Jumaat, 29 September 2017 | 6:29am
- Gambar hiasan

Jangan tunggu sampai 'dihijrahkan'

Hidup ini memerlukan penghijrahan dan perubahan ke arah kehidupan lebih baik. Bagi memulakan hijrah, kuatkan keyakinan diri kepada agama Allah SWT terlebih dahulu. Keyakinan diri yang kuat terhadap Allah SWT akan membawa manusia kepada husnul khatimah. Ikuti perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm.

Mukmin seharusnya meraikan saat tibanya tahun baharu dengan bermuhasabah untuk menilai kembali tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT, selain memahami kehidupan sentiasa bergerak menuju saat kembali menghadap-Nya. Panjangnya umur manusia di dunia ini sama sekali tidak memberi pengertian kehidupan mereka semakin kekal, sebaliknya semakin hampir kepada pengakhiran. Apabila Allah SWT menciptakan langit dan bumi, tempoh 12 bulan dalam setahun juga diciptakan supaya manusia mengetahui semakin lama mereka hidup, kian hampir tibanya waktu untuk 'dihijrahkan' oleh Allah SWT.

Ketibaan tahun baharu yang bermula dengan Muharam, dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang akan menjadikan Mukmin dekat dengan Baginda. Walaupun jarak waktu yang sangat jauh, iaitu hampir 1400 tahun, setiap kali tibanya tahun baharu Hijrah ia akan sentiasa mengingatkan manusia kepada Baginda. Peristiwa hijrah sebenarnya berlaku pada Rabiulawal tetapi menurut ulama, ia dijadikan titik permulaan dalam kehidupan umat Islam.

Sebagaimana perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm, hidup ini memerlukan penghijrahan dan perubahan ke arah kehidupan lebih baik, sekali gus mengelakkan kehidupan statik. Rasulullah mengingatkan tidak akan ada lagi penghijrahan selepas pembukaan Kota Makkah, namun yang tinggal ialah kesungguhan dan jihad serta perasaan untuk mengubah diri. Pilih untuk berhijrah ke syurga yang sepatutnya menjadi keutamaan setiap insan dan menjadikan diri semakin dekat dengan Allah SWT. Mulakan hijrah ke atas diri sendiri untuk melakukan amalan yang akan membawa kita ke syurga.

Kuatkan keyakinan diri

Bagi memulakan hijrah, kuatkan keyakinan diri kepada agama Allah SWT terlebih dahulu. Apa yang dapat dilihat kini, manusia lebur terhadap keyakinan mereka kepada Allah SWT dalam menjalani kehidupan. Keyakinan diri yang kuat terhadap Allah SWT akan membawa manusia kepada husnul khatimah atau pengakhiran hidup baik kerana mereka tidak akan berani melanggar perintah Allah SWT dan melakukan maksiat. Seterusnya berhijrahlah ke arah melaksanakan ibadah dengan lebih baik dan mantap, terutama solat dan ibadah khusus lain.

Selain itu, perbaikilah akhlak agar menjadi Mukmin sejati. Mutakhir ini, kehancuran berlaku dalam konteks akhlak manusia melalui anasir luar seperti dadah dan arak. Ia akan melahirkan generasi tidak lagi menghormati ibu bapa, menghina alim ulama tanpa rasa segan silu, tidak berbudi bahasa dan berakhlak sesama manusia. Kehidupan di dunia semakin suntuk dan sepatutnya berhijrahlah dengan melakukan muhasabah diri kerana tidak ada manusia sempurna. Dengan adanya kesedaran terhadap kekurangan diri dan perlunya memperbaiki kecacatan itu, maka ambillah kesempatan yang diberikan Allah SWT untuk menempuhi tahun baharu dengan keazaman melakukan perkara baik.

Berhijrahlah untuk membentuk keluarga yang lebih baik dan luar biasa kerana dapat memberi kebaikan kepada keluarga orang lain, iaitu memiliki suami dan isteri soleh, anak dibesarkan dalam suasana al-Quran dan saling ingat-mengingati serta bantu-membantu antara satu sama lain untuk menuju syurga Allah SWT. Malah sentiasa memberi peringatan matlamat sebenar dalam institusi kekeluargaan, kerana keluarga bukan hanya untuk memberi keseronokan semata-mata, sebaliknya setiap kali keluarga dibina, mereka sedang membina generasi untuk menjadi penghuni syurga dan akan menjauhkan unsur maksiat dalam keluarga.

Dalam masyarakat juga perlunya penghijrahan untuk menjadi masyarakat yang dikurniakan keampunan oleh Allah SWT dan mampu mewujudkan kehidupan bersatu untuk melakukan kebaikan, serta bantu-membantu membina negara sejahtera. Manusia akan kembali kepada agama Allah SWT dan sentiasa bersaing untuk melakukan amalan terbaik, berasa damai dan indah dengan mengamalkan cara hidup Islam dalam pelbagai sudut kehidupan seperti ekonomi, pentadbiran dan pendidikan. Apabila manusia kembali beriman dan bertakwa kepada Allah SWT, mereka akan dikurniakan keberkatan dari langit dan bumi. Namun apabila perintah Allah SWT dimungkiri, segala nikmat akan direntap daripada kehidupan.

Elak kejar dunia

Penghijrahan diri, keluarga, masyarakat dan negara, sepatutnya ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Elakkan penghijrahan hanya untuk mengejar kemewahan harta benda, pangkat dan keturunan kerana hakikatnya tindakan itu jauh daripada keredaan Allah SWT. Hanya dengan reda Allah SWT, akan turunnya rahmat dan bumi yang penuh dengan kebaikan, serta keampunan daripada-Nya yang mencurah-curah. Sekiranya manusia gagal dan enggan berhijrah menuju Allah SWT, mereka akan menghadapi kesulitan apabila 'dihijrahkan' oleh Allah SWT. Akhirnya mereka akan tergamam pada saat 'dihijrahkan' Allah SWT, iaitu apabila digerakkan dari satu alam ke alam lain dan sesungguhnya kematian itu pasti untuk setiap manusia yang hidup.

Penulis adalah Penerbit Kanan Rancangan IKIM fm

704 dibaca
Berita Harian X