Ahad, 28 Januari 2018 | 7:17am

Hukum wanita dalam haid baca al-Quran

S: Bolehkah wanita dalam haid membaca al-Quran?

J: Memang tidak dinafikan isu ini mempunyai pelbagai pandangan dalam kalangan ulama fikah. Disebabkan kita di Malaysia mengamalkan mazhab Syafie dalam penentuan sesuatu hukum, menjadi satu keperluan kembali kepada mazhab itu supaya tidak berlaku kekeliruan dan pertelingkahan.

Ulama dalam mazhab Syafie telah bersepakat bahawa wanita yang sedang haid tidak dibenarkan membaca al-Quran kerana mereka ketika itu dalam keadaan hadas besar yang wajib menghindari semua perkara berkaitan ibadah khusus seperti solat, puasa dan membaca al-Quran.

Pendapat itu turut disokong oleh ulama mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian pendapat dalam mazhab Hambali. Hujah mereka ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah membaca sesuatu pun daripada al-Quran semasa haid dan berjunub." (Riwayat al-Tirmidhi)

Berasaskan hadis Nabi SAW itu, diingatkan kepada wanita yang dalam haid supaya tidak membaca dan memegang al-Quran tanpa sebarang keperluan. Ini bertujuan untuk memelihara kesucian ayat al-Quran secara umum dan mushaf secara khususnya.

Walaupun begitu, ulama tidak melarang wanita dalam haid membaca zikir sama ada yang dipetik daripada sebahagian kecil ayat al-Quran atau hadis Nabi SAW.

S: Saya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan pada masa sama, saya juga guru di sekolah tahfiz. Kebiasaannya, saya akan mengulang sebanyak enam juzuk satu hari. Apabila uzur (haid), adakah saya dilarang membaca dan mengulang hafalan al-Quran. Boleh perincikan hukum wanita yang hafaz al-Quran mengulang hafalan ketika haid?

J: Berhubung permasalahan ini, ulama terbahagi kepada dua pandangan kerana ada pertembungan antara nas dan etika penghafal al-Quran.

Jumhur fuqaha berpendapat, wanita yang dalam keadaan haid atau nifas diharamkan membaca al-Quran secara mutlak dalam semua keadaan. Perkara ini berdasarkan hadis Ibn Umar, "Tidak dibolehkan wanita dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada al-Quran." (Riwayat al-Tirmizi - hadis ini hadis daif)

Ibn Abbas, Imam al-Nawawi, Ibn Jarir al-Tabari, al-Syaukani, Abu Thaur, Imam al-Syafie dalam qaul qadimnya dan Syeikh al-Azhar Ali Tantawi berpendapat, wanita yang hafaz al-Quran dibenarkan untuk mengulangi hafalan mereka ketika haid.

Bukan sekadar itu, guru dan ustazah yang haid juga boleh mengajar al-Quran seperti biasa bagi tujuan memenuhi keperluan mendidik ummah yang lebih besar maslahatnya. Jika mereka diharamkan berbuat demikian, maka akan banyak keburukan seperti hilangnya hafalan.

Lebih membimbangkan, sistem pendidikan al-Quran juga akan tergendala akibat cuti panjang yang diambil oleh guru yang datang haid.

Sebagai menghormati golongan yang menghafal al-Quran, maka pandangan yang terpilih daripada dua pandangan itu adalah pandangan kedua. Pandangan itu hanya membenarkan guru dan penghafal al-Quran membaca, mengulang kaji serta mengajar al-Quran ketika haid.

Namun, perlu diingatkan, hukum harus itu hanya dikhususkan untuk mereka yang menghafal al-Quran dan guru yang mengajar subjek al-Quran, manakala yang tidak termasuk dalam golongan itu adalah diharamkan.

S: Apakah hukum wanita sedang haid menziarahi kubur?

J: Menurut ulama aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah SAW telah menziarahi perkuburan Baqi' dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda: "Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya-Allah akan menyusuli kamu."

Nabi SAW juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang kamu boleh menziarahinya kerana menziarahi kubur itu mengingatkan kamu kepada kematian." (Riwayat Imam Muslim)

Jumhur fuqaha menyatakan, ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki, manakala makruh bagi wanita. Ini kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh, seterusnya membawa kepada ratapan dan tangisan.

Menurut ulama aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) itu hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada 'keinginan', hukumnya sama seperti lelaki.

Ringkasnya, ziarah kubur adalah sunat bagi wanita jika dapat memastikan tidak melakukan perkara dilarang seperti meratap dan meraung. Selain itu mereka hendaklah menutup aurat dan tidak bercampur bebas dengan lelaki yang bukan mahram.

Tidak pula disyaratkan supaya bersuci daripada hadas kecil atau besar bagi mereka yang menziarahi tanah perkuburan. Justeru, diharuskan wanita haid menziarahi kubur.

Penulis adalah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malayia

8258 dibaca
Berita Harian X