Khamis, 25 Januari 2018 | 6:56am
SEBAHAGIAN jemaah yang hadir ke majlis selawat sempena Maulud Nabi di Masjid Al Ridhuan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Zahir kegembiraan rai hari lahir Nabi

FIRMAN Allah SWT bermaksud: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." (Surah Yunus, ayat 58)

Ulama mentafsirkan maksud fadhlillah (anugerah Allah) dalam ayat di atas merujuk kepada ilmu, manakala yang dimaksudkan bergembira dengan 'rahmat' pula merujuk kepada pengutusan Baginda SAW.

Ia berdasarkan firman Allah SWT: "Tidaklah kami utuskan kamu melainkan rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiya, ayat 107).

Berbeza dengan kalimah 'gembira' dalam bahasa Melayu yang maknanya agak terhad dan tidak menggambarkan kegembiraan yang pelbagai bentuk dan keadaan, kamus bahasa Arab memberikan banyak kalimat berbeza yang membawa maksud gembira seperti al-surur dan al-farah.

Namun dalam ayat di atas, Allah SWT menggunakan kalimah al-farah yang mengikut pengkaji bahasa, membawa maksud kegembiraan yang perlu dizahirkan dan bukannya dipendam atau disimpan dalam hati.

Ini berbeza dengan kalimah al-surur yang lebih membawa maksud gembira dalam hati yang tidak dizahirkan di luar.

Imam Suyuti RA ketika membawa pendapat al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengenai isu Maulidur Rasul menyebut amalan menyambutnya sebagai amalan baik dan digalakkan (mustahab) selagi tidak diisi dengan perkara melalaikan dan berdosa.

Antara hujahnya adalah ketika Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Baginda SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharam hingga Baginda SAW bertanya, "Kenapa kamu berpuasa pada 10 Muharam (hari ini kita memanggilnya sebagai Hari Asyyura')." Mereka pun menjawab, "Pada hari ini (10 Muharam), Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS daripada Firaun. Maka pada hari ini kami berpuasa sebagai menzahirkan kegembiraan terhadap peristiwa Allah menyelamatkan Musa itu." Maka Baginda SAW bersabda: "Sesungguhnya kami terlebih berhak bergembira daripada kamu (kaum Yahudi)." Lalu Nabi SAW berpuasa pada hari 10 Muharam dan memerintah sahabat melakukan hal sama bagi menzahirkan kegembiraan atas peristiwa ini.

Amalan dituntut

Maka mengambil kira dalil ini, ulama berpendapat menyambut Maulidur Rasul kerana bergembira atas kelahiran agung Baginda SAW adalah amalan dituntut sebagai melambangkan kesyukuran terhadap Allah SWT yang mengutuskan Nabi SAW memimpin kita dan menyelamatkan daripada api neraka.

Seperkara lagi kalau diperhatikan kandungan majlis Maulidur Rasul itu sendiri adalah amalan baik dan digalakkan dilakukan seperti bermula daripada menzahirkan kesyukuran dan gembira kita atas kelahiran Baginda SAW.

Majlis itu turut diisi dengan amalan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW, membaca sirah agar memahami perjuangan Baginda SAW dan contoh teladan yang wajib diikuti, qasidah dan madaih, iaitu membacakan bait syair yang memuji Baginda SAW.

Memuji bukan memuja

Memuji Baginda SAW bukanlah memuja dan mengagungkan Baginda SAW seperti golongan yang mengagungkan Nabi Isa AS dan mengangkatnya sebagai anak Tuhan, tetapi memuji itu sebenarnya secara tidak langsung memuji Penciptanya, iaitu Allah SWT.

Pujian kerana mencipta hamba Allah yang sempurna seperti seseorang memuji individu pelajar, sedangkan hakikatnya guru atau ibu bapanya turut menerima tempias secara tidak langsung.

Andaian konon tidak dibolehkan memuji Baginda SAW kerana menyamai amalan kelompok Kristian mengagungkan Nabi Isa adalah tidak benar kerana umat Islam memuji Baginda SAW tidak sama hingga mengangkat Baginda SAW sebagai anak Tuhan.

Penulis adalah Pengarah Pusat Media IKIM

218 dibaca
Berita Harian X