Sabtu, 9 Disember 2017 | 6:35am
Didik hati untuk menghulurkan bantuan tanpa meminta balasan atau pujian supaya tergolong dalam kalangan orang beriman. - Foto hiasan

Kerendahan hati tanda kehebatan iman

Jika hendak tengok kualiti diri, lihatlah kualiti hati. Apabila hati penuh dengan sifat rendah hati seperti yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW, baru hidup seorang insan itu berkualiti dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW, selain memiliki sifat rendah hati, Baginda juga penuh kasih sayang, seorang yang benar dan memiliki integriti tinggi. Integriti Baginda tergambar pada sikapnya, apa yang lahir dari mulutnya itulah yang ada di hatinya, tidak suka berdolak-dalik.

Baginda junjungan seorang yang amanah dan fatonah, menyampaikan ajaran yang baik dengan toleransi, walaupun berhadapan orang tinggi hati dan ego.

Jika hendak tahu sama ada kita seorang yang rendah hati atau tidak, nilai diri adakah kita ini suka mengutuk dan memperlekehkan orang. Kedua, adakah kita suka melihat kebaikan orang atau keburukannya. Ketiga, adakah yang kita lakukan mengecilkan hati atau membahagiakan orang?

Didik hati jangan berasa hebat dalam profesion kita. Tentukan kita jangan mengecilkan hati orang, terutama dalam keadaan hendak cepat melaksanakan tugas. Ada kala ketika berinteraksi banyak terbuat silap yang menyebabkan orang tersinggung.

Fokus pada penerimaan

Jika kita berjaya melakukan sesuatu dan terserlah kehebatan itu, cepat pulangkan rasa kehebatan kepada Yang Maha Berkuasa, Allah SWT untuk menghilangkan rasa ego serta memadamkan rasa berjasa kepada orang.

Kita mesti didik hati, apabila menolong orang sebenarnya bukan kita yang tolong, tetapi Allah SWT yang tolong mereka melalui kita. Allah SWT yang mengizinkan kita ada rezeki, kudrat, masa dan kesihatan untuk menolong orang serta memberi rahmat kepada makhluk Allah SWT yang lain.

Cukuplah kita berasakan segala yang berlaku di bumi Allah SWT ini adalah dengan kekuasaan-Nya, bukan kerana kehebatan kita. Ingatlah, jangan sesekali berasa hebat bagi mendidik diri sentiasa berasa rendah hati.

Jika melakukan sesuatu jangan fokus kepada apa yang berlaku, tetapi fokus penerimaan orang terhadap sesuatu yang berlaku. Demikian juga amalan kepada Allah SWT, biasanya kita sangat fokus terhadap amalan, tetapi tidak fokus kepada penerimaan oleh-Nya.

Didiklah hati supaya lembut dan khusyuk melakukan sesuatu kebaikan hanya dengan niat mendapat reda Allah SWT dan Dia menerima amalan kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Belumlah datang masanya bagi orang yang beriman bahawa akan khusyuk hati mereka mengingati Allah dan apa yang Dia turunkan daripada kebenaran. Dan janganlah ada mereka seperti orang yang kedatangan kitab sebelumnya. Maka panjanglah masa yang mereka lalui, maka menjadi kasarlah hati mereka, dan banyaklah antara mereka yang fasik." (Surah al-Hadid, ayat 16)

Tidak suka pujian

Hati yang penuh dengan reda kepada Allah SWT, Dia akan penuhi hati itu dengan perkara yang mendekatkan kepada-Nya. Hati yang mencari penghargaan manusia, Allah SWT akan penuhinya dengan keresahan dan kesibukan tidak menentu hingga tidak ada masa untuk beribadat kepada-Nya.

Lumrahnya, jika kita bukan seorang yang rendah hati, kita akan menjadi riak dan suka menyebut kebaikan serta amalan yang telah dilakukan. Sesungguhnya, syaitan sangat suka menyesatkan dan tidak suka kita menjadi baik, sebaliknya tertipu dengan amalan kita.

Orang yang rendah hati memandang orang lain lebih baik daripadanya, hingga tidak terserlah kewujudannya sebab tidak disebut kehebatan dan kebaikannya. Orang yang rendah hati lebih suka menerima teguran berbanding menerima pujian.

Setiap kali mendapat teguran, perasaan marah itu adalah tanda kesombongan. Didik hati suka menerima teguran dan tidak suka akan pujian. Jika melakukan sesuatu dan kita berasa sakit hati kerana orang tidak menyebut nama kita, itu tanda kita bukan orang yang rendah hati.

Demikian juga jika kita membantu dan orang itu tidak menghargai atau berterima kasih menyebabkan timbul rasa kecil hati atau mengungkit jasa, itu juga tanda kita bukan orang yang rendah hati.

Gembira lihat orang bahagia

Jadilah orang yang tidak suka dipuji dan tidak takut dikeji serta sangat suka menerima teguran. Ingatlah, pada saat kita tidak boleh menerima teguran, bermakna pada detik itu bermulalah kejatuhan kita di mata Allah SWT dan di mata manusia kerana telah menjadi sombong.

Orang yang rendah hati suka memberi, berkongsi rezeki dengan orang sekelilingnya. Semakin kaya semakin beriman, kerana kekayaan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan banyak bersedekah.

Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin al-Syukhair, beliau berkata, "Aku telah bertemu Rasulullah SAW ketika Baginda sedang membaca ayat daripada surah al-Takathur ini, lalu Baginda bersabda: Wangku, wangku. Sedangkan wang dan harta benda kamu itu adalah yang kamu makan dan habiskan atau yang kamu gunakan, lalu ia menjadi lusuh. Yang kamu sedekahkan itulah yang kekal"

Ingatlah, bahaya paling besar bukan kejahatan orang lain lakukan kepada kita, tetapi kejahatan yang pernah kita lakukan. Tidak ada perkara baik atau buruk yang dilakukan, melainkan akan kembali kepada kita atau anak cucu pada suatu masa kelak.

Orang yang rendah hati akan bahagia melihat orang lain bahagia dan sentiasa mahu menjadikan orang bersamanya bahagia. Suka melihat orang lain mendapat kebaikan, tidak ada rasa iri hati dan hasad dengki.

Seorang yang hebat umpama 'minyak setitik di laut sekalipun, timbul juga'. Maksudnya, orang yang hebat di mana sekalipun berada orang nampak kehebatan dan kehadirannya. Gunakan mata akal dan mata hati dianugerahkan Allah SWT untuk menjadi orang hebat di dunia dan akhirat.

Penulis adalah Pakar Motivasi dan Pakar Bedah Mata

838 dibaca
Berita Harian X