Khamis, 22 March 2018 | 9:56pm
DAPUR di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin
BILIK sewa yang terdapat di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin
SETIAUSAHA MSUA, Raja Dhiyauddin Raja Amir. -Foto Eizairi Shamsudin

Pendekatan kreatif MSUA tarik kariah elit

KUALA LUMPUR: Menyantuni jemaah dalam kategori elit bukan suatu yang mudah, malah sering kali menjadi cabaran cukup besar kepada pengurusan masjid.

Masjid Saidina Umar Bin Al-Khattab (MSUA) di Bukit Damansara, di sini, sebagai contoh antara yang turut berdepan isu sama apabila masjid kosong tanpa jemaah ketika program qiamullail dianjurkan.

Hal demikian sedikit pun tidak mematahkan semangat jawatankuasa pengurusan MSUA, sebaliknya mereka tampil dengan idea baharu bagi memancing minat jemaah untuk turut serta dalam setiap program diatur.

Menggunakan acara berkonsepkan moden dan baharu, pendekatan digunakan pengurusan MSUA yang selari dengan gaya hidup jemaah yang berstatus elit, berjaya menarik minat mereka.

Setiausaha MSUA, Raja Dhiyauddin Raja Amir, memang menjadi tumpuan utama pihaknya untuk memastikan pembabitan masyarakat secara dua hala dalam setiap aktiviti yang dianjurkan.

"Kariah di sini agak berbeza berbanding masjid lain di sekitar Kuala Lumpur, kerana jemaah terdiri daripada orang kenamaan termasuk bekas menteri...jadi perkara ini perlu kami ambil kira dan teliti sebelum sesebuah program dilaksanakan.


MASJID Saidina Umar Bin Al-Khattab (MSUA) di Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

"Umpamanya, pernah diadakan qiamullail tetapi dewan solat kosong...jadi kami buat perubahan dengan menukar nama acara kepada 'Night Mania' dan jemput penceramah yang disegani keilmuannya, baharulah diterima ramai," katanya kepada BH.

Beliau mengakui pendekatan dakwah di MSUA tidak boleh dibuat mengikut acuan biasa yang digunakan di institusi masjid lain, justeru pelbagai inisiatif diambil untuk memenangi hati ahli kariah dengan matlamat paling asas mengajak ke masjid terlebih dulu.

Didik kanak-kanak, remaja

Memandangkan kebanyakan jemaah lebih mesra berbahasa Inggeris, katanya pengurusan MSUA tampil dengan kuliah mingguan pada hari Sabtu yang dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

"Bagi mendidik kanak-kanak mencintai masjid pula, program dimulakan sejak 2013 iaitu Kelas Hafazan Kanak-kanak MSUA diadakan secara mingguan bermatlamat untuk melahirkan anak kariah yang boleh membaca dan menghafaz surah pendek .

"Kelas dibimbing sepenuhnya oleh kakitangan masjid khususnya imam dan bilal itu berhasil dalam meningkatkan mutu bacaan al-Quran pelajar, malah tahun lalu tiga kanak-kanak berjaya menghafaz keseluruhan surah dalam juzuk 'Amma," katanya.


RUANG solat utama Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

RUANG legar di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

Bagi golongan remaja pula, Raja Dhiyauddin berkata ditubuhkan Kelab Remaja Al-Sirath MSUA yang menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Ini termasuk menyantuni gelandangan dan menziarahi pesakit di hospital yang memerlukan sokongan moral.

"Menyasarkan untuk menarik lebih ramai generasi muda menjadikan masjid sebagai rumah kedua, pihak pengurusan tampil dengan pelbagai riadah di ruang legar di aras dua MSUA.

"Antaranya termasuklah seni mempertahankan diri termasuk sukan lawan pedang dan taekwando yang berjaya menarik penyertaan remaja," katanya.


PAPAN kenyataan digital di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. - Foto Eizairi Shamsudin

INFO: Masjid Saidina Umar Bin Al-Khattab

  • Nama diambil bersempena khalifah Islam kedua iaitu Saidina Umar Al-Khattab.
  • Dibina pada 1980 dan siap sepenuhya setahun kemudian.
  • Kos pembinaan RM2.9 juta.
  • Mampu memuatkan 4,000 jemaah dalam satu masa.
  • 10 surau di bawah kariah masjid.
  • Kemudahan disediakan - pejabat pentadbiran, dewan serbaguna, dewan solat utama, bilik wuduk, bilik pengurusan jenazah, bilik kuliah, bilik mesyuarat, perpustakaan, tandas, bilik stor dan gelanggang sukan.

Berita Harian X