Sabtu, 27 Januari 2018 | 9:38am
USAHAWAN muda yang mengusahakan perniagaan pakaian dan tudung di Universiti Malaya, Nurul Hidayah Watimin (kanan). - Foto Khairul Azhar Ahmad

Pastikan perniagaan ikut syariat

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan makanlah daripada rezeki yang diberikan Allah SWT kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kepada-Nya sahaja kamu beriman." (Surah al-Maidah, ayat 88)

Memahami konsep rezeki menurut pandangan Islam penting kerana ia bukan sahaja membantu untuk lebih dekat dengan Allah SWT, bahkan dapat mengelakkan kita daripada mengabaikan tanggungjawab selagi bernafas di dunia ini.

Penting untuk kita sedar, setiap rezeki itu bukan milik mutlak, sebaliknya ada bahagian yang perlu dibelanjakan ke jalan Allah SWT dan dikongsi bersama orang lain menerusi pensyariatan zakat dan amalan bersedekah.

Rezeki dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kurniaan, yang diusahakan dan boleh hadir dalam bentuk tidak disangka. Kurniaan adalah segala yang dihadiahkan Allah SWT termasuk nikmat kesihatan, pancaindera, kegembiraan, keamanan, udara segar dan masyarakat yang prihatin.

Rezeki yang diusahakan pula adalah sesuatu yang terikat dengan hukum alam dan berkait rapat ikhtiar manusia, seperti apabila seseorang itu dahaga dia akan mencari air. Terdapat juga rezeki yang tidak diduga dan ia berkait rapat dengan elemen tawakal dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam keadaan tertentu, ada ketikanya kita putus harapan untuk mencari punca rezeki dan tanpa diduga, Allah SWT menurunkan pertolongan-Nya dalam pelbagai cara yang tidak tercapai oleh akal manusia yang cetek.

Felo Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Sabri Haron, berkata mencari rezeki melalui perniagaan perkara biasa dalam kebanyakan tamadun, termasuk Mesopotamia dan Indus yang wujud sekitar 3000 tahun sebelum Masihi.

Beliau berkata, mengikut sejarah Islam, nabi dan rasul juga terbabit dalam dunia perniagaan. Rasulullah SAW memenuhi keperluan seharian Baginda dan keluarga dengan melakukan beberapa pekerjaan termasuk mengembala biri-biri serta berdagang.

Sesuai ikut syariat

"Nabi Nuh pula diperintahkan oleh Allah SWT membuat sebuah bahtera sebagai isyarat kepadanya untuk menceburi bidang pertukangan dalam usaha mendapatkan mata pencarian," katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami dan dengan panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya) dan janganlah engkau merayu kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)." (Surah Hud, ayat 37)

Ia secara tidak langsung menunjukkan insan yang dipelihara Allah SWT juga mencari rezeki dengan melakukan perkara bermanfaat bagi menyediakan tempat tinggal, kelengkapan, makanan dan minuman untuk memudahkan kehidupan.

Mohamad Sabri berkata, ruang lingkup keusahawanan mestilah terikat dengan etika agama supaya setiap Muslim itu sentiasa meletakkan seluruh kehidupannya sebagai ibadah dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.

Keusahawanan Islamik

"Penting setiap usahawan memahami konteks keusahawanan yang Islamik kerana dengan cara itu mencetuskan sifat amanah untuk menjaga hubungan baik sesama manusia.

"Pada masa sama, akan lahir pula sifat terpuji seperti menepati janji, menjaga masa dan akhlak mulia, sekali gus menghindarkan diri daripada sifat tercela, termasuk menipu, dengki dan khianat," katanya.

Beliau berkata, realiti dunia yang sentiasa berubah menuntut setiap Muslim berusaha menyesuaikan diri menghadapi kehidupan bertepatan syariat Allah SWT. Ini termasuk membuat persediaan menghadapi kemungkinan isu ekonomi, pengangguran, kos sara hidup tinggi dan persaingan dalam perniagaan.

116 dibaca
Berita Harian X