Khamis, 21 Disember 2017 | 11:01pm
AHLI Lembaga Pengelola Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Datuk Khalid Isa An-Nadwi (duduk tengah) bersama tenaga pengajar dan pelajar tahfiz di Sungai Merab. - Foto Khairull Azry Bidin
RUANG kuliah dan hafazan pelajar di Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Sungai Merab. - Foto Khairull Azry Bidin
NORMAN bersama anaknya Muhammad Danish Hakim Mohd Nurhakim.

Norman syukur anak sulung huffaz Al-Quran

KETIKA mula-mula menjejakkan kaki ke Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz (MUST) , Sungai Merab Kajang, anak sulung selebriti popular, Norman Hakim iaitu Muhammad Danish Hakim Mohd Nurhakim, 14 pernah menyatakan hasratnya menghafal al-Quran untuk membawa ahli keluarganya bersama-sama ke syurga kelak.

Sebagai bapa, Norman melihat kesungguhan Danish untuk bergelar huffaz amat besar dan walaupun pada mulanya mengalami kesukaran untuk memahami dan mempraktikkan program hafalan unik dinamakan sistem hafazan Ottoman.

Sistem ini digunakan di pusat pengajian tahfiz di Turki sejak ratusan tahun lalu dan diterima ramai kerana melahirkan huffaz dalam tempoh masa singkat.

"Mulanya Danish memang ada memberitahu saya kaedah Ottoman ini agak berbeza dengan madrasah tahfiz lamanya dulu.

"Dia ambil masa lebih sembilan bulan juga untuk mendapat rentak, dan kemudian hafazannya semakin laju sehingga dapat menghabiskan 30 juzuk dalam tempoh dua tahun tiga bulan saja,"katanya.

Selain Danish, Norman turut menghantar anak keduanya, Marissa Dania Hakim, 12, ke madrasah tahfiz dan sudah menghafal lebih enam juzuk al-Quran.

Dijangkakan pada Februari 2018, Danish dan sepuluh pelajar MUST yang lain akan berangkat ke Isparta, Turki bagi menduduki peperiksaan akhir bagi melayakkan mereka membawa pulang Diploma Tahfiz al-Quran oleh Kementerian Agama di sana.


MUHAMMAD Danish Hakim Mohd Nurhakim, - Foto Khairull Azry Bidin

NORMAN gembira Danish mahu menjadi huffaz.

Gigih ulang hafalan

Sementara itu, Danish berkata, kemasukannya ke MUST adalah atas dorongan ibunya yang tertarik kerana pengajian di sana lebih singkat berbanding madrasah tafiz yang lain.

"Masa mula-mula masuk ke MUST pada 2015, saya selalu tertekan kerana tidak mahir sistem Ottoman yang digunakan, tetapi lama-kelamaan ia rupanya mudah dan serasi dengan jiwa.

"Buat masa sekarang, saya lebih serius dalam hafalan tidak kira siang atau malam kerana masa sudah semakin singkat untuk berangkat ke Turki bersama 10 pelajar lain bagi menghadapi peperiksaan akhir," katanya.

Selain itu, kebanyakan guru di MUST juga sangat membantu dalam menjaga hafalan dengan mengadakan sekurang-kurangnya tiga kali sesi bacaan semula setiap hari.

Antara tips hafalan yang dikongsikan Danish termasuk menjaga pantang larang dalam makanan dengan hanya memilih juadah berkhasiat dan elak perasa tambahan (MSG).

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengelola MUST, Datuk Mohd Khalid Isa An Nadwi, berkata terdapat dua peringkat pembelajaran yang wajib diikuti pelajar iaitu 'yuzune' dan 'hafizlik'.


RUANG kuliah dan hafazan pelajar di Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Sungai Merab. - Foto Khairull Azry Bidin

"Setiap pelajar perlu melepasi peringkat Yuzune terlebih dulu dengan tempoh pembelajarannya selama sembilan bulan.

"Mereka akan belajar cara menyebut huruf yang betul dan perlu khatam al-Quran sebanyak 10 kali, selain diwajibkan mengamalkan hukum tajwid dalam bacaan," katanya.

Selepas itu, baharulah fasa hafazan bermula menggunakan sistem Ottoman, iaitu menggunakan konsep pusingan secara terbalik dengan menghafaz halaman akhir setiap juzuk terlebih dulu dan kemudiannya barulah menginjak ke halaman depan sehingga selesai keseluruhan hafazan.

Kolaborasi tahfiz terkemuka Turki

MUST turut bekerjasama dengan institusi tahfiz terkemuka di Isparta, Turki, iaitu Mekke Kur'an Kursus yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengajian hafazan sejak tiga dekad lalu.


BILIK tidur yang selesa di Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Sungai Merab. - Foto Khairull Azry Bidin

Pelajar yang tamat hafazan akan dihantar untuk menduduki peperiksaan akhir di sana bagi melayakkan mereka dianugerahkan Diploma Tahfiz A-Quran.

Ia tidak dijadikan prasyarat untuk setiap pelajar MUST, tetapi pilihan bagi setiap pelajar dan ibu bapa masing-masing.

"Peperiksaan akhir ini dikelolakan oleh Kementerian Agama Turki dan bentuk soalannya juga agak sukar, justeru itu kami mengambil inisiatif mengadakan kelas intensif beberapa bulan sebelum berangkat ke sana.

"Antara topik yang perlu diberi perhatian ialah hubungan di antara petikan ayat al-Quran dan ayat-ayat mutasyabihat," katanya.

Berita Harian X