Rabu, 23 Ogos 2017 | 6:17am
- Gambar hiasan

Warisan ilmu Imam Abu Hanifah

Imam Abu Hanifah miliki keperibadian mulia dan personaliti yang menawan. Beliau seorang yang warak dan memiliki kekuatan dalam berhujah. Malah beliau juga seorang dermawan yang melunaskan hutang Ibrahim bin Uyainah. Ikuti kisah imam yang agung dan mulia ini bersama Ustaz Muhadir Joll dalam segmen Ibrah di IKIMFM.

Pernah disebutkan oleh anak muridnya yang terkemuka, Imam Al-Qadhi Abu Yusuf, "Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sederhana dan tidak tinggi, tidak rendah, termasuk orang paling kacak wajahnya, paling fasih perbicaraannya, paling merdu suaranya dan paling terbuka terhadap apa yang ada dalam dirinya."

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) IKIMfm, Ustaz Muhadir Joll menyambung kisah Imam Abu Hanifah yang bukan sekadar memiliki ilmu tinggi, bahkan personalitinya sangat baik, menarik serta budi pekerti mulia.

Anak Imam Abu Hanifah, Hammad menyebut: "Ayahku seorang yang kacak, kulit hitam manis, perwatakan menarik, selalu berwangi-wangian, digeruni dan berwibawa. Beliau tidak bercakap melainkan menjawab pertanyaan atau persoalan dan beliau tidak membuang masa membicarakan perkara yang tidak perlu."

Imam Abu Hanifah sangat menjaga keterampilan. Ada satu riwayat menyebutkan, pakaiannya ada sehingga 30 dinar. Imam Abu Yusuf menceritakan, Imam Abu Hanifah sangat menjaga kebersihan pakaiannya.

Menurut Syaikh Ahmad al-'Ajuli, Imam Abu Hanifah seorang penjual kain bulu bertenun sutera. Beliau bekerja sendiri dan tidak mengharapkan simpati orang lain. Kewarakan Imam Abu Hanifah menjadikan beliau individu Muslim yang tidak menuntut jawatan.

Beliau pernah diminta oleh khalifah untuk menjadi hakim, tetapi menolak kerana berasakan dirinya tidak layak.

Khalifah berkata, "Kamu berbohong. Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menghukumkan ke atas saya yang saya tidak layak. Maka, sekiranya saya berbohong, maka jelaslah saya tidak layak untuk menjadi hakim. Sekiranya saya seorang yang benar, maka saya telah katakan kepada kamu bahawa saya tidak layak."

Tawaduk, dipercayai

Imam Az-Zahabi berkata, ramai yang meriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah telah banyak kali dipukul sebagai paksaan untuk beliau menerima jawatan hakim, tetapi tetap tidak menerimanya.

Imam Abu Hanifah seorang yang sangat tawaduk kerana memiliki guru jauh lebih muda daripada beliau, iaitu Imam Malik. Pernah pada satu ketika, Imam Abu Hanifah berjumpa Imam Malik yang sedang duduk bersama beberapa sahabatnya.

Setelah Imam Abu Hanifah keluar, Imam Malik bertanya kepada sahabatnya: "Tahukah kamu siapa dia? Mereka mengatakan tidak. Lalu kata Imam Malik: Dialah Nu'man bin Thabit. Sekiranya dia berkata bahawa tiang masjid itu emas, nescaya perkataannya akan digunakan oleh orang ramai sebagai hujah."

Imam Malik mengatakan: "Sekiranya dia mengatakan tanah di tanganmu itu emas, pasti engkau akan mempercayainya." Ini membuktikan beliau seorang yang boleh dipercayai kerana memiliki kekuatan dalam berhujah, cepat daya fikiran dan cerdas serta tajam pemikirannya.

Pernah suatu ketika, seorang perempuan datang bertanya soalan peribadi kepada Imam Abu Hanifah. Setibanya di rumah beliau, perempuan itu tidak masuk ke rumah, tetapi hanya mewakilkan seorang lelaki sambil membawa dua biji epal, satu merah dan satu kuning.

Imam Abu Hanifah kemudian bertanya: "Siapa yang menghantarmu untuk membawa dua biji epal ini? Lelaki itu menjawab: Perempuan itu (sambil menunjukkan jarinya ke arah seorang perempuan di depan pintu). Dia sedang menunggu jawapan."

Imam Abu Hanifah lalu membelah sebiji epal dan menyuruhnya memberikan kembali epal itu kepada perempuan tadi. Perempuan berkenaan faham dengan isyarat diberikan oleh Imam Abu Hanifah mengenai epal itu dan itulah jawapan pertanyaannya.

Ilmu subur hingga kini

Sebenarnya perempuan itu bertanyakan penjelasan mengenai darah haid, tetapi kerana segan beliau mewakilkan dua lelaki dan memberikan epal berkenaan. Persoalannya apakah perempuan dikira suci jika darah merah bertukar kepada warna kuning seperti epal merah dan epal kuning.

Belahan Imam Abu Hanifah itu seolah-olah menjawab persoalan, dia akan dikira suci jika darah sudah menjadi bersih putih seperti putih isi epal yang dibelah tadi.

Imam Abu Hanifah seorang yang berharta, namun beliau tidak kedekut, malah sangat dermawan. Ibrahim bin Uyainah pernah dipenjarakan kerana berhutang sebanyak 4,000 dirham. Semua hutang itu telah dilunaskan oleh Imam Abu Hanifah.

Ketika dalam majlis ilmunya, Imam Abu Hanifah terlihat seorang yang hadir dengan pakaian agak lusuh dan tidak terurus. Beliau kemudian menyuruhnya duduk dan berpesan supaya orang itu jangan pulang dahulu.

Apabila semua orang sudah pulang, beliau berkata kepada orang itu: "Angkatkan apa yang ada di bawah tikar tempat dudukmu dan ambillah. Ketika orang itu menyelak tempat duduknya, dia mendapati seribu dirham di situ. Orang itu lalu berkata: Aku adalah seorang kaya dan aku tidak perlu kepada pemberian ini. Imam Abu Hanifah menjawab: Apakah kamu tidak pernah mendengar hadis Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah SWT suka melihat kesan, nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya."

Begitulah kisah hebat Imam Abu Hanifah yang ilmunya sentiasa mengalir sehingga kini dan diamalkan oleh umat Islam seluruh dunia. Semoga Allah SWT meredai imam yang sangat agung dan mulia ini.

Penulis adalah Penyampai & Penerbit Rancangan IKIMfm

601 dibaca
Berita Harian X