Khamis, 28 September 2017 | 6:06am
Hijrah ke arah kebaikan dan meningkatkan ketakwaan kepada Ilahi lambang Mukmin berjaya. - Gambar hiasan

Hijrah bawa kejayaan dalam hidup

Mukmin berjaya melakukan penghijrahan dalam diri untuk mendapat kehidupan lebih baik. Hijrah bukan sahaja dari sudut material, malah menyeluruh meliputi fizikal dan rohani. Ikuti penerangan lanjut bersama Ustaz Pahrol Muhamad Juoi dalam segmen Islam Itu Indah di IKIMfm.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata, orang Mukmin yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan diri untuk mendapat kehidupan yang lebih baik.

Sebab itu disebutkan, jika kita mahu berjaya hendaklah mengambil dan meniru sifat serta sikap orang yang berjaya. Setiap tindakan dan perbuatan orang berjaya boleh dijadikan teladan untuk kita sama-sama mencipta kecemerlangan.

Orang berjaya seperti yang dijelaskan dalam surah al-Fatihah iaitu orang yang mendapat nikmat Allah SWT. Mereka itu terdiri daripada empat golongan iaitu nabi, orang benar (siddiq), yang syahid dan soleh.

Fahami erti hijrah

Tradisi atau sifat umum yang ada pada empat golongan ini adalah mereka pernah melalui penghijrahan. Oleh itu, jika kita mahu menuruti mereka, mendapat kenikmatan dan kebaikan dalam hidup ini, tidak dapat tidak kita juga perlu melakukan penghijrahan.

Apabila kita mengambil pendekatan atau tindakan untuk berhijrah, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memahami erti hijrah dan menterjemahkan makna hijrah dalam kehidupan supaya ia memberi makna yang padu, tepat dan benar.

Hijrah tidak boleh dipandang dari sudut material semata-mata seperti daripada hidup sederhana kepada hidup lebih kaya, atau dari susah menjadi senang. Sebaliknya, hijrah perlu berlaku secara menyeluruh meliputi fizikal dan rohani.

Apabila berjaya melakukan penghijrahan dalam kehidupan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, baru nampak proses perubahan telah berlaku dan keadaan bakal mencapai kesempurnaannya.

Kehidupan yang berpandukan sunatullah dan syariatullah akan melengkapkan kefahaman terhadap nilai hijrah sebenar menurut ajaran agama Islam. Akhirnya, akan menjadikan kita Mukmin yang bertakwa dan sentiasa berjuang di jalan Allah SWT.

Peristiwa hijrah Rasulullah

Hijrah juga mengingatkan kita kepada peristiwa dilalui Nabi Muhammad SAW yang berdepan ancaman daripada kaumnya. Sarang labah-labah yang menjadi simbol kepada peristiwa hijrah juga menyimpan hakikat yang tersirat.

Peristiwa hijrah juga melihatkan kita kepada mukjizat luar biasa yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW sebagai janji Allah SWT terhadap Baginda yang berjuang di jalan-Nya. Setiap perjuangan pastinya mendapat pertolongan Allah SWT termasuk perkara di luar logik pemikiran manusia.

Sesungguhnya, Allah SWT akan meletakkan hamba-Nya yang berjuang di jalan-Nya di tempat sewajarnya. Apa yang pasti, peristiwa hijrah berlaku bukan hanya untuk kita yakini, tetapi dijadikan iktibar dalam menjalani kehidupan seharian.

Allah SWT akan sentiasa membantu hamba-Nya yang berniat untuk melakukan perubahan baik pada diri dan kehidupannya. Yakinlah, andai kita bersungguh-sungguh untuk berubah, pasti kita mendapat hasil yang baik nanti.

Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

455 dibaca
Berita Harian X