Selasa, 24 November 2015 | 7:43pm
MENDIANG Karpal Singh.

Mendiang Karpal Singh sekadar beri pendapat undang-undang

PUTRAJAYA: Mendiang Karpal Singh sekadar menawarkan pendapat tentang undang-undang, peruntukan perlembagaan dan hak kerajaan negeri Perak pada ketika itu, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo memberitahu panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bahawa Karpal Singh, yang juga bapanya, tidak mempersoalkan kuasa mutlak Sultan Perak untuk melantik menteri besar dalam kenyataan media atau dalam sidang medianya.

Beliau berhujah apa yang telah diucapkan oleh Karpal Singh termaktub di bawah Seksyen 3 (2) (a) Akta Hasutan 1948 yang menetapkan mana-mana tindakan atau ucapan yang menunjukkan bahawa mana-mana Pemerintah telah dikelirukan atau terkhilaf dalam mana-mana langkah diambilnya adalah tidak dianggap sebagai hasutan.

Katanya, Karpal Singh sebagai individu yang amat berpengalaman sebagai peguam dan ahli politik yang dikenali sering mengendalikan kes perlembagaan di mahkamah, bukan bercakap secara spontan tetapi bercakap berdasarkan satu kenyataan akhbar.

Gobind Singh berhujah bahawa Karpal Singh berulang kali menyatakan bahawa ia adalah pandangannya berdasarkan autoriti undang-undang, tetapi telah berkata yang beliau mungkin silap, dan itu adalah pandangannya. BERNAMA

248 dibaca
Berita Harian X