Ahad, 8 Oktober 2017 | 6:16am
Dari kiri: Sharifah Hayaati; Ruziati; Pengacara TV Alhijrah, Finas Yunus; Noraini dan Che Zarina. - Foto ihsan TV AlHijrah

Tentukan keutamaan seimbang kerjaya, keluarga

Benarkah pandangan wanita berkerjaya susah menyeimbangkan antara tuntutan tugas di tempat kerja dan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu di rumah. Mungkin benar, tetapi ada saja wanita berjaya melaksanakan kedua-dua tugas itu dengan baik.

Jika dilihat fitrah wanita, mereka lebih mementingkan keluarga walaupun bekerja, tetapi tidak semua sama kerana masing-masing mempunyai kekuatan sendiri.

Bekas pensyarah psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Noraini Mohd Noor, berkata dilema memilih antara keluarga dan kerjaya timbul apabila wanita rasa bersalah untuk meninggalkan anak kecil di rumah.

Justeru katanya, mereka perlu bertanyakan diri sendiri apa yang diinginkan, sama ada perlu bekerja atau sebaliknya dan setiap keputusan diambil hendaklah berbincang dengan suami.

"Apabila kita tahu apa ingin dicapai dalam hidup, mudah untuk menyeimbangkannya kerana semua terserah pada diri masing-masing," katanya pada Konvensyen Wanita Mendepani Cabaran Abad Ke-21: Keseimbangan dalam Kepemimpinan, Kerjaya dan Keluarga anjuran Panel Isu-isu Semasa Wanita Islam (PISWI).

Konvensyen itu menampilkan ahli panel, Pensyarah Jabatan Siasah Syariah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail; Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Ruziati Mior Ahamad Arifin dan Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam UM, Prof Madya Dr Che Zarina Saari.

Bijak letak keutamaan

Sementara itu, Dr Ruziati berkata, wanita boleh berjaya dalam kerjaya jika mereka bijak meletakkan keutamaan serta fokus terhadap tugas dilaksanakan baik di pejabat atau di rumah dengan cara mengatur gerak kerja.

Beliau berkata, meletakkan perkara yang utama sebagai keutamaan akan membantu mengelak tekanan apabila jadual disusun mengikut aturan dapat diselesaikan secara berkesan.

Katanya, sifat wanita ingin melakukan tugas dengan bagus dan mencari kesempurnaan, tetapi hakikat perlu disedari ialah kita tidak boleh mengawal semua keadaan terutama mendapatkan apa yang sudah ditetapkan dalam fikiran.

"Jangan sebabkan sifat hendak kesempurnaan jadi penghalang untuk maju. Perlu ada timbang rasa, jadi kena saling membantu. Akhirnya, kita juga yang senang hati apabila kerja dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Beliau turut menyangkal pandangan semakin tinggi jawatan dipegang seseorang wanita, makin kurang masa bersama keluarga di rumah memandangkan mereka sudah berada dalam ruang selesa yang memberikan peluang untuk melakukan pelarasan kerja.

Pelihara maqasid syariah

Menurut Sharifah Hayaati, Islam menentukan cara hidup untuk kesejahteraan dunia dan akhirat dengan menggariskan lima perkara yang perlu dijaga dalam maqasid syariah, iaitu nyawa, agama, akal, harta dan keturunan.

Katanya, bagi wanita bekerja bermatlamat memenuhi maqasid syariah hendaklah fokus kepada perkara yang perlu diutamakan.

Caranya, beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada rasul, jika kamu berpaling, sesungguhnya kewajipan rasul (Muhammad) itu hanyalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajipan kamu hanyalah apa yang dibebankan kepada kamu." (Al-Nur, ayat 54)

"Perkara utama ialah hak Allah. Apabila kita taat, kita akan dapat hidayah. Gabungkan pula dengan hak manusia. Sebaik-baik kita tidak tinggalkan akhirat demi dunia atau tinggalkan dunia kerana akhirat," katanya.

Sementara itu, Prof Zarina menjelaskan, cara menangani tekanan di tempat kerja ialah dengan bijak menguruskan masa, mengamalkan memberi salam, berkomunikasi dengan baik dan menjalinkan silaturahim.

Buat pilihan tepat

Beliau berkata, tekanan yang tidak diuruskan dengan baik akan membawa kepada konflik yang menjadi masalah dalam kehidupan dan untuk bangkit daripada sesuatu kesukaran ialah melalui sikap optimis.

"Allah sudah beritahu, ada jalan keluar daripada masalah iaitu kembali optimis dengan-Nya dan kehidupan. Sentiasa muhasabah diri, tetapkan minda kepada apa yang kita hendak dan bertaubat.

"Kebangkitan diri adalah melalui sifat zuhud, reda, tawaduk dan pupuk cinta kepada Allah. Apabila berdepan kesukaran, kembali kepada Allah dan letakkan pergantungan kepada-Nya," katanya.

Antara persoalan yang dikemukakan peserta konvensyen ialah untuk memilih antara kerja atau anak, masalah suami sukar dibawa berbincang dan perlukah berhenti kerja atas permintaan suami.

Kesimpulan jawapan ahli panel, wanita perlu membuat pilihan sendiri melihat kepada matlamat ingin dicapai dan keutamaan yang digariskan dalam kehidupan mereka.

Bincang dengan pasangan

Pilihan akan menjadi lebih mudah jika ada fleksibiliti di tempat kerja seperti majikan melaksanakan polisi kerja dan kehidupan yang seimbang (work life balance policy) yang membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada kerja tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Namun, melihat kepada realiti di negara ini, majikan tidak bersedia untuk mengamalkan polisi itu.

Dari sudut berbincang mengenai tugas pejabat dan tanggungjawab di rumah, suami isteri perlu mencari jalan untuk memastikan keharmonian rumah tangga.

Mungkin tugas itu lebih banyak dipikul wanita bekerja sehingga mereka perlu berusaha mencari kerana penting untuk pasangan cuba memahami antara satu sama lain.

Andai diminta untuk berhenti kerja, Sharifah Hayaati yang diajukan soalan itu berkata, wanita perlu tahu ilmu keutamaan yang membantu mereka mengimbangkan antara dua kepentingan, iaitu melakukan kerja yang diminati dan pada masa sama, memenuhi peranan dalam rumah tangga.

255 dibaca
Berita Harian X