Khamis, 24 Ogos 2017 | 6:26am
Menjaga kesucian rezeki penting dalam membina kerohanian dan kesucian hati. - Foto hiasan

Hati terhijab halang dapat kebaikan

Hati adalah anggota yang akan menentukan keperibadian seseorang. Oleh itu, penting untuk menjaga hati supaya tidak dipengaruhi elemen yang akan merosakkannya sehingga hati menjadi keras dan menyebabkan ia terhijab daripada perkara membawa kebaikan diri. Banyak amalan untuk melembutkan hati. Ikuti penerangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi mengenai perkara yang boleh membuka hijab hati.

Anugerah paling bernilai bagi manusia adalah hati kerana hati tempat jatuh pandangan Allah SWT, manakala jasad tempat jatuhnya pandangan manusia. Jika kita mengutamakan pandangan Allah SWT, kita mampu menjaga hati mengikut apa yang Allah SWT mahukan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, memetik hadis Rasulullah SAW, "Allah tidak melihat rupa paras seseorang manusia, tetapi Allah melihat sejauh mana kesucian hati yang dimiliki."

Sesungguhnya jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan akan menjadi baik, tetapi jika hati kotor dan busuk maka seluruh anggota badan serta perbuatan menjadi jahat.

Prinsip ini selalu ditekankan oleh orang tua-tua dalam mendidik anak, tetapi adakalanya kejahatan dan kebaikan sukar untuk dibezakan, pendidikan hati tidak berbekas dalam diri.

Seperti pantun orang dahulu, puas sudah menanam ubi, nanas datang dari seberang, puas sudah menanam budi, emas juga dipandang orang. Ini boleh dirujuk kepada segumpal hati yang menjadi wadah atau tempat datangnya segala kebaikan, kasih sayang, belas ehsan dan kecintaan.

Dari hati juga datangnya benci, kecewa dendam dan cemburu. Jika hati itu ditatang dengan kebaikan nescaya walau apapun kejahatan mendatang, hati yang jernih dapat menangkis segala kebencian dan kekurangan.

Apabila hati terhijab, kita akan berasa resah, gelisah, hidup penuh kekosongan. Hati yang terhijab akan terkesan kepada tiga alam iaitu alam dunia, kubur atau barzakh dan akhirat. Justeru, hijab hati penting diberi perhatian supaya kita tidak terhalang daripada terus melakukan amalan baik untuk mendapat kebaikan di dunia ini seterusnya di akhirat juga.

Jaga kesucian rezeki

Penghalang atau hijab hati boleh datang daripada banyak faktor antaranya, pemakanan, pandangan, pendengaran, panjang angan-angan dan maksiat atau dosa yang dilakukan. Makanan yang haram boleh menjadi hijab kepada hati untuk kita mendapat rahmat Allah SWT.

Saidina Abu Bakar as-Sidik menjolok kerongkongnya untuk mengeluarkan susu yang tidak jelas sumbernya. Makanan daripada sumber wang haram seperti riba, mencuri masa di tempat kerja, gaji yang ada syubhah atau rasuah boleh menghitamkan hati.

Oleh itu, kita perlu menjaga kesucian rezeki yang masuk dalam mulut kerana ia akan menjadi roh yang akan membina kerohanian dan kesucian hati. Begitu juga jika mahukan kemanisan dalam ibadah, jaga pandangan mata dan hati, kerana pandangan liar membuat hati menjadi liar.

Dalam dunia teknologi yang segala-galanya mudah diakses, ada sahaja yang menjejaskan pandangan mata. Oleh itu, perlu ada banteng hati untuk melawan keinginan mata yang akan memberi kesan pada rohani.

Bagaimana kita perlu menjaga perut dan pandangan mata, begitu jugalah kita perlu menjaga pendengaran supaya tidak terjebak dalam budaya hedonisme yang boleh membuat hati menjadi keras.

Mencegah diri daripada perbuatan membawa kepada kejahatan dengan memperbanyakkan amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sentiasa amalkan sikap amal makruf nahi mungkar untuk mendorong diri melakukan perbuatan yang dipandu oleh ajaran al-Quran dan al-hadis.

Antara amalan yang disarankan adalah menziarahi orang soleh, orang sakit dan kubur yang akan mengingatkan kematian serta dapat melembutkan hati. Mengingati mereka yang telah meninggal dunia akan melembutkan hati untuk bermuhasabah diri.

Terlalu cinta dunia

Pilih suasana persekitaran dan sahabat yang mengajak membuat kebaikan. Persekitaran penting kerana ia boleh mendorong untuk bertindak, berfikir dan berbuat perkara yang hanya mendatangkan manfaat sahaja. Suasana yang baik boleh membudayakan fikiran yang baik.

Begitu juga sahabat atau teman yang berkelakuan, berkata dan berfikiran buruk hanya akan mendorong kita bertindak dengan perbuatan negatif menyebabkan kita tidak mampu membina akhlak baik dalam diri.

Tidak dapat beza baik, buruk

Panjang angan-angan boleh membuatkan hati terhijab. Seperti kata muqarabin bernama Safian as-Sauri, "Jika ditanyakan kepada ahli kubur mengenai mereka, jawab ahli kubur: Kami ini mati pada hari yang kami rasa esok masih ada."

Apabila panjang angan-angan dengan dunia, kita menjadi pencinta dunia hingga tidak mampu membuat perbandingan antara dunia dan akhirat. Segala kebaikan dan kejahatan tidak dapat dibeza kerana hati hanya berpusat kepada keseronokan dunia tanpa melihat kepentingan akhirat.

Tidak ada apa yang paling tinggi darjatnya di dunia ini melainkan memiliki hati yang bersih suci dan murni. Oleh itu, sentiasalah bermuhasabah diri, membersihkan hati supaya apabila bertemu Allah SWT kita dapat persembahkan seketul hati yang benar-benar mendapat keredaan-Nya.

Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

836 dibaca
Berita Harian X