Isnin, 8 Januari 2018 | 6:15am
- Gambar hiasan

Safiah wanita Islam pertama hunus senjata di medan perang

Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib terkenal sebagai seorang yang tekun dalam ibadahnya, pahlawan yang melahirkan pahlawan besar dan wanita pertama menghunus pedang di medan jihad. Ibu saudara Rasulullah SAW itu juga terkenal sebagai ibu yang tegas. Ikuti kisah wanita hebat ini yang dikongsikan Ustaz Muhammad Hazri Hashim Al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

Anak perlu didedahkan dengan insan hebat di zaman Baginda SAW yang kuat berjuang demi mempertahankan agama Allah SWT. Begitulah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Hazri Hashim Al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm.

Beliau berkongsi mengenai kisah penghulu dalam kalangan wanita yang sangat dimuliakan iaitu orang yang sangat digeruni oleh pahlawan kerana beliau adalah wanita pertama dalam Islam yang menghunuskan senjata, berperang mempertahankan agama Allah SWT dan hebat di medan tempur.

Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib al-Hashimiah al-Quraisyiah juga terkenal sebagai seorang yang tekun dalam ibadahnya, pahlawan yang melahirkan pahlawan besar kepada kaum Muslimin yang pertama menganggotai angkatan berkuda kaum Muslimin.

Ibu kepada Saidina Zubair bin Awwam itu ibu saudara kepada Nabi SAW. Beliau dikatakan memiliki kemuliaan daripada segenap aspek kehidupannya. Bapanya, Abdul Mutalib bin Hashim, datuk Nabi SAW seorang pembesar Qurasiy yang sangat disegani serta orang yang menemukan semula perigi zam-zam setelah sekian lama tidak ditemui.

Ibunya, Haalah binti Wahab, kakak kepada ibunda Nabi SAW, Aminah binti Wahab. Suami kepada Safiah ialah al-Harith bin al-Harb, saudara Abu Sufyan bin Harb.

Ibu yang tegas

Setelah suaminya meninggal, beliau berkahwin pula dengan Al-Awwam bin Khuwailid, saudara kepada Saidatina Khadijah binti Khuwailid, isteri Nabi SAW. Dapat kita lihat betapa dekat dan akrabnya hubungan Safiah dengan Nabi SAW sehingga dikatakan tidak ada manusia yang mempunyai hubungan sedemikian dengan Baginda.

Apabila Nabi Muhammad SAW telah diutuskan oleh Allah SWT sebagai nabi membawa agama, hidayah dan kebenaran, Safiah binti Abdul Mutalib antara orang terawal yang beriman dan membenarkan kenabian Baginda SAW. Pada ketika itu, terhimpunlah lagi kemuliaan Safiah.

Anaknya, Zubair telah dibesarkan oleh Safiah dengan kasih sayang serta penuh ketegasan. Beliau mempersiapkan anaknya untuk menjadi seorang pejuang, berperang di medan jihad. Beliau jadikan mainan harian anaknya lontaran panah serta seni memperbaiki busur panah.

Beliau turut mempersiapkan anaknya dengan kemahiran berkuda dan bersenjata. Tatkala dilihatnya Zubair malas, maka akan dipukul anaknya itu. Beliau begitu tegas mendidik anaknya sehingga salah seorang saudaranya mengatakan, bukan begitu caranya memukul anak.

Hijrah bersama nabi

Katanya, "Sesungguhnya engkau memukulnya dengan penuh kebencian. Maka Safiah mengatakan: Sesiapa yang mengatakan aku memukulnya dengan kebencian, maka tipulah dia. Sesungguhnya aku memukulnya supaya dia menjadi seorang yang berguna. Aku memukulnya untuk mempersiapkan dia menjadi angkatan perang yang tidak akan terkalah. Aku memukulnya supaya dia terbiasa dengan pukulan musuh."

Safiah telah menyertai kaum Muslimin yang terawal memeluk Islam, begitu juga puteranya, Zubair ibn Awwam. Mereka berdua telah merasai derita dan kekerasan dilakukan kaum Quraisy yang menentang kumpulan memeluk Islam.

Tatkala Baginda SAW diizinkan oleh Allah SWT untuk berpindah ke Kota Madinah, Safiah telah sama-sama berhijrah. Beliau meninggalkan Kota Makkah yang sangat dicintai serta kenangan manis.

Beliau turut meninggalkan rumah dan hartanya demi berhijrah bersama Nabi SAW. Ketika itu, Safiah hampir mencecah usia 60 tahun, tetapi beliau tidak melepaskan peluang menyertai Rasulullah SAW di medan jihad.

Jihad di medan Uhud

Beliau pernah bersama Baginda SAW di medan Uhud dengan angkatan Muslimin serta sekumpulan wanita lain yang berjihad di jalan Allah SWT melakukan tugasan masing-masing. Safiah menyediakan air, membalut luka serta membaiki panah yang patah.

Namun, apabila beliau melihat peperangan mula berkecamuk dan orang semakin jauh dari Rasulullah SAW, ketika itu Safiah, ibu saudara yang cintakan anak saudaranya yang juga kekasih Allah SWT, beliau menarik pedang untuk berjihad membantu Rasulullah SAW.

Dikatakan beliaulah wanita Islam pertama yang menghunuskan senjata dan membunuh kaum musyrikin. Beliau mempunyai ketabahan sangat luar biasa.

Saat Saidina Hamzah gugur di medan Uhud, Rasulullah SAW bimbang Safiah terlihat adiknya itu lalu Baginda memanggil Zubair untuk melihat ibunya. Apabila ditahan supaya tidak melihat keadaan Saidina Hamzah, Safiah berkata, "Mengapa aku hendak berhenti. Aku juga ingin melihat apa yang telah diperlakukan kepada adikku Saidina Hamzah dan aku akan rasa bangga kepada Allah SWT kerana adikku berjuang di jalan Allah SWT. Adikku gugur dalam mempertahankan nabi-Nya. Adikku akan mendapatkan kemuliaan yang akan diberikan oleh Allah SWT."

Tidak takut musuh

Kata-kata itu menghilangkan kebimbangan di hati Rasulullah SAW. Apabila Safiah melihat keadaan Saidina Hamzah, lalu beliau berkata, "Wahai Rasulullah SAW, Hamzah telah pun mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT. Aku telah melihat sendiri bagaimana mereka melakukan kepadanya. Demi Allah, aku juga akan menghadap angkatan musuh itu tanpa aku rasa takut kerana aku juga ingin meraih kemuliaan seperti mana yang telah diraih oleh saudaraku, Hamzah."

Apabila peperangan Uhud tamat, Safiah pergi menghampiri saudaranya, Hamzah lantas berkata, "Semua ini berlaku atas ketentuan Allah SWT. Aku reda dengan apa yang telah Allah tentukan buat saudaraku ini. Demi Allah, aku akan bersabar dan aku berserah kepada Allah supaya memberikan ganjaran yang besar atas kesabaranku ini. Moga Allah mengurniakan kemuliaan kepada saudaraku Hamzah."

Begitulah keadaan Saidatina Safiah, selain hebat di medan tempur beliau juga seorang ibu yang sangat tegas serta menggalakkan anaknya, Zubair untuk terus berjihad dan berjuang di jalan Allah SWT.

Penulis adalah Penyampai & Penerbit Rancangan IKIMfm

1114 dibaca
Berita Harian X