Isnin, 5 March 2018 | 8:51am

Literalis sempitkan pemahaman al-Quran, hadis

GOLONGAN literalis cenderung melakukan interpretasi dan penafsiran bersifat sempit dengan terus menolak pemahaman atau amalan yang ditafsirkan tidak bersumberkan al-Quran dan hadis.

Kelompok yang bersifat jumud, radikal dan konservatif ini akhirnya melabelkan banyak hal agama sebagai bidaah atau sengaja diada-adakan sehingga ia turut menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat awam.

Pensyarah Kanan, Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, berkata pola berfikir yang terlalu liberal dan literal itu berikutan pemahaman lemah terhadap dua prinsip asas yang penting dalam tasawwur atau pandangan alam Islam, iaitu thabat (tetap) dan murunah (fleksibel) berkaitan hukum serta perundangan Islam.


PENSYARAH Kanan, Pusat Akidah dan Keamanan Global, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Thabat merujuk kepada hukum-hakam keseluruhan dan bahagian yang kekal tidak berubah hatta atas faktor tempat atau masa antaranya termasuk prinsip serta asas yang merangkumi akidah, ibadat, perkara ghaib dan prinsip muamalat seperti pengharaman riba.

"Murunah merujuk kepada hukum-hakam furuk atau cabang yang boleh berubah disebabkan perubahan masa, tempat dan keadaan berdasarkan kepentingan syarak," katanya kepada BH Agama di Bangi.

Wan Fariza Alyati berkata, kegagalan dalam memahami kedua-duanya menjadi punca utama taklid buta, cenderung meletakkan batasan bersifat sempit dan tidak tepat dalam memahami agama.

Beri kesan buruk

Beliau berkata, pola berfikir yang terlalu literal itu jika tidak ditangani akan memberikan kesan amat buruk terutama dalam hal membabitkan kesatuan ummah.

Bagi memelihara akidah umat Islam supaya terus utuh berpegang kepada Ahli Sunah Waljamaah, beliau menyarankan institusi pendidikan diperkasa secara menyeluruh bermula dengan penilaian dan pengembangan epistemologi (ilmu mengenai pengetahuan) Islam dan integrasi ilmu turath (tradisi ilmu yang berkesinambungan sejak zaman awal Islam) dengan bidang sains dan sosial semasa.

Beliau berkata, kemampuan umat Islam dalam mendepani cabaran ini bergantung kepada keterbukaan dalam memperteguhkan aliran wasatiyyah yang sebenar.

544 dibaca
Berita Harian X