Jumaat, 30 March 2018 | 12:01am
Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' KUIS sedia pusat rawatan alternatif percuma. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MASJID Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). - Foto Nurul Shafina Jemenon
KEADAAN di dalam Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sedia pusat rawatan alternatif percuma

MASJID Al-Azhar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menubuhkan Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' KUIS yang dibuka sejak 2016 yang menyediakan rawatan alternatif perubatan Islam kepada jemaahnya.

Dibuka setiap Selasa dan Jumaat mulai jam 9 hingga 11 malam, ia bukan sahaja menjadi tumpuan mahasiswa dan kakitangan KUIS, bahkan turut memberi manfaat kepada masyarakat di sekitarnya.

Setiausaha masjid yang juga perawat di Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' KUIS, Mohd Nor Hafiz Mohd Unus berkata, perawat di pusat berkenaan terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan pelajar KUIS.

Beliau berkata, perawat perlu mengikuti kursus selama setahun dan menerima sijil pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa').

"Jarang masjid institusi menawarkan perkhidmatan rawatan alternatif Islam seperti ini yang tidak mengenakan sebarang caj kepada pesakit. Namun, mereka boleh memberi sumbangan ikhlas untuk pembangunan pusat.

"Bukan sahaja sakit kerohanian seperti histeria atau gangguan misteri, pusat rawatan ini turut dibuka untuk sakit jasmani seperti demam dengan membacakan ayat al-Quran, selawat syifa dan mengajar pesakit amalan doa yang bersesuaian untuk dijadikan rutin bacaan," katanya.


PERAWAT di Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' KUIS terdiri daripada kakitangan pentadbiran, pensyarah dan pelajar KUIS. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Pembabitan mahasiswa

Sementara itu, Nazir Masjid Al-Azhar KUIS, Dr Saifulah Samsudin, berkata selain menumpukan keperluan masyarakat, fokus utama masjid adalah mendahulukan mahasiswa sebagai kumpulan jemaah majoriti di sini.

Sehubungan itu, pengurusan masjid memberi kelonggaran kepada mereka untuk melakukan aktiviti berkaitan akademik dan kokurikulum, serta membenarkan mahasiswa berehat, membuat ulangkaji atau bermesyuarat di dalam kawasan masjid.

"Fungsi masjid institusi agak berbeza dengan masjid kariah kerana perlu berkhidmat untuk golongan mahasiswa. Oleh itu, perancangan dan kegiatan banyak tertumpu dalam memenuhi keperluan mereka.

"Mahasiswa juga menjadi penggerak yang mengimarahkan masjid dan bagi tujuan itu mereka terbabit secara langsung dalam pengurusan seperti menjadi pembantu imam, siak serta pembantu siak yang bertugas mengikut giliran. Mereka juga beri diberi elaun," katanya.

Menurut Saifulah, di bawah Biro Pemuda Masjid Al-Azhar, masjid menubuhkan Al-Azhar Members (ALAM) yang memainkan peranan menarik lebih ramai mahasiswa mendekati masjid melalui penganjuran aktiviti bersifat mesra jiwa orang muda.

Beliau berkata, Komuniti ALAM mempunyai pejabat operasi untuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan aktiviti, selain diberi kepercayaan mengendalikan ruang niaga makanan ringan di dalam kawasan masjid.

Katanya, buat masa ini Masjid Al-Azhar KUIS mempunyai perancangan untuk menambah baik infrastruktur sedia ada antaranya pembinaan dapur lebih kondusif, menukar permaidani di ruang solat bagi keselesaan jemaah sebagai persiapan menjelang Ramadan tidak lama lagi.


PERAWAT Pusat Rawatan Kecil Darussyifa' KUIS, Mohd Nor Hafiz Mohd Unus. - Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO
Masjid Al-Azhar KUIS

  • Seni binanya dipengaruhi masjid pada zaman Empayar Uthmaniyyah seperti kubah besar, menara, tiang tinggi dan ruang legar luas.
  • Mempunyai Lembaga Penasihat Masjid berfungsi memantau dan memberikan nasihat untuk memastikan pengurusannya sentiasa menepati objektif sebagai sebuah masjid institusi.
  • Tingkat atas masjid menempatkan ruang solat Muslimah, dewan kuliah, bilik mesyuarat dan Pusat Rawatan Kecil Darus Syifa'

FAKTA NOMBOR

3,000 orang - Kapasiti jemaah sesuatu masa

18 tahun - Tempoh mula dibuka

10,000 orang - Jumlah warga KUIS

Berita Harian X