Khamis, 11 Januari 2018 | 7:49pm
SETIAP pelajar baharu diwajibkan menjalani fasa prahafazan al-Quran dinamakan Kelas Nazirah bagi memastikan mereka mahir ilmu tajwid. - Foto Rosela Ismail
SETIAP pelajar dibekalkan dengan naskhah al-Quran bersaiz besar supaya lebih senang mengenal pasti setiap hukum tajwid dan mengurangkan kesalahan dalam bacaan. - Foto Rosela Ismail
PELAJAR mengemas katil di asrama Madrasah Hafizah Tamam di Taman Kajang Impian, Bangi. - Foto Rosela Ismail
PELAJAR Madrasah Hafizah Tamam didedahkan dengan aktiviti menyelam di dasar laut di Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu. - Foto NSTP
PELAJAR Madrasah Hafizah Tamam menyertai aktiviti menyelam di dasar laut di Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu. - Foto NSTP

Tahfiz khusus pelajar perempuan

KUALA LUMPUR: Memandangkan majoriti madrasah tahfiz dibuka untuk pelajar lelaki dengan sesetengahnya berkonsep campuran, Madrasah Hafizah Tamam di Taman Kajang Impian, Bandar Baru Bangi, Selangor, ditubuhkan khusus untuk pelajar perempuan.

Bermula dengan 10 pelajar pada tahun 2012, sambutan yang diterima semakin menggalakkan apabila ia kini menempatkan lebih 40 pelajar berusia antara 10 tahun hingga 18 tahun.

Beroperasi di dua unit rumah teres yang dijadikan asrama dan pusat pengajian, selain pelajar, pengetua, guru, warden dan kakitangan pentadbiran yang bertugas semuanya terdiri daripada golongan wanita.

Pengetua Madrasah Hafizah Tamam, Nur Husna Mohd Yasin, berkata nama pusat pengajian itu membawa maksud penghafal al-Quran wanita yang sempurna, selari dengan visi mereka membentuk huffaz profesional.

"Ia diasaskan oleh pendakwah bebas, Asni Abu Mansor yang kebetulan ingin menghantar anak perempuannya ke sekolah tahfiz, jadi beliau mengambil inisiatif membuka sebuah madrasah khusus untuk pelajar perempuan.


PENGETUA Madrasah Hafizah Tamam, Nur Husna Mohd Yasin. - Foto Rosela Ismail

NUR Husna Mohd Yasin (tengah) bersama tenaga pengajar dan pelajar di hadapan bangunan Madrasah Hafizah Tamam di Taman Kajang Impian, Bangi. - Foto Rosela Ismail

"Tidak dinafikan cabaran mengendalikan pelajar perempuan lebih berat dan perlukan ketelitian terutama untuk mengawasi pergerakan dan keselamatan sepanjang pengajian seperti ketika riadah, mereka akan ditemani warden dan tidak dibenarkan keluar bersendirian," katanya.

Kelas prahafalan

Mengulas mengenai corak pengajian, Nur Husna berkata, setiap pelajar baharu diwajibkan menjalani fasa prahafazan al-Quran dinamakan Kelas Nazirah bagi memastikan mereka mahir ilmu tajwid dan pada masa sama, memperbetulkan sebutan huruf.

Kemudian, pelajar akan dilatih untuk melancarkan bacaan al-Quran sehingga mampu menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 juzuk dalam sehari, supaya mampu khatam dalam tiga hari.

Kebiasaannya, Kelas Nazirah berlangsung selama beberapa bulan tertakluk kepada keupayaan setiap pelajar dan jika mereka melepasi ujian itu, barulah fasa hafazan al-Quran bermula.

Bagi memudahkan proses hafazan, setiap pelajar dibekalkan dengan naskhah al-Quran bersaiz besar supaya lebih senang mengenal pasti setiap hukum tajwid dan mengurangkan kesalahan dalam bacaan.


KEMUDAHAN tempat membasuh untuk pelajar di asrama Madrasah Hafizah Tamam. - Foto Rosela Ismail

Pembelajaran santai

Nur Husna berkata, selain hafazan al-Quran, pelajar turut didedahkan dengan subjek fardu Ain termasuk tauhid, fekah, tajwid dan dua mata pelajaran akademik iaitu bahasa Melayu serta matematik.

Konsep pembelajaran juga lebih santai, pada hujung minggu diadakan sesi motivasi untuk meningkatkan semangat pelajar, mereka turut dibawa bersiar-siar serta mengadakan kelas di lokasi berbeza, antaranya di Galeri At-Tin milik Asni.

Bagi pelajar yang berminat dalam seni khat, terdapat kelas kaligrafi disediakan oleh guru terlatih pada setiap Rabu, Jumaat dan Sabtu di galeri sama.

Antara program tahunan yang dijalankan pada akhir tahun adalah percutian yang mana pihak pengurusan membawa pelajar melakukan aktiviti lasak termasuk menyelam di dasar laut di Pulau Tenggol, Dungun, Terengganu.

Pelajar Madrasah Hafizah Tamam, Nurul Hana Rosmin, 13, berkata dia mula memasuki madrasah itu seawal usia 10 tahun dan mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri kerana perlu korbankan masa tidur, bermain dan perlu lebih berdisiplin.

"Syukur kerana saya kini hanya tinggal dua juzuk al-Quran untuk dihabiskan," katanya.

FAKTA NOMBOR

RM2,425 - Yuran pendaftaran tahunan

10 - Pelajar khatam hafazan al-Quran sejak 2015

4 - Guru menyelia hafazan al-Quran

Berita Harian X