleh Fairuz Noordin cnews@nstp.com.my

Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati mengajak manusia tak kira usia menjaga kebersihan, terutama kebersihan hati. Perbanyakkan taubat, membaca al-Quran dan sentiasa berdoa antara amalan menyucikan hati.

Tiga fasa dalam perjalanan kehidupan manusia bermula dengan melalui usia kanak-kanak, iaitu bertenaga dan mempunyai masa, tetapi tidak berharta. Fasa kedua, melalui masa berkerjaya dengan bertenaga dan berharta, tetapi tidak mempunyai masa kerana pelbagai faktor, termasuk sibuk, manakala fasa terakhir, manusia memiliki harta serta masa, tetapi tidak lagi bertenaga kerana usia tua.

Pada ketika inilah masa paling penting kerana manusia berada dalam situasi getir dan menghampiri sakaratul maut, sekali gus perlu berusaha untuk kekal yakin dengan agama Allah pada saat penuh kekalutan. Apatah lagi, berada dalam keadaan jasad lemah dan tidak lagi berupaya untuk berfikir dengan baik.

Allah mengingatkan manusia agar tidak mati kecuali berada dalam keadaan benar-benar Muslim. Malah ketika usia melangkaui 40 tahun, manusia sewajarnya berusaha menyucikan hati dan jasad. Jasad yang zahir, suci dengan menyempurnakan wuduk, mandi dan mengangkat hadas. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah), iaitu basuhlah muka dan dua tangan meliputi siku serta sapu sebahagian kepala dan basuh dua kaki meliputi buku lali. Dan jika kamu berjunub (berhadas besar), maka bersuci dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit, dalam perjalanan, salah seorang kamu datang dari tempat buang air atau kamu menyentuh perempuan sedangkan kamu tidak mendapati air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah bertayamum dengan tanah - debu - yang bersih, iaitu sapulah muka dan dua tangan kamu dengan tanah itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan, tetapi Dia hendak menyucikan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu supaya kamu bersyukur." (al-Maaidah, ayat 6)

Jaga kebersihan hati

Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm menekankan betapa semakin manusia berusia, mereka kian mengabaikan kebersihan diri dan tidak lagi berpakaian kemas dengan alasan tidak perlu menarik perhatian orang lain tanpa memikirkan masih perlu mengutamakan kehendak dan perintah Allah SWT.

Pada masa sama, manusia perlu menjaga kebersihan hati agar terhindar daripada kekotoran diakibatkan dosa seperti bersangka buruk terhadap manusia lain, hidup dipengaruhi dendam, bakhil dan kedekut serta bersikap terlalu cintakan dunia.

Kita perlu memperbanyakkan taubat untuk menyucikan hati yang kotor, membaca al-Quran dan menjadikannya amalan dalam kehidupan seharian serta mengambil peluang berada dalam majlis ilmu. Selain itu, kita perlu memperbanyakkan infak di jalan Allah kerana ia amalan dituntut.

Sentiasalah berdoa kepada Allah sekalipun berada dalam kesenangan atau menghadapi kesusahan kerana ia antara ciri yang perlu ada pada setiap Mukmin, sekali gus mampu menyucikan hati manusia.

Allah amat menyukai hamba-Nya yang sentiasa mengadu, meminta dan berdoa kerana ia membuktikan kehambaan mereka kepada-Nya, selain mengakui Dialah Maha Pencipta. Allah SWT berfirman: "Di dalam masjid itu ada orang yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) diri; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)." (At-Taubah: 108).

693 dibaca
Berita Harian X