Ahad, 16 Julai 2017 | 6:00am

Tadbir urus syariah pertama di dunia


Kompleks Islam Putrajaya menjadi lambang pembangunan Islam moden berteknologi tinggi.

Inisiatif baharu kerajaan memperkenalkan Kompleks Islam Putrajaya (KIP) dan dokumen Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTUs) menunjukkan komitmen jitu memastikan agenda memartabatkan Islam bergerak secara progresif.

KIP dan GTUs yang juga cetusan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah kesinambungan daripada pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang berfungsi untuk mengukur sejauh mana institusi, dasar dan polisi kerajaan benar-benar memenuhi tuntutan syarak.

Perasmian KIP dan GTUs pada 18 Julai ini yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri memberi nilai tambah kepada pengurusan mengikut prinsip syariah sekali gus mewujudkan budaya kerja bersifat harmonis selari kehendak Islam.

Ia secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai ikon pentadbiran Islam dan terus menarik perhatian dunia sebagai model atau acuan terbaik dalam pembangunan serta agenda memperkasa ummah di peringkat antarabangsa.

Bangunan KIP yang terletak di Presint 3, Putrajaya, dibangunkan sejajar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

Mercu tanda Islam

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika dahulu Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur dikira sebagai mercu tanda agensi Islam, kini KIP menjadi lambang pembangunan Islam moden yang berteknologi tinggi.

Beliau berkata, pembangunan KIP menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam secara menyeluruh, baik daripada aspek ekonomi, prasarana dan pendidikan.

"Kita mempunyai banyak institusi agama di peringkat persekutuan yang menjadi ikon atau model kepada dunia kerana tidak banyak negara yang kerajaannya bertanggungjawab penuh dalam agenda memartabatkan Islam.

"Atas dasar itu, kita perlu memastikan setiap institusi atau agensi agama diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam. Sudah tentu masyarakat ingin institusi agama mengamalkan nilai lebih baik kerana tanggungjawabnya membabitkan dimensi besar, lebih bermakna ia satu tuntutan agama dan amanah Allah SWT," katanya

KIP menempatkan 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YaDIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pertama di dunia

Siap dibina sepenuhnya pada 17 Ogos 2016, KIP yang terdiri daripada empat blok bangunan dilengkapi pelbagai kemudahan turut memenangi Anugerah Pembangunan Pejabat Terbaik di Malaysia pada Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2017, Mei lalu.

Berkongsi mengenai GTUs, Asyraf berkata, ia adalah garis panduan berteraskan syariah yang pertama di dunia dan inisiatif berkenaan tidak pernah dikemukakan oleh mana-mana kerajaan negara Islam lain.

Katanya, GTUs mengadaptasi dan memperhalusi piawaian antarabangsa berkenaan tadbir urus yang diiktiraf pelbagai negara di dunia yang kemudian disesuaikan dengan keperluan tadbir urus berasaskan syariat Islam berpandukan pandangan ahli syariah negara.

Contohnya, dalam pengurusan kewangan konvensional, mereka boleh melabur dalam syarikat atau pelaburan yang mementingkan keberuntungan semata-mata. Bagaimanapun, bagi institusi berasaskan agama pelaburan yang hendak dibuat perlu mematuhi prinsip syarak.

"Aspek tadbir urus mengikut syariah bukan perkara baharu kerana sudah termaktub sejak mula-mula Islam diturunkan menerusi al-Quran dan sunah. Jadi ada perkara perlu merujuk hukum halal haram, tetapi ia tidak dibincangkan dalam konteks konvensional," katanya.

Wacana antarabangsa

GTUs dihasilkan dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris dengan harapan ia mampu menjadi wacana yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai organisasi secara menyeluruh di peringkat antarabangsa.

Ini bermakna, GTUs tidak hanya diguna pakai oleh institusi agama sebaliknya boleh dipraktikkan oleh organisasi merentas bidang termasuk yang diusahakan oleh bukan Islam.

Menurut Asyraf, potensi untuk GTUs dipraktikkan dan menjadi bahan rujuk institusi atau organisasi di peringkat global amat besar, apatah lagi dengan kesedaran masyarakat dunia terhadap etika dan amalan pengurusan bermoral.

Di samping itu, GTUs juga membantu mempertingkatkan budaya dan nilai tadbir urus yang baik dalam konteks institusi khususnya yang berteraskan agama.

Akhirnya nanti, ia dapat memenuhi hasrat masyarakat yang ingin melihat institusi agama itu 'lebih putih daripada putih' dapat direalisasikan secara berperingkat dan lmenjadi contoh kepada institusi atau organisasi lain.

352 dibaca
Berita Harian X