Khamis, 19 March 2015 | 12:05am

Soal Jawab Agama


SHAH ALAM 09 March 2015. Sebahagian Pelajar Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa membaca doa selepas menunaikan solat berjemaah di Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa, Seksyen 13, Shah Alam. STR/Faiz Anuar (FOR ALBUM SEKOLAH METRO AHAD)

Soalan: Adakah benar apabila kita menjaga solat, kita akan dipelihara Allah SWT daripada melakukan maksiat.

JawapanTiada manusia yang maksum kecuali nabi dan rasul sahaja yang tidak akan melakukan dosa. Manakala manusia seperti kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun, terdapat kelebihan bagi yang memelihara solat iaitu mereka terhindar daripada terus menerus melakukan dosa.

Kebiasaannya, orang yang menjaga solat jika berbuat dosa mereka akan bersegera bertaubat dan bersegera kembali ke jalan yang diredai-Nya.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya solat itu akan melarang diri mereka yang mendirikannya daripada segala keburukan dan kemungkaran." (Surah al-Ankabut, ayat 29)

Ayat itu jelas menunjukkan solat mampu memelihara seseorang mukmin daripada terjebak dengan maksiat. Namun, perkara itu tidak akan terhasil tanpa usaha dan azam yang kuat. Umat Islam seharusnya mempunyai azam yang jitu bagi mengelak diri daripada melakukan maksiat.

Cubalah sedaya upaya mencari jalan untuk tidak melakukan kemungkaran. Jika terlepas juga atau tersalah melakukan dosa, maka bersegeralah bertaubat kepada Allah SWT tanpa menangguhkannya.

Soalan: Saya seorang yang sangat menjaga amalan solat sunat Dhuha. Namun, akibat kekangan waktu kerja yang padat menyebabkan saya sukar menunaikan solat itu. Adakah boleh saya mencuri sedikit masa untuk menunaikan solat Dhuha ketika kerja.

JawapanTahniah kerana anda seorang yang sangat menjaga amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, kita perlu faham bahawa Islam menitikberatkan perkara wajib terlebih dahulu berbanding perkara sunat.

Menjalankan tugas di tempat kerja adalah suatu yang dituntut dan wajib ditunaikan dalam apa juga keadaan sekalipun selagi ia tidak bercanggah dengan Islam. Manakala solat sunat pula adalah amalan digalakkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Oleh itu, bagi umat Islam yang memelihara amalan sunat perlu bijak membahagikan masa untuk menunaikannya supaya tidak mengganggu waktu bekerja. Bagi menyelesaikan masalah saudara ini, ada dua saranan, pertama, mengganti kembali waktu yang telah diperuntukkan untuk tujuan solat sunat Dhuha.

Contohnya, mengganti kembali waktu yang telah diambil untuk tujuan itu di akhir waktu pejabat. Jika waktu yang diperuntukkan untuk solat sunat Dhuha selama lima minit, maka anda wajib melewatkan lima minit waktu untuk pulang. Jika hal ini dapat dilakukan dengan betul, maka hukum berbuat demikian di waktu pejabat diharuskan dan tidak berdosa.

Kedua, pastikan peruntukan masa untuk tujuan menunaikan solat sunat Dhuha di pejabat dengan kadar yang sangat minimum. Cukup sekadar dua rakaat tanpa berlebih-lebih hingga menjejaskan tugasan hakiki. Jika waktu diperuntukkan terlalu panjang hingga menjejaskan tugas hakiki, maka hukum berbuat demikian adalah haram dan berdosa apatah lagi jika ia tidak diganti di akhir waktu pejabat.

Semua hukum yang dibincangkan adalah untuk peruntukan masa solat sunat. Manakala peruntukan masa solat fardu tidak ada kompromi. Umat Islam wajib menunaikannya dalam apa juga keadaan sekalipun. Ini kerana tidak ada perkara wajib yang lebih besar berbanding kewajipan menunaikan solat lima waktu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya solat (lima waktu) adalah kewajipan yang telah ditentukan oleh Allah ke atas orang mukmin." (Surah al-Nisa', ayat 103)

Soalan: Saya ada dengar bahawa golongan lelaki yang memakai seluar labuh melebihi buku lali adalah berdosa dan akan masuk ke dalam neraka. Apakah benar kenyataan ini kerana seluar pejabat saya semuanya labuh hingga ke bawah buku lali.

JawapanBuat pengetahuan semua, memang terdapat hadis menjelaskan perkara itu berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Imran, Nabi SAW bersabda: " Sesiapa dalam kalangan kamu yang melabuhkan pakaian (melebihi buku lali) untuk berbangga diri, maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada hari kiamat kelak. Lantas Abu Bakar bertanya kepada Nabi SAW: Ya Rasulullah, bagaimana pula dengan pakaian aku ini (yang juga agak labuh)? Jawab Nabi SAW: Sesungguhnya kamu bukan dalam kalangan mereka yang menyombong diri." (Riwayat al-Bukhari)

Daripada hadis serta perbincangan antara Nabi dengan Abu Bakar, dapatlah diketahui bahawa larangan melabuhkan pakaian hingga ke bawah buku lali adalah untuk golongan yang mempunyai perasaan sombong dan riak terhadap golongan fakir miskin.

Ia bukan sahaja ditujukan kepada mereka yang melabuhkan pakaian tetapi turut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai perasaan sedemikian termasuklah bagi mereka yang menaiki kenderaan mewah dengan tujuan menunjuk-nunjuk.

Pengecualian yang dikenakan kepada Abu Bakar yang ketika itu berpakaian labuh melepasi buku lali adalah hujah sangat kuat bagi menjelaskan bahawa golongan lelaki yang berpakaian labuh tanpa ada sekelumit perasaan sombong dalam hati adalah dibenarkan.

179 dibaca
Berita Harian X