Isnin, 12 Jun 2017 | 8:31am

Kerenah birokrasi, kurang ilmu punca pusaka RM60b terbiar


- Gambar hiasan

Isu perebutan harta seolah-olah sudah menjadi lumrah kehidupan masyarakat di negara ini. Ramai mempertikaikan kes misalnya, sanggup bunuh saudara kandung dek berebut harta pusaka tidak lagi wajar berlaku pada zaman masyarakat berteknologi dan berpendidikan tinggi, hari ini.

Wartawan BH Ahad, NADIA HAMID menemubual Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dan Ketua Pegawai Eksekutif Wassiyah Shoppe, Azrin Sabirin, untuk ulasan lanjut.

Dr Nuradli Ridzwan

S: Jabatan Tanah dan Galian melaporkan nilai harta pusaka yang tidak dituntut di negara ini melebihi RM60 bilion. Pada pandangan Dr, apakah punca mengakibatkan situasi ini?

J: Punca nilai harta pusaka tidak di tuntut meningkat setiap tahun disebabkan banyak faktor luar kawalan. Antaranya, waris gagal dikesan kerana mereka tidak mengetahui ada harta si mati yang perlu dituntut dan pewaris harta si mati (misalnya bapa, ibu, datuk, nenek, moyang) tidak diperturunkan pemilikannya kepada waris berhak. Selain itu, kerenah birokrasi menguruskan harta menyebabkan waris bersikap lepas tangan dan enggan bertanggungjawab memastikan harta pusaka si mati diagihkan.

Ada kes, berlaku harta pusaka tergantung kerana jumlah cukai tanah menimbun selepas puluhan tahun tidak diselesaikan dan dibayar. Hal ini menyebabkan waris tidak mahu pening kepala menanggung kos berkenaan dan membiarkan aset pusaka terus 'beku'. Selain itu, tiada kerjasama dan muafakat antara waris menyebabkan mereka meletakkan beban mengagihkan harta kepada waris sulung sahaja menyelesaikan harta warisan. Bagaimanapun, kebanyakan kes berlaku kerana waris kurang pengetahuan ilmu harta pusaka dan pewarisan.

S: Dalam Islam, lelaki diberikan keutamaan dalam sistem faraid 2:1. Sejauh mana ia boleh menyelesaikan masalah yang berlaku?

J: Anak lelaki diberikan bahagian lebih banyak berbanding anak perempuan mengikut faraid kerana tanggungjawab anak lelaki terhadap harta dan tanggungannya itu selepas kematian si mati. Sekiranya berlaku penyelewengan atau salah laku pengurusan harta, pewaris layak dan berhak boleh menuntut harta pusakanya di Mahkamah Syariah kerana harta pusaka di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tuntutan akan diperdengarkan Mahkamah Syariah.

S: Mentaliti pengurusan harta di negara ini masih rendah. Buktinya masih berlaku kes berebut harta akibat tahap kesedaran orang ramai di negara ini mengenai wasiat dan harta pusaka? Bagaimanakah cara membuat wasiat yang betul?

J: Tahap kesedaran orang ramai sebenarnya sudah meningkat dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, langkah ini memerlukan kerjasama erat semua pihak iaitu menjalankan kempen secara berterusan daripada semua agensi pelaksana, majlis agama Islam termasuk syarikat swasta. Wasiat perlu dilakukan dengan wasi agar dapat dilaksanakan secara bersistematik. Wasiat digalakkan dibuat secara bertulis. Pesanan Imam Ghazali, 'setiap orang Islam hendaklah menulis wasiat setiap kali sebelum ingin tidur malam'.

S: Bagaimanakah isu masalah tunggakan harta pusaka boleh diselesaikan?

J: Masalah tunggakan harta pusaka boleh diselesaikan dengan sangat mudah, iaitu mengurus harta kita semasa kita masih hidup. Kita boleh melantik pentadbir harta dan hartanah Majlis Agama Islam, syarikat Bumiputera atau institusi swasta yang menawarkan khidmat sedemikian. Saya melihat ilmu pengurusan harta seperti faraid, wasiat, hibah boleh dijadikan pendidikan tambahan dalam sistem pendidikan di negara ini. Pendidikan pengurusan harta boleh dilaksanakan secara berperingkat di sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk menyediakan masyarakat berilmu tinggi.

S: Bagaimana status kes pembahagian harta untuk wanita yang tidak mendaftarkan perkahwinan secara sah di negara ini sekiranya suami mati mengejut?

J: Jika si mati merahsiakan perkahwinan poligami beliau dan tidak mendaftarkannya, isteri dan anak hasil perkahwinan tidak didaftar itu, masih layak mewarisi harta si mati. DENGAN SYARAT perkahwinannya didaftarkan semula di Malaysia terlebih dahulu dan status anak berkenaan diiktiraf sebagai anak si mati. Sekiranya proses ini masih belum selesai, permohonan faraid hendaklah ditangguhkan sehingga pengenalpastian semua waris diselesaikan, termasuk sehingga permohonan pengesahan nikah dan nasab anak selesai dilaksanakan.

S: Apakah cara menguruskan harta si mati yang tiada waris dan pada masa sama, tidak meninggalkan wasiat?

J: Si mati yang tidak mempunyai waris dan tidak membuat wasiat kepada hartanya, sebahagian hartanya akan diuruskan BaitulMal. Pada pandangan saya, lebih elok sekiranya mereka yang tidak mempunyai waris membuat wasiat sedekahkan atau infaq harta kepada masyarakat untuk dijadikan tapak masjid, rumah anak yatim atau yayasan kebajikan.

S: Ramai melihat ketiadaan wasiat daripada si mati menyebabkan berlaku perebutan harta. Sejauh mana situasi itu boleh berlaku?

J: Perebutan harta adalah satu daripada sebab kita disarankan untuk membuat wasiat dalam Islam, terutama kalau ada pengagihan spesifik kepada individu tertentu misalnya, anak angkat dan anak kurang upaya. Apabila kita melakukan wasiat dan melantik wasi, urusan peninggalan harta dapat diuruskan secara profesional oleh wasi dilantik seperti Perbadanan Wakaf Negeri untuk Majlis Agama Islam Negeri dan Amanah Raya Berhad.

Sekiranya ada wasi telah dilantik, pembahagian harta dapat dijalankan secara telus. Bagi kes harta kepada anak di bawah umur 18 tahun, pengurusan harta akan diserahkan kepada pemegang amanah sebelum dipindahkan kepada pewaris apabila waris cukup umur dan berupaya mentadbir hartanya sendiri.

S: Apakah perbezaan harta alih dan harta tidak alih? Sejauh mana peratusan agihan jenis harta yang tidak dituntut?

J: Dari sudut undang-undang sivil, harta tidak alih adalah tanah, hartanah tetap seperti bangunan atau kediaman atau kepentingan berkaitan dengan tanah. Pejabat, kilang, kebun atau ladang dikategorikan sebagai hartanah. Ada orang menyebut hartanah itu sebagai 'harta tak alih' (immovable property) manakala wang tunai dan simpanan, syer dan kenderaan 'harta alih' (movable property). Sehubungan itu, orang ramai kena membezakan jenis harta alih dan harta tidak alih sebelum membuat wasiat. Setakat ini, tiada maklumat tepat mengenainya.

Data pengurusan harta tidak dituntut sehingga 2014, menunjukkan jumlah harta alih yang tidak dituntut adalah RM6.5 bilion (Bengkel Pindaan Akta Wang Tak Dituntut 1965, 2014), Tabung Haji (RM65 juta), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (RM188 juta) dan wang menunggu dituntut Amanah Raya Berhad (ARB) (RM250 juta). Menurut Prosiding Seminar Antarabangsa Kelestarian Insan (INSAN) 2014, jumlah aset beku dan tidak dituntut pada 2009 adalah RM40 bilion, 2010 (RM41 bilion), 2011 (RM42 bilion), 2012 (RM52 bilion) dan 2013 (RM60 bilion). Trend peratusan harta tidak dituntut meningkat mendadak pada 2011 daripada dua peratus kepada 24 peratus pada 2012.

Azrin Sabirin

S: Banyak laporan mendedahkan harta pusaka di negara ini tidak dituntut. Pada pandangan tuan apakah punca berlaku kes sebegini?

J: Punca utama masalah perebutan harta pusaka yang tergantung, kerana waris tidak faham prosedur tuntutan di Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil. Bagi daerah yang tiada unit pusaka kecil, urusan penerimaan borang permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Tanah di daerah berkenaan. Maklumat lanjut mengenai pembahagian harta di bawah RM2 juta boleh disemak dalam laman sesawang Pejabat Tanah dan Galian - www.jkptg.gov.my/ms/content/pembahagian-harta-pusaka-kecil. Tidak dinafikan, kos pengurusan harta pusaka yang mahal menyebabkan waris tidak sanggup menyelesaikan isu harta pusaka selain, kurangnya pengetahuan mengenai ilmu faraid. Ketika ini, kebanyakan harta pusaka yang tidak dituntut waris adalah hartanah.

S: Ramai melihat ketiadaan wasiat daripada si mati menyebabkan berlaku perebutan harta. Sejauh manakah situasi itu berlaku?

J: Wasiat sebenarnya adalah dokumen atau surat kuasa untuk melantik pentadbir harta pusaka (dokumen melantik wasi). Dari sudut undang-undang sivil dan syarak, wasiat adalah pemberian tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka untuk tujuan amal jariah. Bagaimanapun, ramai beranggapan wasiat adalah pemberian harta kepada waris. Dalam isu pemberian harta kepada waris, wasiat boleh terbatal kalau ada waris yang layak dalam hukum faraid menentang wasiat berkenaan. Oleh itu, kekeliruan dan ketidakfahaman mengenai fungsi wasiat, turut menjadi satu daripada sebab perebutan harta pusaka masih berlaku, walaupun sudah ada (disediakan) wasiat.

S: Sejauh mana ketelusan pembahagian harta kepada waris. Sebagai contoh, anak perempuan berusia 9 tahun kepada pasangan suami isteri yang meninggal akibat kemalangan. Apakah jaminan pewarisan harta boleh berlaku dengan telus?

J: Masih ramai yang tidak memahami bahawa sebagai pemilik harta, kita boleh merancang harta kita ketika hidup menggunakan instrumen syarak atau sivil. Satu daripada cara untuk melindungi pembahagian harta kepada waris mengikut formula yang kita kehendaki adalah hibah.

Hibah adalah pemberian milik tanpa balasan oleh penghibah secara sukarela ketika hayat atas dasar kasih sayang. Sesiapa sahaja boleh menerima hibah dan harta yang dihibahkan terkeluar daripada pentadbiran harta pusaka. Waris juga tidak boleh menuntut harta yang dihibahkan dengan cara sempurna. Hibah adalah kaedah pembahagian harta yang tepat dan kuat daripada sudut syarak.

S: Sejauh mana pengurusan harta si mati yang tiada waris dan tidak meninggalkan wasiat?

J: Sekiranya pemilik harta mati dalam keadaan tiada waris dan tiada wasiat, maka harta pusakanya perlu dituntut oleh waris terdekat yang sah mengikut hukum faraid. Dalam Islam, harta pusaka sudah ditentukan hak warisnya secara tepat. Di Wassiyah Shoppe, kami menggunakan sistem perundingan dan kaedah perancangan harta pusaka syariah yang boleh dirancang pada bila-bila masa. Melalui konsep ini, penggunaan maksimum instrumen syariah seperti dokumen hibah, dokumen wasiat Islam, dokumen harta sepencarian, dokumen amanah dan dokumen waqaf diselesaikan segera.

S: Bagaimanakah isu masalah tunggakan harta pusaka boleh diselesaikan dan apakah tahap kesedaran orang ramai di negara ini mengenainya?

J: Masalah harta pusaka di negara ini tidak sukar diselesaikan. Orang ramai perlu ada kesedaran kepentingan pengurusan pusaka selain, ilmu pengurusan harta pusaka dapat diterapkan bermula dari sekarang kepada pemilik harta hari ini. Pemilik harta perlu memastikan harta yang ditinggalkan kelak tidak akan menyusahkan dan membebankan waris untuk menguruskannya. Kerajaan boleh mengadakan program pengurusan harta pusaka secara konsisten misalnya, program turun padang pejabat tanah bersama masyarakat.

Selain itu, menyediakan klinik pengurusan harta pusaka bergerak atau atas talian (online) supaya masyarakat mudah membuat rujukan dan khidmat nasihat profesional. Galakkan orang ramai untuk menyediakan dokumen pengurusan yang lebih tepat dan praktikal berbanding wasiat selain, pemilik harta membuat perancangan awal menyediakan senarai harta, hutang, waris dan dokumen penting berkaitan untuk memudahkan proses pengurusan oleh waris kelak.

Berita Harian X