Selasa, 30 Januari 2018 | 6:13am
- Gambar hiasan

Ingat Rasulullah sepanjang masa

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, tokoh pendakwah terkenal yang juga Presiden Institut Pengajian Madina, Atlanta Georgia Amerika Syarikat (AS), Maulana Sayyidi Sheikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy berbicara mengenai 'Melahirkan Kegembiraan dengan Kelahiran Agung'

Matlamat (maqasid) agama Islam supaya manusia dapat menikmati kebahagiaan, fitrah yang Allah SWT jadikan terhadap setiap manusia. Ada yang bergembira dengan dunia ini, ada bergembira dengan nikmat yang Allah SWT berikan.

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, tokoh pendakwah terkenal yang juga Presiden Institut Pengajian Madina, Atlanta Georgia Amerika Syarikat (AS), Maulana Sayyidi Sheikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy berbicara mengenai 'Melahirkan Kegembiraan dengan Kelahiran Agung'.

Beliau berkata, ulama menyebut ada dua jenis nikmat, pertama nikmat kerana Allah SWT menjadikan kita, manakala kedua ialah nikmat berbentuk hidayah yang Allah SWT anugerahkan kepada orang beriman.

Jika dibandingkan nikmat kerana 'dijadikan', maka ia adalah nikmat yang sama seperti Allah SWT menjadikan langit dan bumi, pokok dan bukit bukau. Lebih utama ialah manusia dianugerahkan Allah SWT nikmat hidayah yang akan menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Ada dalam kalangan manusia yang berseronok dan gembira dengan nikmat dunia, segala kecantikan dan keindahannya, lalu leka daripada menyembah Allah SWT yang menjadikan alam yang indah serta cantik ini.

Ada pula yang gembira dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat diberikan, lalu dizahirkan kegembiraan itu dengan bersyukur dan memperbanyakkan ibadat serta ketaatan kepada Allah SWT.

Nikmat diutuskan Baginda

Tiadalah nikmat rahmat yang paling besar sekali melainkan nikmat kejadian dan diutuskan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW seperti disebut dalam firman yang bermaksud: "Tidak kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Persoalan yang sering diperselisihkan ialah bagaimanakah cara untuk menzahirkan kegembiraan atas kelahiran 'rahmat sekalian alam' itu. Di sisi pandangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah, dibenar menzahirkan kegembiraan dalam apa juga bentuk yang tidak menyalahi syarak.

Dianjurkan kita menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan kerana mengambil sunah Nabi SAW apabila Baginda tiba di Madinah.

Baginda SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura lalu apabila ditanya kenapa kamu berpuasa pada hari ini, lalu mereka menjawab, "Kami berpuasa kerana pada hari ini diselamatkan Musa daripada Firaun. Maka Nabi SAW menjawab: Kami lagi berhak berpuasa melebihi kamu".

Ini menunjukkan kepada kita bahawa berpuasa adalah ibadat paling utama kerana puasa itu bagi Allah SWT sementara solat, zakat dan ibadat lain adalah untuk diri sendiri. Justeru, sebaiknya zahirkan kegembiraan dengan berpuasa.

Baginda diangkat jadi Rasul usia 40 tahun

Imam al-Tabarani menyebut dalam kitabnya 'Al-Mu'jam al-Awsat' dengan sanad yang hasan bahawa Baginda SAW melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri selepas diangkat menjadi Rasul pada usia yang 40 tahun.

Kita juga sering mendengar Baginda SAW apabila ditanya kenapa berpuasa pada hari Isnin, maka Baginda menjawab, "Ia adalah hari aku dilahirkan."

Jika Baginda SAW bergembira atas kelahirannya dan memperuntukkan ibadat yang utama iaitu berpuasa setiap minggu untuk menzahirkan kesyukuran, kenapa pula kita umat Islam tidak mahu bergembira serta menentang orang yang mahu bergembira di atas kelahiran agung ini?

Al-Quran bercakap mengenai kelahiran Maryam, Nabi Isa dan Nabi Yahya. Al-Quran menceritakan kelahiran insan mulia dan agung ini sebagai panduan kepada manusia sejagat untuk mengetahuinya.

Oleh itu marilah bersama kita terus menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW bukan pada 12 Rabiulawal sahaja, tetapi sepanjang masa dan ketika selagi hayat dikandung badan.

Penulis adalah Pengarah Pusat Media IKIMfm

551 dibaca
Berita Harian X