Khamis, 25 Januari 2018 | 10:01pm
ANTARA murid yang hadir di Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Subang Perdana. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
BILIK guru yang beroperasi di dalam Masjid Taman Subang Perdana. - Foto Mohd Asri Saifuddin

Masjid sediakan sesi bimbingan keluarga

SHAH ALAM: Tidak banyak masjid yang menyediakan perkhidmatan bimbingan keluarga, tetapi di Masjid Taman Subang Perdana, di sini, unit khas ditubuhkan untuk menyelesaikan krisis, terutama membabitkan hubungan suami isteri mengikut syariat agama.

Perkhidmatan yang disediakan sejak tiga tahun lalu, ditunjangi Ketua Imam, Hassan Mokhtar dan beroperasi di ruang pejabat disediakan khusus untuk perkhidmatan bimbingan pada setiap Sabtu dan Ahad.

Hassan yang dipertanggungjawabkan memberi perkhidmatan nasihat dan kaunseling ketika ditemui BH berkata, pelbagai masalah membabitkan rumah tangga seperti hubungan antara pasangan, kewangan serta perihal anak-anak.

"Walaupun ada waktu operasi yang ditetapkan oleh pihak masjid, ada juga yang datang tanpa mengira masa kerana sibuk bekerja. Ada yang berjumpa selesai solat berjemaah dan sebahagiannya lebih selesa bertemu di luar.

"Selalunya, saya akan beri cadangan supaya suami isteri itu berdamai. Jika tidak ada penyelesaian atau kes wanita mendakwa dipukul oleh suami, saya sarankan mereka membawa bersama bukti ke mahkamah syariah bagi memudahkan sebarang proses tuntutan," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan bimbingan keluarga itu diadakan secara tertutup bagi menjaga aib dan mengelak daripada tersebarnya fitnah dalam kalangan masyarakat setempat.


MASJID Taman Subang Perdana. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

BILIK darjah dibahagikan mengguna penghadang diperbuat daripada kayu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Bina sekolah baru

Hassan berkata, pihak masjid juga komited dalam memastikan anak kariah mendapat pendidikan agama dengan menubuhkan Sekolah Agama Rakyat KAFA Integrasi Subang Perdana yang terletak bersebelahan dewan solat utama.

Sekolah agama yang beroperasi sejak 2010 itu pada mulanya mempunyai jumlah murid seramai 250 orang dan terus meningkat setiap tahun. Kini sekolah berkenaan menampung kira-kira 500 pelajar.

Nazir Masjid Taman Subang Perdana, Zulkarnain Musa, berkata sekolah agama berkenaan beroperasi dalam dua sesi iaitu pagi dan petang di bilik darjah yang terpaksa dibahagikan mengguna penghadang diperbuat daripada kayu.

Katanya, pengurusan masjid bercadang membina bangunan tiga tingkat untuk sekolah agama yang dijangka membabitkan kos RM2.5 juta di kawasan masjid dan fasa pertama dijangka bermula pada Oktober tahun ini.

"Keadaan sekolah agama sekarang tidak begitu selesa termasuk bilik guru dan kelas yang sempit, apatah lagi dengan jumlah pelajar semakin bertambah. Setakat ini sebanyak RM900,000 dikumpul dan kami mengalu-alukan sumbangan semua pihak," katanya.


RUANG pejabat yang terdapat di Masjid Taman Subang Perdana. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

INFO: Masjid Taman Subang Perdana, Shah Alam

  • Terletak kira-kira dua kilometer ke utara dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya.
  • Bumbung masjid yang tirus diinspirasikan daripada rekaan seni bina tradisional rumah Melayu limas.
  • Kariah masjid ini merangkumi tiga seksyen iaitu U3, U4 dan U5.
  • Masjid turut membantu masyarakat setempat dengan penubuhan koperasi, antaranya membuka ruang niaga di ruang legar dan perkhidmatan mencuci kereta di kawasan parkir.

FAKTA NOMBOR
2008 - Masjid siap dibina
2010 - Penubuhan sekolah agama rakyat
27 - Surau di bawah kariah masjid.

Berita Harian X