Selasa, 24 November 2015 | 12:05pm
MENTERI Besar Negeri Sembilan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan (dua, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen pada majlis menandatangani kontrak ketua jurulatih baharu pasukan itu, Gary Micheal Philips (kiri) dan Setiausaha PBNS, Datuk Abd Halim Abd Khalid (kanan) malam tadi. - Foto BERNAMA

Gary Micheal Philips dipilih kendali Negeri Sembilan

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan pelantikan bekas jurulatih Sabah, Gary Michael Philips sebagai ketua jurulatih skuad Negeri Sembilan yang baharu bagi menghadapi kempen Liga Perdana, musim depan.

Jurulatih berpengalaman berusia 52 tahun dari Australia itu yang pernah mengendalikan Sabah dari tahun 2009 hingga 2011 dipilih menggantikan pengendali tempatan sebelum ini, K Devan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis menandatangani kontrak ketua jurulatih itu, di sini, malam tadi.

Bercakap kepada pemberita, Mohamad berkata Gary sudah memulakan tugasnya dan beliau tidak asing dalam liga bola sepak tempatan dan pasti mampu membawa perubahan kepada skuad Negeri Sembilan.

Mohamad yang juga Presiden PBNS berkata pengalaman pengendali itu yang sebelum ini turut menjadi pengendali pasukan bola sepak wanita Papua New Guinea pasti ditagih di mana Negeri Sembilan mensasarkan untuk kembali beraksi di Liga Super musim 2017.

"Ini bermakna skuad Hobin Jang Hobin perlu menduduki dua tangga teratas carta Liga Perdana musim 2016 bagi merealisasikan sasaran berkenaan. Saya mengharapkan kebangkitan skuad Negeri Sembilan musim depan.

"Selain skuad Liga Perdana, Gary juga diberi tanggungjawab membimbing skuad Piala Presiden dan belia Negeri Sembilan. Kontrak Gary bersama skuad Negeri Sembilan ialah selama setahun," katanya.

Mengenai pemain skuad Liga Perdana, beliau berkata pemilihan pemain masih berjalan menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur.

"Kita sudah senarai pendek pemilihan pemain daripada 45 orang kepada lebih 30 orang setakat ini. Sekarang kita hendak memilih 23 orang pemain sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain pada 14 Februari 2016.

"Ada beberapa posisi yang penting yang perlu kita beri penekanan untuk dimantapkan. Jadi, kita akan terus mencuba pemain-pemain untuk mengisi posisi berkenaan. Kita masih lagi membuka pintu kita kepada pemain yang berminat untuk menyertai Negeri Sembilan," katanya.

Dalam pada itu, Gary menganggap penyertaannya dalam pasukan Negeri Sembilan sebagai satu cabaran untuk membawa pasukan itu mencapai sasarannya kembali beraksi di Liga Super musim 2017.

"Ia satu kebanggaan dapat membimbing pasukan Negeri Sembilan. Saya akan berusaha untuk merealisasikan sasaran mereka itu. Saya tahu ia bukan perkara mudah, tetapi dengan sokongan semua pihak saya yakin kita boleh lakukan," katanya. - BERNAMA

549 dibaca
Berita Harian X